Thursday, April 16, 2020

3. PROSEDUR 3 - RESPON BAYARAN



Assalamualaikum,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita untuk di alam maya ini. Entri kali ini, saya akan menerangkan prosedur selanjutnya selepas penuntut menyampaikan Tuntutan Bayaran. Apa yang perlu dilakukan oleh pihak yang tidak membayar selepas menerima notis Tuntutan Bayaran? Adakah ianya perlu dibiarkan sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan ataupun perlu membalas notis tersebut? Saya akan jelaskan persolan tersebut di bawah.

Setelah Tuntutan Bayaran disampaikan kepada pihak yang tidak membayar, pihak yang tidak membayar mempunyai tempoh selama 10 hari bekerja untuk menjawab notis Tuntutan Bayaran tersebut secara bertulis. Jawapan kepada Tuntutan Bayaran yang dipanggil sebagai Respon Bayaran ini tertakluk di bawah seksyen 6 akta CIPA.

Setelah menerima Tuntutan Pembayaran, pihak yang tidak membayar mempunyai beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan di dalam Respon Pembayarannya seperti berikut:-

1)      Mereka mungkin mengakui bahawa mereka memang tidak membayar (berhutang) sepenuhnya amaun yang dituntut oleh pihak yang menuntut dan bercadang untuk membuat bayaran balik amaun yang dituntut tersebut kepada pihak yang tidak dibayar

2)      Mereka mungkin mengakui bahawa mereka hanya tidak membayar sebahagian sahaja amaun yang dituntut oleh pihak yang menuntut dan bercadang untuk membuat bayaran balik sebahagian amaun yang diperakui kepada pihak yang tidak dibayar

3)      Mereka boleh menafikan jumlah yang dituntut oleh pihak yang tidak dibayar dan menyatakan pembelaan kepada tuntutan bayaran tersebut

4)      Mereka mungkin memilih untuk tidak membalas Tuntutan Bayaran dalam tempoh 10 hari bekerja

Pilihan-pilihan yang dibuat oleh pihak yang tidak membayar akan memberikan kesan yang berbeza terhadap tuntutan yang dibuat. Setiap empat pilihan di atas menghasilkan akibat yang berbeza bergantung apa pilihan yang mereka buat iaitu: -

1)      Jika pihak yang tidak membayar mengakui bahawa ia berhutang kepada pihak yang belum dibayar amaun yang dituntut olehnya, maka ia boleh membuat bayaran kepada pihak yang tidak dibayar. Pertikaian tersebut selesai dan prosiding adjudikasi akan ditamatkan.

2)      Jika pihak yang tidak membayar mengakui hanya sebahagian sahaja daripada jumlah yang dituntut, maka ia boleh membuat bayaran yang hanya diperakui olehnya kepada pihak yang tidak dibayar. Dalam kes ini, pertikaian untuk jumlah yang diterima adalah selesai, tetapi untuk pembayaran yabg tidak diperakui, pertikaian tersebut adalah diteruskan dan akan dibawa ke adjudikasi oleh pihak yang tidak dibayar.

3)      Jika pihak yang tidak membayar menafikan jumlah keseluruhan yang dituntut, keseluruhan tuntutan bayaran tersebut dikira dipertikaikan dan pertikaian ini kemudiannya boleh dibawa kepada prosiding adjudikasi.

4)      Sekiranya pihak yang tidak membayar tidak memberi sebarang respon kepada tuntutan bayaran, maka keseluruhan tuntutan pembayaran dipertikaikan dan akan diteruskan dengan prosiding adjudikasi.

Selesai sudah entri saya berkenaan Respon Bayaran. Saya amat berharap anda semua dapat memahami penulisan saya kali ini dan jika anda berhadapan dengan situasi seperti di atas, anda mempunyai pilihan-pilihan yang membolehkan anda untuk bertindak secara bijak. Apa yang penting, anda mestilah mempunyai semua dokumen sokongan untuk menyokong tuntutan anda. Semoga kita bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam

Noridah Omar
Shah Alam





No comments:

Post a Comment