Friday, April 24, 2020

GANTIRUGI TAK SIAP (CLAUSE 40)


Hai Assalamualaikum wbt semua. Entri kali ini adalah tentang Ganti Rugi Tidak siap  atau  “Damages  for Non-Completion”. Di dalam  Kontrak PWD, tajuk ini di bawah KLAUSA 40 dan mempunyai 4 sub-klausa kesemuanya. Mari kita teliti bersama   J.
KLAUSA 40.1
Sekiranya kontraktor gagal menyiapkan kerja pada tarikh yang ditetapkan oleh kontrak ataupun dalam tempoh lanjutan masa (EOT) yang diberikan menurut klausa 43 maka Pegawai Penguasa (P.P) akan mengeluarkan sijil tidak siap kerja (Certificat of Non-Completion / CNC) kepada kontraktor.

KLAUSA 40.2
Tanpa prejudis, kerajaan berhak menamatkan kontrak ini apabila P.P mengemukakan Sijil Kerta tak siap (CNC) dan kerajaan juga berhak mendapatkan semula ganti rugi tertentu daripada kontraktor dan ganti rugi yang ditetapkan (LAD) yang dikira pada kadar yang dinyatakan dalam Apendix 1 dari tarikh kontraktor gagal menyiapkan kerja sehingga ke tarikh penyiapan kerja praktikal (CPC) atau tarikh penamatan kontrak (Termination).

P.P boleh menolak gantirugi (LAD) dari mana-mana wang yang belum dibayar ataupun yang akan dibayar kepada kontraktor, jika gagal, maka gantirugi itu akan diperolehi daripada bon perlaksanaan (Performance  Bond ) ataupun sebagai hutang daripada kontraktor. P.P hendaklah memaklumkan kepada kontraktor secara bertulis tentang penolakan tersebut.

KLAUSA 40.3
LAD yang dinyatakan di dalam Apendix 1 akan dianggap sebagai jumlah kerugian yang munasabah yang akan ditanggung oleh kerajaan sekiranya kontraktor melanggar Klausa ini. Kontraktor dengan membuat kontrak ini bersetuju untuk membayar kepada kerajaan jumlah tersebut sekiranya perlu dibayar tanpa memerlukan kerajaan untuk membuktikan kerosakan atau kerugiannya yang sebenar.

KLAUSA 40.4
Pembayaran atau pemotongan LAD tersebut tidak akan melepaskan kontraktor dari kewajipannya untuk menyelesaikan kerja-kerja dari mana-mana tanggungjawab dan liabiliti di bawah kontrak.



Kesimpulannya, Klausa ini menyediakan mekanisma di mana kerajaan dan kontraktor bersetuju lebih awal tentang ganti rugi yang akan ditanggung oleh Kontraktor jika sekiranya kontraktor gagal menyiapkan kerja pada Tarikh yang ditetapkan oleh kontrak ataupun Tarikh lanjutan masa (EOT).



Sekian,
Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                 Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 REV 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)



TUNTUTAN & REMEDI


Hai Assalamulaikum w.b.t semua.untuk topik Pengurusan Bayaran kali ini, kita akan membincangkan tentang “Tuntutan” dan “Remedi”.

Apa itu tuntutan? 
Dalam dunia pembinaan, Tuntutan ialah permohonan satu pihak kepada pihak yang lain untuk mendapatkan sesuatu yang berhak diterimanya mengikut peruntukan kontrak yang nyata atau tersirat di dalam satu kontrak yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Mengapa Tuntutan boleh  berlaku? ?
Ada  tiga sebab yang  jelas mengapa tuntutan boleh berlaku;
Yang pertama ialah apabila satu pihak tidak menjalankan tanggungjawab di bawah kontrak yang telah dipersetujui yakni apabila ada satu pihak telah melanggar kontrak. Sebagai contoh:

·         Majikan  gagal menunaikan tanggungjawab.

·         Ada tindakan majikan atau agennya yang menghalang kontraktor melaksanakan kerja dengan tekun.
·         Kontraktor lambat menyiapkan kerja.
·         Kontraktor gagal menjaga kualiti kerja.
·         Kontraktor gagal mematuhi arahan Pegawai Penguasa (P.P).

