Thursday, April 2, 2020

PERUBAHAN (KLAUSA 24)


Assalamualaikum. Kembali lagi kita kepada entri kupasan untuk pemahaman Kontrak PWD 203 rev 1/2010. Beberapa topik yang lepas, kita telah kupas tentang tajuk “Arahan Pegawai Penguasa” dan ada Klausa yang menyatakan tentang “Arahan perubahan”. Jadi pada entri ini, kita akan bincangkan mengenai perubahan di dalam kontrak.

Di dalam Kontrak PWD 203 REV 1/2010, perubahan di dalam kontrak ada dinyatakan di Klausa 24 dan merupakan antara klausa yang terpenting di dalam kontrak. Klausa ini secara tersurat menyatakan kuasa P.P untuk mengeluarkan arahan berhubung perubahan samada tambahan atau pengurangan dan ingat! Hanya P.P atau wakilnya yang sah sahaja yang boleh mengeluarkannya dan bukannya majikan kecuali majikan ingin bertanggungjawab.

Di dalam Buku Construction Law in Malaysia, tulisan Prof Sundra Rajoo dan Ir Harban Singh KS, perubahan ialah:

“Synonymus with the terms “change” , “extra” and “extra work”, a “variation” is generally defined to mean any change to the works as specifid originally in the contract documents” (V Powell-Smith, An Engineering Contract Dictionary, p 562. Construction Law in Malaysia p 305)

Di bawah Klausa 24 ini, terdapat 3 point yang penting.

KLAUSA 24.1

 Yang pertama iaitu Klausa 24.1. P.P boleh mengeluarkan arahan yang berkehendakkan perubahan didalam bentuk “arahan perubahan”. Tidak ada arahan yang dikeluarkan oleh P.P boleh membatalkan kontrak ini. Selepas menerima arahan perubahan, kontraktor mestilah dengan segera mematuhi arahan perubahan yang dikeluarkan oleh P.P.

Ingin saya ingatkan sekali lagi, P.P adalah orang yang berhak dan bertanggungjawab untuk mengeluarkan arahan “Perubahan Kerja”. Arahan ini mestilah secara bertulis. Kontraktor mesti melaksanakan arahan kerja perubahan seperti yang diperintahkan  kecuali jika arahan itu mengubah kontrak.

P.P mestilah tidak mengeluarkan arahan diluar bidangkuasa yang ditetapkan oleh kontrak keatasnya supaya tidak membatalkan kontrak. Perintah P.P mestilah tidak dianggap oleh kontraktor sebagai membatalkan kontrak ini dan menuntut pembayaran secara “quantum meruit” (sebanyak mana yang dia berhak)

Kerajaan tidak diwajibkan untuk menerima atau bersetuju dengan sebutharga kontraktor jika sekirannya kontraktor mengemukakan sebutharga sebelum memulakan kerja perubahan tersebut (tetapi kontraktor dinasihatkan untuk mengemukakan sebutharga jika sekiranya perubahan itu tidak termasuk dalam skop kerja asal)

Jika sekiranya kontraktor gagal melaksanakan perintah tersebut maka P.P berhak untuk melantik pihak ketiga untuk melaksanakan kerja tersebut (klausa 5.3). Kosnya termasuk “on cost charges” akan ditolak dari mana-mana wang yang masih boleh dibayar kepada kontraktor. P.P tidak boleh mengeluarkan arahan perubahan selepas sijil siap kerja praktikal  (CPC) dikeluarkan.

