Wednesday, April 29, 2020

RETENTION MONEY



Assalamualaikum  semua. Untuk entri hari ini, saya akan menerangkan apa itu “Retention Money”  di dalam dunia  pembinaan.

APA ITU WANG TAHANAH DI DALAM KONTRAK PEMBINAAN?
Secara umumnya, “Retention Money”  ialah Wang tahanan.  Wang Tahanan di dalam kontrak adalah satu amaun  yang dipegang oleh majikan untuk tujuan “ Set off” jika  sekiranya kontraktor gagal untuk meneruskan kerja atau gagal membaiki kecacatan.  Samada semasa  kontrak masih berjalan ataupun semasa tempoh tanggungan kecacatan  (Defect Liability Period).

APAKAH TUJUAN WANG TAHANAN?
Wang Tahanan adalah merupakan suatu cara perlindungan untuk majikan terhadap kemungkinan kontraktor melakukan perlanggaran (breach) kontrak. Ia juga untuk memastikan kontraktor menjalankan tanggungjawab mereka sehingga kerja siap sepenuhnya. 

Borang Kontrak Seragam JKR tidak memasukkan terma Wang Tahanan tetapi lain-lain kontrak (Kontrak swasta) di Malaysia ada memasukkan terma Wang Tahanan di dalam kontrak mereka.  Majoriti kontrak  di  antara  kontraktor utama dan sub-kontraktor memasukkan  terma Wang Tahanan. 

Majikan mestilah memaklumkan atau memberi notis kepada kontraktor  untuk membaiki kecacatan sebelum majikan boleh membaikinya sendiri atau melantik pihak lain untuk membaiki kecacatan dan “Set off” daripada Wang Tahanan.

Wang Tahanan juga sepatutnya disimpan  sebagai “Wang Amanah” (Fiduciary) oleh majikan dan tidak boleh digunakan untuk tujuan berniaga kerana wang itu bukan hak mereka tetapi adalah hak sub-kontraktor.

Majikan hanya boleh menolak Wang Tahanan sekiranya terdapat pelanggaran (breach) tanggungjawab oleh kontraktor dan itupun perlu  dilakukan mengikut prosedur undang-undang. Berdasarkan kes-kes yang diadili  di mahkamah Malaysia, maka adalah lebih selamat jika sekiranya kontraktor meminta supaya majikan meletakkan Wang Tahanan ini di dalam satu akaun yang berasingan dari akaun majikan di awal projek.




Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 REV 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)






No comments:

Post a Comment