Thursday, March 26, 2020

SKOP PERTIKAIAN YANG BOLEH DI BAWA KE CIPAA 2012


Assalamualaikum,

Ini merupakan entri saya yang pertama berkenaan CIPAA 2012 di dalam blog ini. Inshaa Allah saya akan cuba untuk menerangkan dengan sebaik mungkin berkenaan tajuk ini supaya anda semua dapat memahami serba sedikit perkara-perkara berkaitan dengan CIPAA 2012 ini. Jika anda masih kurang jelas dan kurang memahami penulisan saya ini, saya amat mengesyorkan anda untuk memberikan sebarang komentar dan cadangan agar saya dapat memperbaiki penulisan saya untuk entri-entri akan datang. 

Pasti anda pernah mendengar apa yang dimaksudkan dengan CIPAA 2012 (Construction Industry Payment and Adjudication Act) atau dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan. Jika belum, anda boleh membacanya di dalam blog yang sama di mana penulisan mengenainya akan ditulis oleh rakan sekerja saya ataupun terus membaca entri-entri saya kerana saya akan menyentuhnya serba sedikit.

Dalam industri pembinaan, kebiasaannya, sebelum memulakan sesuatu kerja pasti akan di dahulukan dengan menandatangani kontrak iaitu perjanjian di antara kedua-dua pihak yang berkontrak. Ada pelbagai jenis kontrak pembinaan di Malaysia bergantung kepada siapa pemilik projek. Penjelasan lanjut mengenai kontrak juga boleh anda baca di dalam blog ini.

Entri saya ini akan menerangkan berkenaan kontrak jenis yang bagaiman yang boleh dituntut melalui CIPAA. Tidak semua kontrak boleh dibawa kepada CIPAA. Akta CIPAA terpakai kepada semua kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di  Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. CIPAA diwujudkan untuk menangani pertikaian di bawah kontrak sahaja dan berfungsi untuk menyelesaikan pertikaian yang melibatkan pembayaran untuk kerja yang telah siap atau perkhidmatan yang diberikan dibawah terma kontrak pembinaan yang nyata .

Klien perlulah membuat bayaran kepada kontraktor/ konsultan/ subkontraktor/ pembekal bahan yang telah dilantik jika mereka telah melaksanakan kerja-kerja yang diberikan dengan sempurna. Jika klien tidak membuat bayaran seperti yang terkandung di dalam terma kontrak pembinaan yang telah dipersetujui, klien dianggap telah melanggar kontrak dan wujud pertikaian diantara klien dan kontraktor. Kontraktor kemudian boleh membawa pertikaian mengenai bayaran ini kepada CIPAA.

Saya percaya, terdapat ramai daripada kontraktor sama ada yang telah menyiapkan kerja-kerja kontrak atau sedang melaksanakan kerja-kerja kontrak tidak menerima bayaran seperti yang telah dijanjikan di dalam dokumen kontrak. Betul atau tidak? Jika anda mempunyai masalah pembayaran seperti tidak menerima bayaran ataupun menerima bayaran kurang daripada seperti dinyatakan dalam sijil pembayaran, jangan tunggu lama-lama seperti menunggu buah yang tidak gugur.

Sudah tentu anda memerlukan wang tersebut untuk membayar upah pekerja, bahan binaan, sewaan mesin dan sebagainya yang mana ia akan memberikan kesan yang amat besar kepada kemajuan kerja kontrak anda seterusnya kepada tarikh siapnya projek. Mungkin telah banyak surat peringatan untuk mengeluarkan bayaran yang anda hantar tetapi tidak mendapat maklumbalas positif daripada kontraktor atasan. Anda mungkin boleh mencuba untuk membuat tuntutan melalui CIPAA pula, siapa tahu dengan cara ini anda mungkin dapat semula wang anda.

Saya berhenti setakat ini dulu. Kita jumpa lagi di entri akan datang dengan tajuk-tajuk lain yang saya harap dapat membantu anda untuk memahami sebanyak mungkin berkenaan CIPAA ini. Saya harap anda dapat memahami penulisan ini dan saya amat hargai komen dan cadangan anda untuk sama-sama memperbaiki tulisan ini. Sehingga bertemu lagi. Wassalam.