KLAUSA 24.2

Terma “perubahan” bermaksud suatu pertukaran di dalam dokumen kontrak yang memerlukan “pemindaan” atau “pengubahsuaian” reka bentuk, kualiti ataupun kuantiti kerja seperti yang dinyatakan atau dirujuk kepadanya dan memberi kesan kepada jumlah harga kontrak termasuk:

a)      Penambahan ,peninggalan ataupun penggantian mana-mana kerja
b)      Pengubahan tentang jenis ataupun piawaian apa-apa bahan atau barang-barang yang hendak digunakan di dalam kerja itu
c)       Pengalihan dari tapak bina itu apa-apa kerja yang telah dilaksanakan, bahan dan barang-barang yang telah dibawa keatasnya oleh kontraktor bagi maksud kerja itu selain dari kerja, bahan dan barang yang tidak mematuhi kontrak ini

Klausa ini tidak memberi kuasa kepada P.P untuk membuat perubahan yang disifatkan sebagai “cardinal change” . “Cardinal Change” ialah perubahan kerja yang terlalu besar dan perubahan kuantiti yang terlalu besar sekiranya melibatkan kerja yang telah sedia tersenarai di dalam senarai kuantiti.

Klausa ini hanya memberi kuasa kepada P.P untuk membuat penolakan atau peninggalan terhadap mana-mana kerja yang menjadi sebahagian dari skop kerja asal secara tulen. Jika sekiranya P.P membuat penolakan (peninggalan) dan kemudiannya memberikan kerja tersebut kepada pihak ketiga, maka kerajaan telah memungkiri kontrak.  

Sekiranya perintah itu melibatkan “cardinal change” maka kontraktor tidak perlu untuk mematuhi perintah P.P dan kerajaan tidak berhak untuk memanggil pihak ketiga untuk melaksanakannya dan menolak kos daripada kontraktor

“can be in form of financial changes or a combination of the two and can encompass either a single change or a number of otherwise permissible changes. Cardinal change is invalid in law, there is no duty of compliance on the contractor – Construction Law in Malaysia p 311”

Jika sekiranya kontraktor menurut perintah P.P maka kontraktor berhak untuk menuntut bayaran secara “QUANTUM MERUIT” 

KLAUSA 24.3 

Sebarang perubahan di bawah kontrak ini mestilah tidak melepaskan kewajipannya di bawah klausa 22.1(c) (kalau kontraktor dikehendaki mereka bentuk sebahagian dari kerja)



Sekian,
Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 REV 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)



SKOP KONTRAK (KLAUSA 6)


Hai bertemu lagi kita untuk tajuk Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN (1/2010). Untuk entri kali ini, kita akan kupas tentang Skop Kontrak. Secara umumnya, Klausa ini menceritakan tentang Kewajipan-kewajipan Kontraktor .

Secara dasarnya, kewajipan kontraktor adalah untuk menyiapkan kerja seperti di dalam lukisan dan spesifikasi dan lain-lain dokumen. Tanggungjawab ini mestilah dilaksanakan dengan menggunakan bahan yang dinyatakan didalam dokumen kontrak sahaja. Kewajipan kontraktor juga merangkumi kerja kerja lain yang perlu dilakukan ( bergantung kepada apa yang terjadi) untuk membolehkan kerja disiapkan .

Di bawah Klausa ini terdapat 3 point penting yang ingin saya ‘highlight’ kan.

KLAUSA  6.1

Yang pertama, di bawah Klausa 6.1, Kontraktor hendaklah membina dan menyiapkan kerja-kerja dengan menggunakan bahan, barang dan tenaga kerja menurut kualiti dan piawaian yang dinyatakan dalam kontrak.

Sebagai seorang kontraktor, adalah wajib untuk memenuhi kontrak sepenuhnya berdasarkan dokumen kontrak (lukisan, spesifikasi, senarai kuantiti etc). Kontraktor juga tidak boleh menambah atau mengurangkan tanpa persetujuan atau arahan P.P. Jadi, apa apa kerja yang ingin dilaksanakan, perlulah tunggu arahan daripada P.P (check semula entri Arahan Pegawai Penguasa). Janganlah buat sesuatu yang tidak ada arahannya. Kerana majikan/kerajaan tidak perlu membayar kerja yang tidak mengikut arahan. Malah mungkin kontraktor tersebut yang perlu bayar kepada majikan/kerajaan jika terjadi apa-apa.

