KUALA LUMPUR, 15 April – Jemaah
Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 April 2014, telah bersetuju dengan cadangan
Kementerian Kerja Raya, untuk menguatkuasakan Akta Pembayaran dan Adjudikasi
Industri Pembinaan atau Construction Industry Payment and Adjudication Act
(CIPAA) 2012. CIPAA 2012 ini akan mula
berkuatkuasa pada 15 April 2014 selari
dengan perasmian Mahkamah Tinggi Pembinaan Kuala Lumpur dan Shah Alam
pada 14 April 2014.
Akta ini akan terpakai kepada semua
kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan
pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang
dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di
Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan
Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.
Dengan berkuatkuasanya CIPAA, maka
lengkaplah tiga remedi (The Trinity of Remedies) bagi menyelesaikan pertikaian bayaran dalam
rantaian industri pembinaan.
Namun begitu beberapa kategori
kontrak pembinaan adalah dikecualikan dari pelaksanaan CIPAA 2012 ini antaranya
kontrak dalam kategori keselamatan dan kategori kerja kecemasan. Namun demikian pengecualian bagi kategori
kontrak ini adalah berbentuk sementara iaitu sehingga 31 Disember 2015 agar
ianya tidak menjejaskan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-10.
Promosi CIPAA 2012 telah dijalankan
secara berfasa oleh KKR dan agensi seliaannya di mana sebanyak 20 roadshow dan
taklimat khusus kepada mereka yang terlibat dalam industri pembinaan telah
diadakan. Selain itu, Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA)
sebagai badan adjudikasi CIPAA 2012 juga telah menjalankan lebih dari 30 roadshow
kepada peguam, mahasiswa perundangan, dan mereka yang terlibat dalam
rantaian perundangan.