Thursday, April 2, 2020

SKOP KONTRAK (KLAUSA 6)


Hai bertemu lagi kita untuk tajuk Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN (1/2010). Untuk entri kali ini, kita akan kupas tentang Skop Kontrak. Secara umumnya, Klausa ini menceritakan tentang Kewajipan-kewajipan Kontraktor .

Secara dasarnya, kewajipan kontraktor adalah untuk menyiapkan kerja seperti di dalam lukisan dan spesifikasi dan lain-lain dokumen. Tanggungjawab ini mestilah dilaksanakan dengan menggunakan bahan yang dinyatakan didalam dokumen kontrak sahaja. Kewajipan kontraktor juga merangkumi kerja kerja lain yang perlu dilakukan ( bergantung kepada apa yang terjadi) untuk membolehkan kerja disiapkan .

Di bawah Klausa ini terdapat 3 point penting yang ingin saya ‘highlight’ kan.

KLAUSA  6.1

Yang pertama, di bawah Klausa 6.1, Kontraktor hendaklah membina dan menyiapkan kerja-kerja dengan menggunakan bahan, barang dan tenaga kerja menurut kualiti dan piawaian yang dinyatakan dalam kontrak.

Sebagai seorang kontraktor, adalah wajib untuk memenuhi kontrak sepenuhnya berdasarkan dokumen kontrak (lukisan, spesifikasi, senarai kuantiti etc). Kontraktor juga tidak boleh menambah atau mengurangkan tanpa persetujuan atau arahan P.P. Jadi, apa apa kerja yang ingin dilaksanakan, perlulah tunggu arahan daripada P.P (check semula entri Arahan Pegawai Penguasa). Janganlah buat sesuatu yang tidak ada arahannya. Kerana majikan/kerajaan tidak perlu membayar kerja yang tidak mengikut arahan. Malah mungkin kontraktor tersebut yang perlu bayar kepada majikan/kerajaan jika terjadi apa-apa.

Selain itu, Kontraktor juga berkewajipan menggunakan bahan, barang dan tenaga kerja seperti yang dinyatakan di dalam dokumen kontrak sahaja. Merujuk kepada Klausa ini, sekiranya P.P memaksa kontraktor membekal bahan yang lebih tinggi kualitinya berbanding dengan yang dinyatakan di dalam dokumen kontrak maka beliau patut mengetahui bahawa peranan untuk memastikan apa yang terbaik mengikut industri adalah terletak ditangan “pereka bentuk” yang menyediakan spesifikasi & piawaian dan bukannya kontraktor. Kontrak tidak bertanggungjawab terhadap kesesuaian barang dan bahan yang digunakan. Kontrak juga tidak bertanggungjawab terhadap kesesuaian dan keselamatan reka bentuk

KLAUSA  6.2

Yang kedua, di bawah Klausa 6.2, Kontraktor juga bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penting yang berakibat/terhasil dari pembinaan dan penyiapan kerja kerja di tapak bina seperti pengalihan/pelencongan pembetung najis, paip air, kabel elektrik, paip gas dan kabel telefon dan pemasangan sambungan kekal. Semua kerja-kerja ini akan ditanggung oleh kerajaan. Kerajaan akan membayar balik kos yang terlibat kepada kontraktor dengan cara menambahkan kos tersebut kedalam harga kontrak tertakluk kos yang belum lagi dimasukkan ke dalam harga kontrak melalui “provisional sum” atau sebaliknya.

Menjadi tanggungjawab kontraktor untuk menyiapkan kerja melibatkan juga kewajipan untuk melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan kerja tersebut (ancillary / kerja sampingan) yang mesti dilakukan supaya kerja itu dapat disempurnakan.

Kerja sampingan ini sebahagiannya dimasukkan di dalam senarai kuantiti manakala yang lain tidak dimasukkan kerana terlalu detail. Walaubagaimanapun ianya masih menjadi tanggungjawab kontraktor.Segala kos yang ditanggung oleh kontraktor boleh dituntut kepada kerajaan. Tetapi kos untuk sambungan sementara untuk kegunaan kontraktor perlu ditanggung sendiri oleh kontraktor.

Selalu menjadi masalah ialah, ada sebilangan badan Kerajaan yang tidak membuat bayaran kepada Kontraktor untuk kerja kerja ini. Jadi, para Kontraktor sekalian janganlah risau kerana, sekarang kita sudah mempunyai CIPAA. Pihak Kontraktor boleh membuat tuntutan bayaran kepada majikan untuk bayaran bayaran yang tidak dilunaskan lagi. (akan dishare di entri yang lain) Apa yang penting, semua dokumen-dokume penting seperti surat menyurat ada untuk dijadikan bahan bukti.

KLAUSA  6.3 

Yang terakhir ialah di bawah Klausa 6.3. Kontraktor hendaklah juga melaksanakan kerja kerja membaiki kecacatan yang mungkin di kesan semasa “defect liability period” (DLP)
Pada bila-bila masa dalam tempoh tanggungan kecacatan, P.P hendaklah mengemukakan arahan bertulis kepada kontraktor untuk membaiki kecacatan akibat dari bahan dan ketukangan kerja kontraktor sahaja. Kontraktor mestilah melaksanakan arahan P.P dengan seberapa segera ataupun mengikut masa yang ditentukan oleh P.P tersebut.

Sekiranya kontraktor gagal melaksanakan arahan tersebut, P.P berhak untuk membaiki kecacatan tersebut mengikut kaedah yang difikirkan sesuai oleh beliau dan kosnya akan ditanggung oleh kontraktor

Dalam tempoh 14 hari selepas “defect liability period” P.P hendaklah mengemukakan “schedule of defect” kepada kontraktor supaya kecacatan dapat dibaiki dalam tempoh yang munasabah tetapi tidak lebih dari tiga bulan selepas menerima schedule itu. Selepas 14 hari dari tarikh tamat tempoh membaiki kecacatan, P.P tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan untuk membaiki kecacatan yang baru. Sekiranya terdapat kecacatan (diminution) yang tak mungkin atau tidak praktikal untuk dibaiki menurut pendapat P.P, maka beliau akan menilai harga “kecacatan” tersebut dan menuntut daripada kontraktor

P.P hendaklah mengeluarkan sijil siap membaiki kecacatan apabila beliau berpuas hati kecacatan telah diperbaiki. Tarikh sijil tersebut adalah tarikh sebenar kontraktor siap membaiki kecacatan.
Okay itu sahaja yang ingin saya kongsikan untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa di entri yang akan datang.

Itu sahaja untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa pada entri yang akan dating.



Sekian, Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo dan Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN 1/2010 (Tulisan Hj Ismail bin Omar)



No comments:

Post a Comment