Noridah Omar

Shah Alam.


ISU-ISU UTAMA TUNTUTAN CIPAA


APA YANG BOLEH ANDA TUNTUT MELALUI PROSEDUR CIPAA??

Assalamualaikum,

Hari ini saya akan menulis tentang isu-isu utama tuntutan melalui CIPAA. Diharapkan ianya dapat membantu mana-mana kontraktor atau sub-kontrak yang mengalami masalah ini dan dapat memberikan segaris jalur harapan buat mereka untuk menangani masalah ini. Umumnya, masalah kelewatan bayaran sering berlaku di dalam industri pembinaan bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara maju yang lain. Kebanyakan masalah yang sering dialami oleh kebanyakan kontraktor, subkontrak, sub-sub kontraktor ialah menerima bayaran kurang daripada yang telah dipersetujui seperti di dalam sijil bayaran, lambat menerima bayaran dari tarikh akhir yang ditetapkan malah yang lebih teruk lagi ialah tidak menerima sebarang bayaran lang selepas mereka melaksanakan kerja.

Jika masalah ini berlarutan, ia pasti akan memberi kesan kepada kadar kemajuan kerja di mana ia akan menyebabkan kelewatan dalam menyiapkan projek malah ada juga kontraktor yang terpaksa memberhentikan kerja kerana tidak mempunyai aliran modal atau modal pusingan untuk menjalankan projek. Ini adalah kerana kebanyakan kontraktor terutamanya sub-kontraktor tidak mampu untuk menanggung kos-kos kontrak yang besar yang melibatkan kos bahan mentah, kos upah pekerja dan kos-kos lain yang terlibat di dalam penyiapan projek.

Oleh sebab itu akta CIPAA 2012 diwujudkan untuk memudahkan pembayaran yang tetap dan tepat pada masanya dan juga untuk menyediakan peruntukan bagi suatu mekanisma bagi menyelesaikan pertikaian yang cepat melalui prosedur adjudikasi. Ia juga mengadakan peruntukan bagi remedi untuk mendapatkan bayaran dalam indurtri pembinaan dan mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan berkesampingan olehnya.

CIPAA terpakai untuk tuntutan bayaran interim dan juga tuntutan bayaran muktamad.  Bayaran interim dan muktamad yang boleh dituntut termasuklah bayaran untuk Arahan Perubahan Kerja, kos-kos kontrak yang ditanggung semasa dalam tempoh lanjutan masa, kos “loss & expense” dan “set off”

Kontraktor boleh menuntut bayaran interim jika tidak menerima bayaran selepas tamat tarikh bayaran yang sepatutnya diterima seperti yang tertakluk di dalam terma dokumen kontrak. Lebih awal sesorang kontraktor itu membuat tuntutan bayaran melalui CIPAA lebih bagus kerana ini membolehkan kontraktor tersebut menerima bayaran secara tetap untuk meneruskan projek dan memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Jadi, jika anda seorang kontraktor, sub-kontraktor ataupun sub-sub-kontraktor dan anda mengalami masalah tidak menerima bayaran samada bayaran interim atau bayaran muktamad, maka janganlah anda bertangguh untuk menuntut bayaran melalui CIPAA. Anda berhak menuntut bayaran bagi kerja-kerja yang anda lakukan. Ingat, CASH IS KING!! Bagaimana anda mahu meneruskan kerja atau membuat kontrak yang baru jika anda tidak mempunyai wang yang mencukupi. 

Wang bukan segalanya tapi segalanya di atas muka bumi ini memerlukan wang. Kecuali udara dan angan-angan. Hehehe. Sampai di sini dulu. Moga bertemu di entri akan datang. Komen dan cadangan atau soalan anda amat saya hargai ya! Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam

GARIS PANDUAN UNTUK PROSEDUR CIPAA


Assalamualaikum,

Jika entri yang sebelum ini, saya telah menerangkan berkenaan perkara-perkara yang anda boleh tuntut melalui prosedur CIPAA maka untuk entri kali ini saya akan menerangkan pula garis panduan yang perlu anda ikuti untuk melaksanakan prosedur tuntutan ke atas kontrak melalui CIPAA sekaligus memastikan tuntutan yang dibuat berjaya. Jangan buat kerja yang sia-sia ya!
Garis panduan yang akan dibincangkan di dalam blog ini adalah berdasarkan terma-terma yang biasa digunakan di dalam borang kontrak standard iaitu borang kontrak PWD 203 dan borang kontrak PAM 2006. Borang kontrak PWD 203 merupakan borang kontrak standard yang digunapakai untuk kontrak kerajaan atau sektor awam manakala borang kontrak PAM 2006 merupakan borang kontrak standard  yang digunapakai untuk kontrak sektor swasta.  Setiap kontrak mempunyai tatacaranya yang tersendiri yang perlu difahami dan dipatuhi oleh pihak yang berkontrak. Perlu diingatkan bahawa, kegagalan seseorang kontraktor mematuhi prosedur di bawah kontrak merupakan punca kegagalan untuk membuat tuntutan.

Umumnya, kebanyakan kontraktor atau sub-kontraktor memang tidak membaca dokumen kontrak menyebabkan mereka tidak memahami apa isi kandungan kontrak. Bukan semua tau. Ini bukan saya saja-saja kata ya tapi pengalaman berjumpa dengan ramai kontraktor/sub-kontraktor mereka memang mengatakan begitu. Kata mereka dokumen kontrak tebal dan agak sukar sukar difahami kerana bahasa yang diguna pakai aras tinggi. Betul ke? Bagi pendapat saya yang masih hijau dengan industri pembinaan dan dokumen kontrak memang tidak menafikan perkara tersebut. Tapi sewajarnya sebagai kontraktor/sub-kontraktor memang memerlukan anda untuk membaca dan memahami dokumen kontak, ya tau tidak?
Dokumen kontrak secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai dokumen yang mengandungi perkara-perkara perjanjian pihak-pihak berkontrak di mana ia menetapkan dan menghuraikan hak dan kewajipan pihak-pihak dalam kontrak. Oleh sebab yang demikian para kontraktor mestilah membaca kontrak dengan teliti kerana setiap perkara yang tertulis di dalamnya dibuat dengan sebab dan tujuan tertentu. Siapa tahu, anda mungkin akan menggunakan terma-terma yang terkandung di dalam dokumen kontrak untuk membantu anda mendapatkan semula hak dan remedi anda yang tidak dipenuhi atau diabaikan oleh majikan atau kontraktor utama. Setakat ini dahulu untuk entri kali ini. Bertemu lagi kita di entri akan datang untuk penulisan seterusnya. Wassalam.

Noridah Omar,
Shah Alam.


MAKSUD TERMA-TERMA YANG DIGUNAPAKAI DI DALAM PROSEDUR CIPAA


Assalamualaikum,
Dalam entri kali ini, saya akan menerangkan maksud terma-terma yang digunapakai di dalam prosedur adjudikasi. Di harap dengan mengetahui maksud terma-terma di dalam prosedur adjudikasi ini dapat membantu kontraktor untuk memahami serba sedikit berkenaan proses CIPAA.


ü  BAYARAN – ialah bayaran bagi kerja yang telah dilaksanakan oleh kontraktor atau perkhidmatan yang telah diberikan oleh konsultan projek  seperti yang telah dinyatakan di bawah terma kontrak pembinaan.
                               
ü  TIADA BAYARAN – bermaksud kontraktor tidak menerima bayaran setelah tamat tempoh bayaran pada tarikh luput (due date) seperti yang dinyatakan di dalam suatu kontrak pembinaan interim, muktamad, V.O
                               
ü  PIHAK YANG TIDAK DIBAYAR – merupakan pihak yang menuntut bayaran sejumlah wang yang tidak dibayar sepenuhnya atau sebahagiannya kepadanya dibawah suatu kontrak pembinaan                              
ü  PIHAK YANG TIDAK MEMBAYAR -  merupakan pihak yang dituntut bayaran oleh pihak yang tidak dibayar di bawah suatu kontrak pembinaan

ü  PIHAK YANG MENUNTUT – merupakan pihak yang terkilan dalam kontrak pembinaan yang memulakan prosiding Adjudikasi