Selain itu, Kontraktor juga berkewajipan menggunakan bahan, barang dan tenaga kerja seperti yang dinyatakan di dalam dokumen kontrak sahaja. Merujuk kepada Klausa ini, sekiranya P.P memaksa kontraktor membekal bahan yang lebih tinggi kualitinya berbanding dengan yang dinyatakan di dalam dokumen kontrak maka beliau patut mengetahui bahawa peranan untuk memastikan apa yang terbaik mengikut industri adalah terletak ditangan “pereka bentuk” yang menyediakan spesifikasi & piawaian dan bukannya kontraktor. Kontrak tidak bertanggungjawab terhadap kesesuaian barang dan bahan yang digunakan. Kontrak juga tidak bertanggungjawab terhadap kesesuaian dan keselamatan reka bentuk

KLAUSA  6.2

Yang kedua, di bawah Klausa 6.2, Kontraktor juga bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penting yang berakibat/terhasil dari pembinaan dan penyiapan kerja kerja di tapak bina seperti pengalihan/pelencongan pembetung najis, paip air, kabel elektrik, paip gas dan kabel telefon dan pemasangan sambungan kekal. Semua kerja-kerja ini akan ditanggung oleh kerajaan. Kerajaan akan membayar balik kos yang terlibat kepada kontraktor dengan cara menambahkan kos tersebut kedalam harga kontrak tertakluk kos yang belum lagi dimasukkan ke dalam harga kontrak melalui “provisional sum” atau sebaliknya.

Menjadi tanggungjawab kontraktor untuk menyiapkan kerja melibatkan juga kewajipan untuk melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan kerja tersebut (ancillary / kerja sampingan) yang mesti dilakukan supaya kerja itu dapat disempurnakan.

Kerja sampingan ini sebahagiannya dimasukkan di dalam senarai kuantiti manakala yang lain tidak dimasukkan kerana terlalu detail. Walaubagaimanapun ianya masih menjadi tanggungjawab kontraktor.Segala kos yang ditanggung oleh kontraktor boleh dituntut kepada kerajaan. Tetapi kos untuk sambungan sementara untuk kegunaan kontraktor perlu ditanggung sendiri oleh kontraktor.

Selalu menjadi masalah ialah, ada sebilangan badan Kerajaan yang tidak membuat bayaran kepada Kontraktor untuk kerja kerja ini. Jadi, para Kontraktor sekalian janganlah risau kerana, sekarang kita sudah mempunyai CIPAA. Pihak Kontraktor boleh membuat tuntutan bayaran kepada majikan untuk bayaran bayaran yang tidak dilunaskan lagi. (akan dishare di entri yang lain) Apa yang penting, semua dokumen-dokume penting seperti surat menyurat ada untuk dijadikan bahan bukti.

KLAUSA  6.3 

Yang terakhir ialah di bawah Klausa 6.3. Kontraktor hendaklah juga melaksanakan kerja kerja membaiki kecacatan yang mungkin di kesan semasa “defect liability period” (DLP)
Pada bila-bila masa dalam tempoh tanggungan kecacatan, P.P hendaklah mengemukakan arahan bertulis kepada kontraktor untuk membaiki kecacatan akibat dari bahan dan ketukangan kerja kontraktor sahaja. Kontraktor mestilah melaksanakan arahan P.P dengan seberapa segera ataupun mengikut masa yang ditentukan oleh P.P tersebut.

Sekiranya kontraktor gagal melaksanakan arahan tersebut, P.P berhak untuk membaiki kecacatan tersebut mengikut kaedah yang difikirkan sesuai oleh beliau dan kosnya akan ditanggung oleh kontraktor

Dalam tempoh 14 hari selepas “defect liability period” P.P hendaklah mengemukakan “schedule of defect” kepada kontraktor supaya kecacatan dapat dibaiki dalam tempoh yang munasabah tetapi tidak lebih dari tiga bulan selepas menerima schedule itu. Selepas 14 hari dari tarikh tamat tempoh membaiki kecacatan, P.P tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan untuk membaiki kecacatan yang baru. Sekiranya terdapat kecacatan (diminution) yang tak mungkin atau tidak praktikal untuk dibaiki menurut pendapat P.P, maka beliau akan menilai harga “kecacatan” tersebut dan menuntut daripada kontraktor

P.P hendaklah mengeluarkan sijil siap membaiki kecacatan apabila beliau berpuas hati kecacatan telah diperbaiki. Tarikh sijil tersebut adalah tarikh sebenar kontraktor siap membaiki kecacatan.
Okay itu sahaja yang ingin saya kongsikan untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa di entri yang akan datang.

