Thursday, April 2, 2020

LANGKAH PEMBUKTIAN


Assalamualaikum,

Dalam entri yang lepas, kita telah mengetahui tentang prinsip-prinsip umum bagi pembuktian dalam prosedur adjudikasi. Entri kali ini pula, saya akan menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk pembuktian di dalam prosedur adjudikasi. Sila pastikan langkah-langkah ini dipatuhi untuk memastikan tuntutan yang dibuat berjaya.

Mengapakah kontraktor/sub-kontraktor membuat tuntutan? Izinkan saya menggunakan terma ‘penuntut’ bagi menggantikan terma ‘kontraktor/subkontraktor’ di dalam entri ini supaya anda dapat memahami lebih jelas mengenai topik ini. Sudah tentu penuntut membuat tuntutan kerana mereka tidak menerima bayaran pada masa yang telah ditetapkan seperti dalam kontrak. Penuntut juga boleh membuat tuntutan jika mereka tidak menerima bayaran mencukupi seperti yang dinyatakan dlam sijil bayaran. Amaun yang dituntut mestilah seperti yang dinyatakan di dalam sijil tuntutan bayaran atau sijil bayaran yang diluluskan (jika ada). Ada beberapa langkah yang perlu diikuti untuk memastikan tuntutan yang dibuat berjaya dan penuntut dapat bayaran yang dituntut sepenuhnya oleh mereka.

Langkah pertama ialah penuntut mestilah membuktikan bahawa wujudnya kontrak pembinaan di antara penuntut dan responden. Ini bermaksud penuntut membuat kerja tersebut berdasarkan kontrak yang diberikan bukan sekadar suka-suka membuat kerja tersebut tanpa sebarang perjanjian. Wujudkah kontraktor yang membuat kerja secara sukarela tanpa perjanjian/kontrak pembinaan? Ini seperti melakukan kerja-kerja amal dan sangat mulia dan pastinya kontraktor tersebut mempunyai lebihan wang yang memang banyak.

Langkah kedua pula ialah kontrak pembinaan tersebut mestilah dilakukan secara bertulis seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 2 akta CIPAA 2012. Bertulis disini bermaksud, sebarang bentuk medium penulisan boleh diambil kira termasuklah ditulis dengan tangan atau dicetak dengan menggunakan komputer dengan menggunakan bahasa yang difahami oleh kedua pihak, sama ada di atas kertas atau apa-apa medium penulisan yang dapat dilihat. Apa yang penting, penuntut dapat mengemukakan sesalinan kontrak yang telah diperakui sah dan ditandatangani semasa membuat tuntutan.

Langkah ketiga dan terakhir di dalam prosedur adjudikasi ialah penuntut mestilah boleh membuktikan bahawa tuntutan yang dibuat adalah terhadap perkara yang wujud di dalam terma kontrak / peruntukan ingkar di bawah CIPAA. Tuntutan terhadap perkara yang wujud di dalam terma kontrak termasuklah bayaran kemajuan kerja, LAD, kerja lebih masa, loss and expense, dan variasi order. Peruntukan ingkar di bawah CIPAA pula merupakan peruntukan yang akan digunapakai jika tiada terma pembayaran di dalam dokumen kontrak. Penulis akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang peruntukan ingkar di dalam entri yang akan datang.

Penuntut mestilah boleh membuktikan bahawa mereka telah mematuhi kontrak iaitu prosedur kerja dan prosedur tuntutan dengan memastikan notis, pengesahan, penilaian kerja dan tuntutan telah dilaksanakan mengikut syarat yang telah ditetapkan. Jika penuntut ingin membuat tuntutan Lanjutan Masa (EOT), Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), Tuntutan Variasi (VO) maka beliau mestilah boleh membuktikan tuntutan tersebut dengan menyatakan sebab dan kesan peristiwa tersebut ke atas mereka.  Sebagai contoh, jika terdapat tuntutan kepada Tuntutan Variasi, penuntut mestilah boleh membuktikan siapa yang memberi arahan, bila arahan diberi dan berapa kos VO untuk dilaksanakan. Penuntut juga mestilah boleh menyatakan kesan ke atas tarikh penyiapan projek yang mungkin akan terlewat dan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh mereka.

Salah satu cara untuk pembuktian yang efektif dan mudah difahami adalah dengan membentangkan maklumat melalui kronologi. Kronologi yang dibuat mestilah menerangkan perkara yang berlaku, bila perkara tersebut berlaku dan boleh mengesahkan perkara tersebut dengan merujuk kepada surat menyurat, minit mesyuarat, memo, notis dan sebagainya yang mana setiap daripadanya mestilah disimpan dengan teratur oleh penuntut. Siapa sahaja yang tidak suka dengan kronologikan! Kadang-kadang jika berlaku sesuatu peristiwa sebagai contoh kes kehilangan pesawat MH370, membaca kronologi boleh menyebabkan kita terus memahami peristiwa keseluruhan tanpa perlu membaca dan membuka teks akhbar yang sangat panjang yang telah disiarkan sebelum-sebelumnya. Sekian dulu buat kali ini, moga bertemu di entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam


No comments:

Post a Comment