Yang kedua ialah apabila terjadi peristiwa yang diluar kawalan mana-mana pihak dan satu pihak dibenarkan untuk membuat tuntutan di bawah kontrak. Peristiwa tersebut adalah bukan disebabkan oleh kecuaian majikan atau kontraktor. Sebagai contoh bencana alam atau peperangan yang boleh melambatkan projek disiapkan.  Seperti keadaan sekarang, kerajan telah mengeluarkan “Perintah kawalan Pergerakan” disebabkan Covid-19. sudah tentu, kerja-kerja pembinaan sedikit sebanyak telah terjejas dan ini adalah bukan kesalahan pihak-pihak yang berkontrak.

Dan yang terakhir ialah apabila satu pihak mempertikaikan (Dispute) tuntutan dari pihak yang satu lagi. Pertikaian ini boleh terjadi jika pihak yang berkontrak tidak memahami dengan jelas apa yang berada di dalam dokumen kontrak. Dan selalunya, pertikaian ini terjadi apabila pihak yang membuat tuntutan tidak dapat mengemukakan dokumen yang cukup sebagai bukti yang mereka berhak untuk mendapat tuntutan tersebut.



Kontraktor boleh membuat tuntutan dan mendapatkan remedi (mendapatkan haknya semula) seperti yang telah termaktub di dalam dokumen kontrak pembinaan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Di antara tuntutan yang boleh dituntut oleh kontraktor ialah tuntutan tambahan kos kontrak. Tuntutan tambahan kos kontrak akan terjadi jika kontraktor diarahkan untuk membuat sesuatu kerja tambahan selain daripada yang terdapat di dalam kontrak. Tuntutan pengurangan kos juga boleh dilakukan jika kontraktor diarahkan untuk mengurangkan kerja yang telah ditetapkan di dalam dokumen kontrak. Kos tuntutan samada penambahan atau penolakan boleh berdasarkan harga seperti yang dinyatakan di dalam kontrak (bill of quantities) ataupun kadar harga yang telah dipersetujui melalui sebutharga yang diberikan.

Baiklah, itu sahaja penerangan ringkas tentang Tuntutan dan Remedi.  Semoga kita berjumpa lagi di entri yang akan datang.




Sekian,
Penulis: Zafirah Binti Mod Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia ( Tulisan oleh Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                 Nota Pemahaman  Kontrak PWD 203 PIN 1/2010 (Tulisan Hj Ismail bin Omar)




PRIVITY OF CONTRACT & ONUS PROBANDI



Assalammualaikum semua pembaca.

Untuk entri kali ini saya akan sambung menerangkan tajuk istilah undang-undang yang biasa digunakan dalam prosiding adjudikasi bagi CIPAA 2012.

“Privity of contract”

“Privity of contract” bermaksud hanya pihak yang berkontrak sahaja yang boleh mengemukakan saman ke atas satu sama lain sekiranya berlaku pertikaian di bawah kontrak. Dalam hal ini, kontrak tidak boleh dikuatkuasakan ke atas pihak ketiga. Pihak ketiga tidak boleh disaman apabila berlaku pertikaian antara pihak berkontrak.

Kebiasaanya isu muncul apabila berlaku pertikaian di antara subkontraktor dan kontraktor utama. Apabila berlaku situasi pertelingkahan antara kontraktor utama dan subkontraktor dalam projek kerajaan umumnya, pihak kerajaan tidak boleh menyaman atau disaman oleh subkontraktor dinamakan atau subkontraktor domestik.

Begitu juga kontraktor tidak boleh menyaman pegawai penguasa di bawah terma kontrak dan sebaliknya.

Walau bagaimanapun, kontraktor menanggung liabiliti secara vicarous untuk semua kesalahan subkontraktornya begitu juga kerajaan menanggung liability vicarous untuk pegawai penguasa.


“ Onus Probandi”

“ Onus Probandi” adalah perkataan Latin yang bermaksud literalnya “ keperluan pembuktian terletak kepada dia yang membuat tuntutan”.

“ Onus Probandi” adalah satu peraturan undang-undang yang menyatakan kewajipan untuk membawa bukti bagi menyokong kebenaran tuntutannya terletak di atas pihak yang menuntut.