Itu sahaja untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa pada entri yang akan dating.



Sekian, Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo dan Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN 1/2010 (Tulisan Hj Ismail bin Omar)



SIAPA YANG LAYAK MEMBUAT TUNTUTAN



LANGKAH PEMBUKTIAN


Assalamualaikum,

Dalam entri yang lepas, kita telah mengetahui tentang prinsip-prinsip umum bagi pembuktian dalam prosedur adjudikasi. Entri kali ini pula, saya akan menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk pembuktian di dalam prosedur adjudikasi. Sila pastikan langkah-langkah ini dipatuhi untuk memastikan tuntutan yang dibuat berjaya.

Mengapakah kontraktor/sub-kontraktor membuat tuntutan? Izinkan saya menggunakan terma ‘penuntut’ bagi menggantikan terma ‘kontraktor/subkontraktor’ di dalam entri ini supaya anda dapat memahami lebih jelas mengenai topik ini. Sudah tentu penuntut membuat tuntutan kerana mereka tidak menerima bayaran pada masa yang telah ditetapkan seperti dalam kontrak. Penuntut juga boleh membuat tuntutan jika mereka tidak menerima bayaran mencukupi seperti yang dinyatakan dlam sijil bayaran. Amaun yang dituntut mestilah seperti yang dinyatakan di dalam sijil tuntutan bayaran atau sijil bayaran yang diluluskan (jika ada). Ada beberapa langkah yang perlu diikuti untuk memastikan tuntutan yang dibuat berjaya dan penuntut dapat bayaran yang dituntut sepenuhnya oleh mereka.

Langkah pertama ialah penuntut mestilah membuktikan bahawa wujudnya kontrak pembinaan di antara penuntut dan responden. Ini bermaksud penuntut membuat kerja tersebut berdasarkan kontrak yang diberikan bukan sekadar suka-suka membuat kerja tersebut tanpa sebarang perjanjian. Wujudkah kontraktor yang membuat kerja secara sukarela tanpa perjanjian/kontrak pembinaan? Ini seperti melakukan kerja-kerja amal dan sangat mulia dan pastinya kontraktor tersebut mempunyai lebihan wang yang memang banyak.

Langkah kedua pula ialah kontrak pembinaan tersebut mestilah dilakukan secara bertulis seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 2 akta CIPAA 2012. Bertulis disini bermaksud, sebarang bentuk medium penulisan boleh diambil kira termasuklah ditulis dengan tangan atau dicetak dengan menggunakan komputer dengan menggunakan bahasa yang difahami oleh kedua pihak, sama ada di atas kertas atau apa-apa medium penulisan yang dapat dilihat. Apa yang penting, penuntut dapat mengemukakan sesalinan kontrak yang telah diperakui sah dan ditandatangani semasa membuat tuntutan.

Langkah ketiga dan terakhir di dalam prosedur adjudikasi ialah penuntut mestilah boleh membuktikan bahawa tuntutan yang dibuat adalah terhadap perkara yang wujud di dalam terma kontrak / peruntukan ingkar di bawah CIPAA. Tuntutan terhadap perkara yang wujud di dalam terma kontrak termasuklah bayaran kemajuan kerja, LAD, kerja lebih masa, loss and expense, dan variasi order. Peruntukan ingkar di bawah CIPAA pula merupakan peruntukan yang akan digunapakai jika tiada terma pembayaran di dalam dokumen kontrak. Penulis akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang peruntukan ingkar di dalam entri yang akan datang.

