Thursday, March 26, 2020

PRINSIP UMUM CIPAA


Assalamualaikum,

Entri kali ini, kita teruskan dengan prinsip umum CIPAA. Terdapat dua prinsip umum yang perlu dipatuhi untuk membuat tuntutan adjudikasi. 

Prinsip pertama yang perlu dipatuhi ialah pihak yang membuat tuntutan haruslah menanggung beban pembuktian di mana beliau perlu membuktikan setiap tuntutan yang mahu dituntut olehnya. 

Pembuktian boleh dilakukan dengan menyediakan semua dokumen termasuklah surat-menyurat yang dihantar atau diterima semasa berkontrak, sijil bayaran, lukisan, “take-off”, gambar-gambar yang diambil di tapak kontrak ataupun lain-lain dokumen yang dirasakan boleh menyokong tuntutan yang dibuat. 

Suka diingatkan bahawa pembuktian yang anda tunjukkan mestilah dapat menyokong setiap tuntutan yang anda buat secara telus dan dapat membuktikan bahawa anda memang layak untuk mendapat tuntutan tersebut dan tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap tuntutan anda. 

Sebagai contoh, jika anda membuat tuntutan untuk kerja-kerja tambahan (V.O) anda mestilah boleh membuktikan anda mendapat arahan untuk membuat kerja-kerja tersebut samada melalui notis, memo atau melalui lukisan kontrak. Anda juga perlu menyatakan jumlah tuntutan anda adalah berdasarkan BOQ ataupun kadar lain yang telah anda maklumkan dengan menghantar senarai sebut harga yang baru.

Prinsip kedua yang perlu dipatuhi ialah pihak yang ingin membuat tuntutan adjudikasi di bawah kontrak ialah mestilah terlebih dahulu memastikan bahawa beliau telah mematuhi peruntukan-peruntukan dalam kontrak tersebut supaya tuntutannya tidak dicabar oleh pihak yang dituntut sekaligus menyebabkan keputusan untuk memenangi prosedur adjudikasi tipis.

 Inilah sebabnya setiap kontraktor dikehendaki untuk membaca dan memahami dokumen kontrak agar anda mengetahui hak anda serta remedi yang boleh diperolehi sekaligus tidak mudah tertipu di dalam industri pembinaan. 

Selagi anda merasakan anda berada di landasan yang betul dan anda menyimpan segala dokumentasi yang berkaitan projek binaan yang anda buat dengan baik, saya pasti anda boleh menuntut hak anda semula. 

Anda boleh mendapatkan konsultasi daripada perunding yang boleh membantu anda untuk mendapatkan kembali wang anda yang telah ditahan dengan membawa semua bukti dan dokumen yang berkaitan. Setiap masalah yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaiannya selagimana kita ada usaha untuk menyelesaikannya. Sekian untuk hari ini moga diberikan kesempatan untuk bertemu lagi. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam

No comments:

Post a Comment