Assalamualaikum,
Kali ini saya akan
menerangkan berkenaan Tuntutan Adjudikasi. Pihak yang menuntut mestilah
menyampaikan Tuntutan Adjudikasi kepada Responden dalam tempoh 10 hari bekerja selepas
menerima surat pengesahan perlantikan daripada adjudikator seperti yang
terkandung di dalam seksyen 9 akta CIPAA. Seperti yang telah saya beritahu di
dalam entri yang lepas, cara untuk menyampaikan Tuntutan Adjudikasi adalah
seperti yang tertakluk di bawah seksyen 38 akta CIPAA.
Sebenarnya, tiada
format yang khusus untuk menyediakan Tuntutan Adjudikasi tetapi, tuan-tuan
bolehlah merujuk kepada seksyen 9 akta ini sebagai garis panduan untuk anda
menyediakan Tuntutan Adjudikasi. Tuntutan Adjudikasi merupakan pengembangan tuntutan
dan perkara atau isu yang dibangkitkan di dalam Tuntutan Bayaran dan Notis
Adjudikasi. Di dalam Tuntutan Adjudikasi, biasanya penuntut akan memberikan
keterangan yang lebih lengkap lagi daripada Tuntutan Bayaran atau Notis Adjudikasi.
Penuntut juga boleh melampirkan semua dokumen dan surat menyurat yang terlibat,
lukisan, gambar dan dokumen-dokumen sokongan yang sesuai sebagai bukti untuk
mengukuhkan lagi tuntutan yang dibuat.
Secara umumnya,
Tuntutan Adjudikasi bertulis mestilah mengandungi penerangan ringkas mengenai
pihak-pihak yang terlibat dengan tuntutan adjudikasi, penerangan ringkas
tentang kontrak pembinaan yang mana timbulnya pertikaian tersebut, fakta-fakta
berkaitan pertikaian, bukti-bukti yang menyokong tuntutan yang dibuat, remedi
yang dituntut, rujukan kepada dokumen dan surat menyurat terdahulu termasuklah
notis Tuntutan Bayaran, Respon Bayaran dan Notis Adjudikasi serta dokumen
sokongan lain yang merupakan bukti-bukti kukuh kepada tuntutan yang dibuat.
Pihak yang menuntut
boleh mempertahankan tuntutan mereka, membuat “cross-claim”, “set-off” ataupun
“counter claim” terhadap Respon Bayaran jika mereka menerima dokumen tersebut
daripada Responden. Walaupon begitu, penuntut tidak boleh mengemukakan tuntutan
baru atau menambah jumlah tuntutan mereka di dalam Tuntutan Adjudikasi yang
tidak berkaitan dengan perkara-perkara yang timbul di dalam Tuntutan Bayaran
atau Respon Bayaran.
Adjudikator
mestilah menerima sesalinan Tuntutan Adjudikasi daripada pihak yang menuntut
berserta dokumen sokongan. Penuntut juga mestilah menyampaikan sesalinan
Tuntutan Adjudikasi kepada Pengarah AIAC tanpa mengepilkan dokumen sokongan
kecuali jika diminta.
Secara ringkasnya,
syarat-syarat untuk memfailkan tuntutan adjudikasi adalah seperti berikut: -
Ø Tuntutan Adjudikasi mestilah secara bertulis dan di atas perkara yang
dipertikaikan sahaja
i.
Sifat & perihal perkara yang
dipertikaikan
ii.
Remedi yang dinyatakan
iii.
Dokumen sokongan
Sekian, sehingga berjumpa lagi di entri akan
datang. Wassalam.
Noridah Omar
Shah Alam.
No comments:
Post a Comment