Penuntut mestilah boleh membuktikan bahawa mereka telah mematuhi kontrak iaitu prosedur kerja dan prosedur tuntutan dengan memastikan notis, pengesahan, penilaian kerja dan tuntutan telah dilaksanakan mengikut syarat yang telah ditetapkan. Jika penuntut ingin membuat tuntutan Lanjutan Masa (EOT), Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), Tuntutan Variasi (VO) maka beliau mestilah boleh membuktikan tuntutan tersebut dengan menyatakan sebab dan kesan peristiwa tersebut ke atas mereka.  Sebagai contoh, jika terdapat tuntutan kepada Tuntutan Variasi, penuntut mestilah boleh membuktikan siapa yang memberi arahan, bila arahan diberi dan berapa kos VO untuk dilaksanakan. Penuntut juga mestilah boleh menyatakan kesan ke atas tarikh penyiapan projek yang mungkin akan terlewat dan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh mereka.

Salah satu cara untuk pembuktian yang efektif dan mudah difahami adalah dengan membentangkan maklumat melalui kronologi. Kronologi yang dibuat mestilah menerangkan perkara yang berlaku, bila perkara tersebut berlaku dan boleh mengesahkan perkara tersebut dengan merujuk kepada surat menyurat, minit mesyuarat, memo, notis dan sebagainya yang mana setiap daripadanya mestilah disimpan dengan teratur oleh penuntut. Siapa sahaja yang tidak suka dengan kronologikan! Kadang-kadang jika berlaku sesuatu peristiwa sebagai contoh kes kehilangan pesawat MH370, membaca kronologi boleh menyebabkan kita terus memahami peristiwa keseluruhan tanpa perlu membaca dan membuka teks akhbar yang sangat panjang yang telah disiarkan sebelum-sebelumnya. Sekian dulu buat kali ini, moga bertemu di entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam


PRINSIP UMUM PEMBUKTIAN


Assalamualaikum,

                Topik penulisan saya hari ini masih lagi menyentuh mengenai prinsip umum dalam CIPAA. Kali ini mengenai prinsip umum yang perlu anda patuhi untuk membuktikan tuntutan yang dibuat. Saya amat berharap anda telah memahami topik-topik yang telah saya terangkan di dalam entri yang lepas supaya anda mempunyai mempunyai pengetahuan asas mengenai CIPAA seterusnya dapat memahami dengan baik topik-topik yang akan ditulis masa akan datang, In shaa Allah.

Pembuktian merupakan elemen yang signifikan di dalam suatu prosiding perbicaraan dan perlu dikemukakan secara teratur di mahkamah. Pembuktian dalam istilah perundangan bahasa arab disebut sebagai ithbat yang bermaksud mengemukakan dalil di hadapan hakim untuk menuntut suatu hak dari hak-hak. 

Bagi mencapai keadilan dalam sesuatu proses perbicaraan, semua fakta dan isu yang dibangkitkan perlulah disokong dengan pembuktian yang lengkap dan menyeluruh dan dikemukakan di hadapan hakim. Pembuktian tersebut perlu dikemukakan melalui kaedah tertentu yang ditetapkan dalam peruntukan sedia ada.

Seperti prosiding perbicaraan di mahkamah, prosedur adjudikasi juga memerlukan pembuktian. Jika di dalam prosiding perbicaraan di mahkamah, pembuktian dikemukakan di hadapan hakim, di dalam prosedur adjudikasi pula pembuktian haruslah dikemukakan kepada pihak ketiga yang diberi kuasa untuk membuat keputusan iaitu adjudikator yang dilantik samada melalui persetujuan kedua-dua pihak atau lantikan daripada AIAC.

Beban bukti merupakan tanggungjawab yang ditanggung oleh pihak dalam prosiding undang-undang untuk membuktikan kes mereka secara aktif. Biasanya, beban bukti terletak ke atas pihak yang membawa tuntutan untuk membuktikan kes mereka dengan menambah bukti sokongan yang mencukupi. 

Standard pembuktian adalah bertaraf “ balance of probability” yang bermaksud piawaian undang-undang, yang digunakan dalam banyak bidang kuasa untuk menentukan keputusan pertikaian sivil, yang mana ia memerlukan pertikaian diputuskan untuk memihak kepada pihak yang tuntutannya lebih cenderung benar. 

