Thursday, March 26, 2020

ISU-ISU UTAMA TUNTUTAN CIPAA


APA YANG BOLEH ANDA TUNTUT MELALUI PROSEDUR CIPAA??

Assalamualaikum,

Hari ini saya akan menulis tentang isu-isu utama tuntutan melalui CIPAA. Diharapkan ianya dapat membantu mana-mana kontraktor atau sub-kontrak yang mengalami masalah ini dan dapat memberikan segaris jalur harapan buat mereka untuk menangani masalah ini. Umumnya, masalah kelewatan bayaran sering berlaku di dalam industri pembinaan bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara maju yang lain. Kebanyakan masalah yang sering dialami oleh kebanyakan kontraktor, subkontrak, sub-sub kontraktor ialah menerima bayaran kurang daripada yang telah dipersetujui seperti di dalam sijil bayaran, lambat menerima bayaran dari tarikh akhir yang ditetapkan malah yang lebih teruk lagi ialah tidak menerima sebarang bayaran lang selepas mereka melaksanakan kerja.

Jika masalah ini berlarutan, ia pasti akan memberi kesan kepada kadar kemajuan kerja di mana ia akan menyebabkan kelewatan dalam menyiapkan projek malah ada juga kontraktor yang terpaksa memberhentikan kerja kerana tidak mempunyai aliran modal atau modal pusingan untuk menjalankan projek. Ini adalah kerana kebanyakan kontraktor terutamanya sub-kontraktor tidak mampu untuk menanggung kos-kos kontrak yang besar yang melibatkan kos bahan mentah, kos upah pekerja dan kos-kos lain yang terlibat di dalam penyiapan projek.

Oleh sebab itu akta CIPAA 2012 diwujudkan untuk memudahkan pembayaran yang tetap dan tepat pada masanya dan juga untuk menyediakan peruntukan bagi suatu mekanisma bagi menyelesaikan pertikaian yang cepat melalui prosedur adjudikasi. Ia juga mengadakan peruntukan bagi remedi untuk mendapatkan bayaran dalam indurtri pembinaan dan mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan berkesampingan olehnya.

CIPAA terpakai untuk tuntutan bayaran interim dan juga tuntutan bayaran muktamad.  Bayaran interim dan muktamad yang boleh dituntut termasuklah bayaran untuk Arahan Perubahan Kerja, kos-kos kontrak yang ditanggung semasa dalam tempoh lanjutan masa, kos “loss & expense” dan “set off”

Kontraktor boleh menuntut bayaran interim jika tidak menerima bayaran selepas tamat tarikh bayaran yang sepatutnya diterima seperti yang tertakluk di dalam terma dokumen kontrak. Lebih awal sesorang kontraktor itu membuat tuntutan bayaran melalui CIPAA lebih bagus kerana ini membolehkan kontraktor tersebut menerima bayaran secara tetap untuk meneruskan projek dan memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Jadi, jika anda seorang kontraktor, sub-kontraktor ataupun sub-sub-kontraktor dan anda mengalami masalah tidak menerima bayaran samada bayaran interim atau bayaran muktamad, maka janganlah anda bertangguh untuk menuntut bayaran melalui CIPAA. Anda berhak menuntut bayaran bagi kerja-kerja yang anda lakukan. Ingat, CASH IS KING!! Bagaimana anda mahu meneruskan kerja atau membuat kontrak yang baru jika anda tidak mempunyai wang yang mencukupi. 

Wang bukan segalanya tapi segalanya di atas muka bumi ini memerlukan wang. Kecuali udara dan angan-angan. Hehehe. Sampai di sini dulu. Moga bertemu di entri akan datang. Komen dan cadangan atau soalan anda amat saya hargai ya! Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam

No comments:

Post a Comment