Thursday, March 26, 2020

SKOP PERTIKAIAN YANG BOLEH DI BAWA KE CIPAA 2012


Assalamualaikum,

Ini merupakan entri saya yang pertama berkenaan CIPAA 2012 di dalam blog ini. Inshaa Allah saya akan cuba untuk menerangkan dengan sebaik mungkin berkenaan tajuk ini supaya anda semua dapat memahami serba sedikit perkara-perkara berkaitan dengan CIPAA 2012 ini. Jika anda masih kurang jelas dan kurang memahami penulisan saya ini, saya amat mengesyorkan anda untuk memberikan sebarang komentar dan cadangan agar saya dapat memperbaiki penulisan saya untuk entri-entri akan datang. 

Pasti anda pernah mendengar apa yang dimaksudkan dengan CIPAA 2012 (Construction Industry Payment and Adjudication Act) atau dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan. Jika belum, anda boleh membacanya di dalam blog yang sama di mana penulisan mengenainya akan ditulis oleh rakan sekerja saya ataupun terus membaca entri-entri saya kerana saya akan menyentuhnya serba sedikit.

Dalam industri pembinaan, kebiasaannya, sebelum memulakan sesuatu kerja pasti akan di dahulukan dengan menandatangani kontrak iaitu perjanjian di antara kedua-dua pihak yang berkontrak. Ada pelbagai jenis kontrak pembinaan di Malaysia bergantung kepada siapa pemilik projek. Penjelasan lanjut mengenai kontrak juga boleh anda baca di dalam blog ini.

Entri saya ini akan menerangkan berkenaan kontrak jenis yang bagaiman yang boleh dituntut melalui CIPAA. Tidak semua kontrak boleh dibawa kepada CIPAA. Akta CIPAA terpakai kepada semua kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di  Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. CIPAA diwujudkan untuk menangani pertikaian di bawah kontrak sahaja dan berfungsi untuk menyelesaikan pertikaian yang melibatkan pembayaran untuk kerja yang telah siap atau perkhidmatan yang diberikan dibawah terma kontrak pembinaan yang nyata .

Klien perlulah membuat bayaran kepada kontraktor/ konsultan/ subkontraktor/ pembekal bahan yang telah dilantik jika mereka telah melaksanakan kerja-kerja yang diberikan dengan sempurna. Jika klien tidak membuat bayaran seperti yang terkandung di dalam terma kontrak pembinaan yang telah dipersetujui, klien dianggap telah melanggar kontrak dan wujud pertikaian diantara klien dan kontraktor. Kontraktor kemudian boleh membawa pertikaian mengenai bayaran ini kepada CIPAA.

Saya percaya, terdapat ramai daripada kontraktor sama ada yang telah menyiapkan kerja-kerja kontrak atau sedang melaksanakan kerja-kerja kontrak tidak menerima bayaran seperti yang telah dijanjikan di dalam dokumen kontrak. Betul atau tidak? Jika anda mempunyai masalah pembayaran seperti tidak menerima bayaran ataupun menerima bayaran kurang daripada seperti dinyatakan dalam sijil pembayaran, jangan tunggu lama-lama seperti menunggu buah yang tidak gugur.

Sudah tentu anda memerlukan wang tersebut untuk membayar upah pekerja, bahan binaan, sewaan mesin dan sebagainya yang mana ia akan memberikan kesan yang amat besar kepada kemajuan kerja kontrak anda seterusnya kepada tarikh siapnya projek. Mungkin telah banyak surat peringatan untuk mengeluarkan bayaran yang anda hantar tetapi tidak mendapat maklumbalas positif daripada kontraktor atasan. Anda mungkin boleh mencuba untuk membuat tuntutan melalui CIPAA pula, siapa tahu dengan cara ini anda mungkin dapat semula wang anda.

Saya berhenti setakat ini dulu. Kita jumpa lagi di entri akan datang dengan tajuk-tajuk lain yang saya harap dapat membantu anda untuk memahami sebanyak mungkin berkenaan CIPAA ini. Saya harap anda dapat memahami penulisan ini dan saya amat hargai komen dan cadangan anda untuk sama-sama memperbaiki tulisan ini. Sehingga bertemu lagi. Wassalam.



Noridah Omar

Shah Alam.


No comments:

Post a Comment