Kontraktor mestilah memastikan bukti-bukti yang diberikan kepada adjudikator adalah relevan, mudah difahami, logik dan harus dibentangkan secara berkesan agar adjudikator dapat memahami senario tuntutan yang dibuat. Adjudikator merupakan ‘stranger’ kepada projek pembinaan yang anda lakukan. Jadi kesemua bukti-bukti yang dikemukakan mestilah boleh difahami dengan baik oleh adjudikator agar keputusan yang tepat dapat dicapai.

Prosedur tuntutan melalui CIPAA adalah lebih mudah kerana proses adjudikasi tiada perbicaraan di mana ianya dibuat secara “tertutup” iaitu tidak memerlukan mahkamah. Oleh sebab yang demikian, pembuktian berdasarkan dokumen menjadi lebih kuat dan efisien dari lisan. Untuk membuktikan pertikaian yang terjadi di dalam sijil bayaran, kontraktor perlulah melampirkan sijil bayaran yang lengkap, segala dokumen kontrak, surat menyurat yang dihantar atau diterima, lukisan kontrak dan lain-lain dokumen yang dirasakan perlu untuk menyokong tuntutan yang dibuat. 

Perkara utama yang paling penting sebelum tuntutan dibuat ialah kontraktor mestilah memastikan mereka telah mematuhi peruntukan dan peraturan di dalam kontrak. Ini adalah kerana, kebiasaannya pihak yang tidak membayar  berkemungkinan akan melantik peguam untuk mewakili mereka dalam tuntutan yang dibuat ke atas mereka. 

Disebabkan kebanyakan peguam kurang arif di dalam bidang pembinaan maka mereka akan lebih menjurus kepada terma-terma yang terkandung di dalam dokumen kontrak di mana terma-terma tersebut menyatakan peruntukan dan peraturan kontrak yang perlu dipatuhi oleh pihak-pihak yang berkontrak. Amat tidak mustahil jika peguam yang mewakili pihak yang tidak membayar akan menggunakan peruntukan dan peraturan dalam dokumen kontrak untuk membuat penafian terhadap tuntutan anda. Jadi, sila berhati-hati dan sediakan peluru anda sebelum bergasak ke medan juang!

Perlu diingatkan, tuntutan sampingan hanya boleh dibawa ke CIPAA setelah ianya menjadi pertikaian di dalam sijil bayaran. Ini bermaksud setiap tuntutan sampingan yang ingin dituntut seperti arahan perubahan kerja, kos-kos lanjutan masa dan kos-kos “loss & expense” mestilah telah dinyatakan di dalam sijil bayaran. Jika ianya telah dinyatakan dalam sijil bayaran kemudian terdapat pula pertikaian di dalam pembayaran, barulah anda boleh membuat tuntutan. Oleh sebab yang demikian kontraktor/sub-kontraktor perlulah membuktikan setiap tuntutannya dengan mengemukakan semua dokumen yang terlibat dengan lengkap supaya tuntutan yang dibuat berjaya dicapai. 

Adalah sangat penting untuk semua kontraktor/sub-kontraktor membuat dokumentasi,rekod  dan sistem fail yang efisien untuk setiap projek yang anda lakukan kerana ia sangat membantu jika anda menghadapi masalah tidak menerima bayaran atau masalah-masalh lain di kemudian hari. Sediakan payung sebelum hujan ya. Wassalam dan semoga bertemu lain di entri akan datang.

Noridah Omar
Shah Alam





SUMBER UNDANG-UNDANG KONTRAK


Assalammualaikum semua pembaca,

Secara umumnya, undang-undang adalah salah satu cara mengawal masyarakat dimana ia digunakan sebagai alat untuk mengawal tindakan ahli-ahlinya. Terdapat pelbagai jenis undang-undang yang terdapat di Malaysia antaranya lainnya Kanun Keseksaan, Kanun Tanah Negara dan lain-lain.