ü  RESPONDEN - ialah orang yang menerima notis adjudikasi dan tuntutan adjudikasi daripada pihak yang menuntut

ü  PRINSIPAL –suatu pihak yang telah berkontrak dengan dan bertanggungan untuk membuat bayaran kepada pihak yang satu lagi yang selepas itu pihak yang satu lagi itu berkontrak dengan dan bertanggungan untuk membuat bayaran kepada orang yang selanjutnya dalam suatu rangkaian kontrak pembinaan        


Sekian dahulu dari saya untuk kali ini. Semoga kita bertemu lagi di entri akan datang untuk topik-topik yang lain. Teruskan menyokong tulisan saya dengan memberikan komen dan cadangan bernas anda.Wassalam.  


Noridah Omar
Shah Alam

PRINSIP UMUM CIPAA


Assalamualaikum,

Entri kali ini, kita teruskan dengan prinsip umum CIPAA. Terdapat dua prinsip umum yang perlu dipatuhi untuk membuat tuntutan adjudikasi. 

Prinsip pertama yang perlu dipatuhi ialah pihak yang membuat tuntutan haruslah menanggung beban pembuktian di mana beliau perlu membuktikan setiap tuntutan yang mahu dituntut olehnya. 

Pembuktian boleh dilakukan dengan menyediakan semua dokumen termasuklah surat-menyurat yang dihantar atau diterima semasa berkontrak, sijil bayaran, lukisan, “take-off”, gambar-gambar yang diambil di tapak kontrak ataupun lain-lain dokumen yang dirasakan boleh menyokong tuntutan yang dibuat. 

Suka diingatkan bahawa pembuktian yang anda tunjukkan mestilah dapat menyokong setiap tuntutan yang anda buat secara telus dan dapat membuktikan bahawa anda memang layak untuk mendapat tuntutan tersebut dan tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap tuntutan anda. 

Sebagai contoh, jika anda membuat tuntutan untuk kerja-kerja tambahan (V.O) anda mestilah boleh membuktikan anda mendapat arahan untuk membuat kerja-kerja tersebut samada melalui notis, memo atau melalui lukisan kontrak. Anda juga perlu menyatakan jumlah tuntutan anda adalah berdasarkan BOQ ataupun kadar lain yang telah anda maklumkan dengan menghantar senarai sebut harga yang baru.

Prinsip kedua yang perlu dipatuhi ialah pihak yang ingin membuat tuntutan adjudikasi di bawah kontrak ialah mestilah terlebih dahulu memastikan bahawa beliau telah mematuhi peruntukan-peruntukan dalam kontrak tersebut supaya tuntutannya tidak dicabar oleh pihak yang dituntut sekaligus menyebabkan keputusan untuk memenangi prosedur adjudikasi tipis.

 Inilah sebabnya setiap kontraktor dikehendaki untuk membaca dan memahami dokumen kontrak agar anda mengetahui hak anda serta remedi yang boleh diperolehi sekaligus tidak mudah tertipu di dalam industri pembinaan. 

Selagi anda merasakan anda berada di landasan yang betul dan anda menyimpan segala dokumentasi yang berkaitan projek binaan yang anda buat dengan baik, saya pasti anda boleh menuntut hak anda semula. 

Anda boleh mendapatkan konsultasi daripada perunding yang boleh membantu anda untuk mendapatkan kembali wang anda yang telah ditahan dengan membawa semua bukti dan dokumen yang berkaitan. Setiap masalah yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaiannya selagimana kita ada usaha untuk menyelesaikannya. Sekian untuk hari ini moga diberikan kesempatan untuk bertemu lagi. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam

ARAHAN PEGAWAI PENGUASA (KLAUSA 5)


Alhamdulillah, kembali lagi kita untuk topik Pemahaman Kontrak PWD 203 Pin (1/2010). Pada entri terdahulu, kita telah faham tentang tanggungjawab Pegawai Penguasa ataupun P.P, kali ini saya akan kongsikan lebih lanjut tentang Arahan Pegawai Penguasa.

