Assalamualaikum,
Topik
penulisan saya hari ini masih lagi menyentuh mengenai prinsip umum dalam CIPAA.
Kali ini mengenai prinsip umum yang perlu anda patuhi untuk membuktikan
tuntutan yang dibuat. Saya amat berharap anda telah memahami topik-topik yang
telah saya terangkan di dalam entri yang lepas supaya anda mempunyai mempunyai
pengetahuan asas mengenai CIPAA seterusnya dapat memahami dengan baik
topik-topik yang akan ditulis masa akan datang, In shaa Allah.
Pembuktian merupakan elemen yang
signifikan di dalam suatu prosiding perbicaraan dan perlu dikemukakan secara teratur
di mahkamah. Pembuktian dalam istilah perundangan bahasa arab disebut sebagai
ithbat yang bermaksud mengemukakan dalil di hadapan hakim untuk menuntut suatu
hak dari hak-hak.
Bagi mencapai keadilan dalam sesuatu proses perbicaraan,
semua fakta dan isu yang dibangkitkan perlulah disokong dengan pembuktian yang
lengkap dan menyeluruh dan dikemukakan di hadapan hakim. Pembuktian tersebut
perlu dikemukakan melalui kaedah tertentu yang ditetapkan dalam peruntukan
sedia ada.
Seperti prosiding perbicaraan di mahkamah,
prosedur adjudikasi juga memerlukan pembuktian. Jika di dalam prosiding
perbicaraan di mahkamah, pembuktian dikemukakan di hadapan hakim, di dalam
prosedur adjudikasi pula pembuktian haruslah dikemukakan kepada pihak ketiga
yang diberi kuasa untuk membuat keputusan iaitu adjudikator yang dilantik
samada melalui persetujuan kedua-dua pihak atau lantikan daripada AIAC.
Beban bukti merupakan tanggungjawab
yang ditanggung oleh pihak dalam prosiding undang-undang untuk membuktikan kes
mereka secara aktif. Biasanya, beban bukti terletak ke atas pihak yang membawa
tuntutan untuk membuktikan kes mereka dengan menambah bukti sokongan yang
mencukupi.
Standard pembuktian adalah bertaraf “ balance of probability” yang
bermaksud piawaian undang-undang, yang digunakan dalam banyak bidang kuasa
untuk menentukan keputusan pertikaian sivil, yang mana ia memerlukan pertikaian
diputuskan untuk memihak kepada pihak yang tuntutannya lebih cenderung benar.
Kontraktor mestilah memastikan bukti-bukti yang diberikan kepada adjudikator
adalah relevan, mudah difahami, logik dan harus dibentangkan secara berkesan
agar adjudikator dapat memahami senario tuntutan yang dibuat. Adjudikator
merupakan ‘stranger’ kepada projek pembinaan yang anda lakukan. Jadi kesemua
bukti-bukti yang dikemukakan mestilah boleh difahami dengan baik oleh
adjudikator agar keputusan yang tepat dapat dicapai.
Prosedur tuntutan melalui CIPAA
adalah lebih mudah kerana proses adjudikasi tiada perbicaraan di mana ianya
dibuat secara “tertutup” iaitu tidak memerlukan mahkamah. Oleh sebab yang
demikian, pembuktian berdasarkan dokumen menjadi lebih kuat dan efisien dari
lisan. Untuk membuktikan pertikaian yang terjadi di dalam sijil bayaran,
kontraktor perlulah melampirkan sijil bayaran yang lengkap, segala dokumen
kontrak, surat menyurat yang dihantar atau diterima, lukisan kontrak dan
lain-lain dokumen yang dirasakan perlu untuk menyokong tuntutan yang dibuat.
Perkara utama yang paling penting sebelum tuntutan dibuat ialah kontraktor
mestilah memastikan mereka telah mematuhi peruntukan dan peraturan di dalam
kontrak. Ini adalah kerana, kebiasaannya pihak yang tidak membayar berkemungkinan akan melantik peguam untuk
mewakili mereka dalam tuntutan yang dibuat ke atas mereka.
Disebabkan
kebanyakan peguam kurang arif di dalam bidang pembinaan maka mereka akan lebih
menjurus kepada terma-terma yang terkandung di dalam dokumen kontrak di mana
terma-terma tersebut menyatakan peruntukan dan peraturan kontrak yang perlu
dipatuhi oleh pihak-pihak yang berkontrak. Amat tidak mustahil jika peguam yang
mewakili pihak yang tidak membayar akan menggunakan peruntukan dan peraturan
dalam dokumen kontrak untuk membuat penafian terhadap tuntutan anda. Jadi, sila
berhati-hati dan sediakan peluru anda sebelum bergasak ke medan juang!
Perlu diingatkan, tuntutan sampingan
hanya boleh dibawa ke CIPAA setelah ianya menjadi pertikaian di dalam sijil
bayaran. Ini bermaksud setiap tuntutan sampingan yang ingin dituntut seperti
arahan perubahan kerja, kos-kos lanjutan masa dan kos-kos “loss & expense”
mestilah telah dinyatakan di dalam sijil bayaran. Jika ianya telah dinyatakan
dalam sijil bayaran kemudian terdapat pula pertikaian di dalam pembayaran,
barulah anda boleh membuat tuntutan. Oleh sebab yang demikian
kontraktor/sub-kontraktor perlulah membuktikan setiap tuntutannya dengan
mengemukakan semua dokumen yang terlibat dengan lengkap supaya tuntutan yang
dibuat berjaya dicapai.
Adalah sangat penting untuk semua
kontraktor/sub-kontraktor membuat dokumentasi,rekod dan sistem fail yang efisien untuk setiap
projek yang anda lakukan kerana ia sangat membantu jika anda menghadapi masalah
tidak menerima bayaran atau masalah-masalh lain di kemudian hari. Sediakan
payung sebelum hujan ya. Wassalam dan semoga bertemu lain di entri akan datang.
Noridah Omar
Shah Alam
No comments:
Post a Comment