Di Malaysia, terdapat dua sumber undang-undang yang digunakan untuk mengawal kontrak. Undang-undang tersebut adalah Akta Kontrak 1950 dan Common Law. Akta Kontrak 1950 digunakan untuk merujuk semua peruntukan kontrak di Malaysia manakala common law pula digunakan bila mana terdapat kes yang sama yang telah diputuskan oleh Mahkamah yang lebih tinggi.  


Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
1.04.2020


KUNCI PENGURUSAN PROJEK


     Tuan-tuan dan puan-puan pembaca yang saya hormati pada entri ini saya ingin berkongsi tentang kunci pengurusan projek.

      Kunci adalah benda yang sangat penting dalam hidup kita. Tanpa kunci yang betul kita tidak dapat membuka pintu rumah dan pintu kereta. Ada kunci yang betul tetapi tertinggal pula di dalam kereta yang berkunci. Hujan pula turun. Apakah yang hendak anda lakukan? Tak kan pecahkan cermin kereta pula. Terpaksa lah anda berlari dalam hujan mencari tempat berteduh sementara mencari solusi.

     Demikian pentingnya sebuah kunci. Tuan-tuan dan puan-puan apakah kunci kepada pengurusan projek yang berjaya? Projek yang berjaya disiapkan tepat pada waktunya mengikut spesifikasi dengan kualiti terbaik dan dengan kos yang optimum. Apakah yang diperlukan untuk mencapai pengurusan projek yang berjaya?

    Umumnya untuk menyiapkan sesuatu projek kita hendaklah mempunyai barang dan bahan binaan yang mencukupi. Tidak kurang dan tidak pula terlalu berlebihan. Jika kurang bagaimana hendak siapkan projek tapi jika terlalu berlebihan membazir pula.

    Demikian juga kita perlukan pekerja yang mencukupi. Tidak kurang dan tidak pula terlalu ramai. Jika kurang pekerja maka pekerja akan terpaksa memikul beban kerja yang terlalu berat sehingga boleh terkena penyakit buasir. Jika terlalu ramai pula mereka akan mula bergelak tawa bergosip sana sini bersuka ria seperti hari raya.

    Sudah cukup bahan binaan dan pekerja. Tetapi manusia itu terbatas keupayaan nya . Maka perlu kepada mesin-mesin yang mencukupi untuk digunakan dalam penyiapan suatu projek.

    Pekerja yang mencukupi. Bahan binaan yang mencukupi. Mesin yang mencukupi. Tuan-tuan dan puan-puan pembaca sekalian apakah yang kita perlukan untuk mencapai tiga elemen di atas? Apakah kunci kepada pengurusan projek yang berjaya?

   Jawapannya ada di dalam wallet tuan-tuan dan puan-puan. Yer duit. Wang yang mencukupi untuk membayar pekerja . Tanpa wang yang mencukupi untuk membayar pekerja para pekerja mungkin akan mogok dan merusuh. Para pekerja bekerja di site di bawah panas terik mentari kerana mengharapkan ganjaran wang.

   Setakat ini belom pernah lagi saya dengar ada pekerja yang pada waktu penerimaan gaji pekerja tersebut menolak tidak mahu gaji tersebut. ‘’Tak apa saya kerja ikhlas tak mengharap balasan “ katanya.

   Tiada lagi lah setakat ini. Kalau yang mintak advance ramai. Belum gaji dah mintak pinjam duit. Ada yang membodek mau bonus. Kerja sambil lewa pula tu. Mmm masalah tu.

   Wang yang mencukupi untuk membayar barang dan bahan binaan yang mencukupi dan juga wang yang mencukupi untuk membayar sewa mesin.

  Maka tuan-tuan dan puan-puan pembaca sekalian aliran tunai yang mencukupi sangat penting dalam pelaksanaan suatu projek pembinaan. 

Caranya adalah dengan memastikan bayaran penuh daripada klien mesti diperolehi secara tetap dan tepat pada masa yang dijanjikan. Terlebih tak apa jangan kurang.

  Di sini lah peranan akta CIPAA 2012 untuk membantu kontraktor mendapat bayaran yang sepatutnya.


Terima kasih.
Saufian Aripin
Shah Alam                                                                               1/4/2020