Tahap pembuktian (dalam konteks kontrak) yang diperlukan adalah berdasarkan “ Balance of probability” untuk menunjukkan bahawa tuntutan itu adalah lebih benar dan layak.

Dalam perkara ini, pihak yang ingin membuat tuntutan di bawah kontrak mesti menyertakan bukti dan alasan di dalam tuntutannya. Selain mengemukakan bukti,penuntut juga perlu menyertakan pengiraan terhadap apa yang dituntut.





Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
24.04.2020


LEGASI SIR MICHAEL LATHAM



        Salam sejahtera. Selamat menunaikan ibadah puasa kepada kaum Muslimin dan muslimat. Pada entri kali ini saya akan kongsikan tentang legasi Sir Michael Latham kepada dunia industry binaan.

        Anda kenalkah Sir Michael Latham? Jika disebut Michael Bay,Michael Schumacher dan Michael Jackson tentu ramai yang tahu. Tapi apabila disebut Sir Michael Latham ramai kontraktor yang tidak tahu sedangkan beliau ada tokoh ternama di dalam dunia industri binaan. Jika disebut nama Bill gates pasti orang-orang di dalam dunia IT akan kenal. Sir Michael Latham adalah ibarat Bill Gates di dalam dunia industri binaan tapi malangnya ramai kontraktor di Malaysia khususnya tidak kenal kepada orang ini.

       Siapakah insan yang bernama Sir Michael Latham? Apakah sumbangan beliau kepada dunia industri binaan. Apakah legasi yang ditinggalkan beliau sehingga memberi manfaat kepada pemain-pemain industri binaan sehingga ke hari ini?

      Pada tahun 80an di UK ekonomi Negara tersebut meningkat naik. Industri binaan khususnya pada ketika itu membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan sehinggakan ramai kontraktor-kontraktor dari Britain membuat projek sampai ke Negara-negara timur tengah. Namun pada hujung 80an iaitu pada 1989 membawa ke awal 90an berlaku kemelesetan ekonomi di Britain membuatkan ramai kontraktor tiada kerja.

     Berlaku kemerotan yang teruk di dalam industri binaan Negara tersebut. Kontraktor-kontraktor berebut projek sehingga menawarkan harga yang rendah. Akibatnya berlaku kelewatan dalam menyiapkan projek dan tidak dapat memberikan kualiti yang baik di dalam projek. Berlaku penguasaan dan manipulasi oleh pemilik projek sehingga berlaku terlalu banyak pertikaian di kalangan client dan contractor. Banyak projek-projek  tidak dapat siap pada masanya.
    Kerajaan Britain pada ketika itu memanggil Sir Michael Latham seorang hakim untuk membuat suatu report untuk mencari penyelesaian permasalahan ini. Maka Sir Michael Latham pon membuat satu report bertajuk ‘Constructing the Team’ atau lebih dikenali sebagai “The Latham Report” diterbitkan pada bulan Julai tahun 1994.

   Sir Michael Latham mendapati industri binaan pada ketika itu terlalu banyak pertikaian di antara client dan contractor. Masalah bayaran yang mengakibatkan kelewatan dalam penyiapan suatu projek. Beliau mencadang kan kerjasama di antara client dan contractor. Masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam suatu projek.Beliau juga mencadangkan agar mewujudkan proses adjudikasi iaitu proses menyelesai masalah pertikaian ini dengan lebih segera dan mudah tanpa perlukan khidmat guaman yang mahal.

       Maka kesinambungan dari ‘The Latham Report’ ini pada tahun 1996 diwujudkan sebuah akta iaitu Housing Grants,Construction and Regeneration Act (HGCRA). Akta ini melalui proses adjudikasi telah mengubah landskap industri binaan di Britain menjadi lebih baik.

      Banyak Negara-negara lain mengikut jejak langkah Britain ini termasuk lah Malaysia yang telah mula melaksanakannya pada 15 April 2014 menggunakan nama Construction Industry Payment & Adjudication Act (CIPAA) 2012. Maka bermulah era baru di dalam Insdustri binaan Negara kita yang bakal mengubah landskap dan norma para pemain industri binaan tanah air.



Terima kasih.
Saufian Aripin                   24/4/2020