Di dalam Kontrak PWD 203 PIN (1/2010) Klausa Arahan Pegawai Penguasa adalah di bawah Klausa 5. Klausa ini bercerita tentang bidangkuasa dan tatacara bagaimana arahan Pegawai Penguasa dilaksanakan. Selaras dengan Klausa 3.1 tugas Pegawai Penguasa dan pembantunya ialah untuk mengadakan penyeliaan dan arahan kerja. Di mana semua perkara yang berkaitan dengan kerja hendaklah di bincangkan antara kontraktor dan Pegawai Penguasa atau wakilnya.

KLAUSA 5.1: Apa itu arahan Pegawai Penguasa
P.P  dari semasa ke semasa akan mengeluarkan lukisan-lukisan, butiran-butiran dan arahan-arahan yang dipanggil “Arahan Pegawai Penguasa”. Antara arahan tersebut ialah;

a)      Perubahan seperti seperti dinyatakan di dalam Klausa 24 (akan dibincangkan pada entri akan datang)
b)      Sebarang perbezaan antara dokumen kontrak
c)       Pengalihan dari tapak bahan & barang
d)      Meroboh dan membuat semua kerja
e)      Membuang dari tapak kakitangan kontraktor
f)       Membuka untuk penyiasatan kerja yang telah ditutup
g)      Membaiki kecacatan

P.P mempunyai kuasa yang sangat luas tetapi mestilah bertindak dalam bidang kuasanya sahaja. Dan arahannya wajib dipatuhi oleh kontraktor dan tidak bersifat campurtangan dalam organisasi kontrakor. Sekiranya arahan P.P menyebabkan perubahan, maka ianya mestilah di dalam had yang dibenarkan oleh kontrak. Kontraktor tidak perlu melaksanakan arahan tersebut jika melebihi had yang dibenarkan oleh kontrak dan melebihi had kewangan yang ditetapkan.

KLAUSA 5.2, : Bagaimana arahan Pegawai Penguasa dikeluarkan dan siapa yang boleh mengeluarkan arahan selain dari P.P.

Semua arahan mestilah dibuat secara bertulis dan hendaklah dilaksanakan dengan seberapa segera oleh kontraktor. Sekiranya arahan diberi secara lisan maka P.P hendaklah mengemukakan arahan bertulis dalam tempoh 7 hari dari tarikh arahan lisan dikeluarkan. Kontraktor hanya bertanggungjawab untuk mematuhi arahan yang bertulis sahaja. P.P boleh mengeluarkan arahan secara lisan, tetapi kontraktor tidak perlu melaksanakannya dengan segera. Jika arahan lisan itu diikuti dengan arahan bertulis, maka Kontraktor perlu melaksanakan arahan tersebut dengan segera.
Sebelum kita ulas lebih lanjut, sila hayati petikan yang saya beri di bawah;

“Only instruction issued in writing are valid. As long as in writing, it can take in the form of minutes of meeting. To validate the verbal instruction, the Contractor is advice to write back to the S.O to confirm such verbal instruction. “  (Harban Singh Pg 102 & 106, Lim Chong Fong Pg 19)

Maknanya, Hanya arahan bertulis sahaja yang sah (sama ada dalam bentuk formal (surat-menyurat) atau minit mesyuarat. Asalkan BERTULIS.

2.       Jika arahan yang dikeluarkan secara ‘verbal’ atau melalui lisan, kontraktor dinasihatkan untuk menulis semula kepada P.P untuk sahkan arahan tersebut.

Seterusnya, hanya P.P atau wakilnya yang sah sahaja (dinamakan secara betulis) yang boleh mengeluarkan arahan. Arahan dari kakitangan P.P yang lain tidak wajib dipatuhi. Kita boleh lihat petikan buku tulisan Prof Sundra Rajoo dan Ir Harban Singh ini;

it should be noted that once a specific person is empowered or authorised to vary the work under the contract, a variation order issued by any other person will not be contractually valid”  (see Chow Kok Fong, Law and Practice of Construction Contract Claims 2nd edition p 53, Construction Law in Malaysia p 309)

Bagi kes kecemasan, Catatan Pegawai Penguasa didalam buku harian tapak dianggap sudah memadai. Sekiranya kontraktor mematuhi arahan lisan dan mengesahkan dengan bersurat tetapi Pegawai Penguasa gagal mengeluarkan arahan bertulis seperti kehendak klausa ini, maka kerajaan telah melanggar kontrak.

KLAUSA 5.3 : Akibat jika kontraktor tidak mematuhi arahan bertulis tersebut.

Masa untuk kontraktor bertindak mematuhi arahan P.P adalah dalam tempoh 7 hari dari penerimaan notis. Jika kontraktor gagal mematuhi arahan yg sah dari P.P, itu adalah satu pelanggaran kontrak
Arahan P.P yang perlu dipatuhi : 

a)      Arahan yang berkaitan dengan skop kerja terma waranti sahaja (membaiki kecacatan etc)
b)      Arahan perubahan (kerja tambahan)

Sekiranya kontraktor gagal, P.P boleh melantik pihak ketiga ataupun secara “departmental” untuk melaksanakan kerja dibawah arahan tersebut. Kos yang terbabit (termasuk ‘on cost charges”) akan dituntut daripada kontraktor samada melalui tolakan terhadap mana-mana wang yang masih boleh dibayar kepada kontraktor ataupun melalui bon pelaksanaan. Remedi yg dituntut diatas adalah “tanpa prejudis” terhadap hak-hak kerajaan untuk mendapatkan remedi yang lain

KLAUSA 5.4 

Kontraktor hendaklah bertanggungjawab untuk menanggung seluruh kos dan perbelanjaan yang digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan dibawah Klausa 5.3. kos itu akan ditolak daripada mana-mana wang yang boleh dibayar atau akan dibayar kepada kontraktor dibawah kontrak ini atau kalau tidak mencukupi akan dituntut daripada bon pelaksanaan.

Baiklah, itu sahaja untuk entri kali ini. Semoga kita berjumpa pada entri yang akan datang.




Sekian,Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                Nota Kontrak PWD 203 PIN 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)



TANGGUNGJAWAB PEGAWAI PENGUASA (P.P / S.O)


Kembali lagi kita untuk entri Pemahaman Kontrak PWD 203. Untuk entri yang lepas kita sudah berbincang tentang tanggungjawab kontraktor. Untuk kali ini kita akan fokuskan kepada tanggungjawab Pegawai Penguasa atau dalam bahasa orang putihnya “Superintendant Officer” (P.P / S.O).

P.P adalah pegawai yang dilantik oleh Agensi pelaksana ataupun bertindak sebagai Ejen Majikan yang bertanggungjawab mengawal selia dan memberi arahan kerja menurut peruntukan kontrak. P.P juga merupakan ejen kepada kerajaan/wakil kerajaan. Tugas nyata Pegawai Penguasa adalah mengawas kerja, mentadbir kontrak dan memberi arahan kepada kontraktor mengikut peruntukan kontrak.

P.P juga adalah pihak yang memastikan kerja-kerja pembinaan di jalankan dengan betul, cepat dan cekap untuk mencapai objektif seperti yang dikehendaki kontrak. P.P juga bertanggungjawab keatas penyeliaan dan arahan seluruh kerja. Penyeliaan kerja mestilah wajar dan mencukupi. Semua pertanyaan yang berhubungan dengan mana-mana kerja di bawah kontrak ini hendaklah dibawa ke P.P.

Selain daripada menyelia dan memberi arahan, P.P  juga adalah pihak yang membuat keputusan di dalam sesebuah projek. 

Keputusan yag dibuat hendaklah adil, saksama & jujur dan tidak berpihak kepada satu pihak sahaja sama ada pada pihak kerajaan atau pihak kontraktor. Tidak kisahlah dari segi skop dan kualiti kerja, bayaran, tuntutan. Berdasarkan petikan dari buku tulisan Dato’ Lim Chong Fong, keputusan P.P tidak boleh dipengaruhi sesiapa.

“It is nonetheless important to appreciate that the Superintending Officer must act impartially and fairly in performing his duties administering the Contract, in particulars the duty relating to certification for payment.”


Baiklah, itu sahaja yang ingin saya kongsikan. Nantikan entri seterusnya untuk tahu lebih lanjut tentang Arahan Pegawai Penguasa, P.P



Sekian,
Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Constrution Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)