Saturday, May 9, 2020

22. PROSEDUR 12 – KEPUTUSAN ADJUDIKATOR



Assalamualaikum,
Entri hari ini adalah berkenaan dengan Keputusan Adjudikator. Setelah kedua-dua pihak selesai menyerahkan kesemua dokumen adjudikasi dan mengemukakan kesemua bukti bukti yang boleh menyokong mereka di dalam tuntutan yang dibuat, pasti tempoh 45 hari menunggu untuk mendapatkan keputusan  daripada adjudikator adalah saat-saat yang sangat ditunggu. Pasti berdebar-debar samada tuntutan yang dibuat berpihak kepada kita atau sebaliknya.
 Menurut seksyen 12 (2) akta CIPA, dalam tempoh 45 hari bekerja, Adjudikator mestilah memberikan keputusan terhadap pertikaian yang berlaku di antara kedua-dua pihak. Keputusan yang dikeluarkan mestilah secara bertulis dan mesti menyatakan sebab-sebab keputusan dibuat: -

1.       Amaun teradjudikasi kepada pihak yang menang
2.       Menentukan masa dan cara amaun teradjudikasi mesti dibayar
3.       Kadar faedah ke atas kos teradjudikasi
4.       Fi adjudikasi dan kos prosiding ke atas yang kalah
Adjudikator bertanggungjawab memberikan alasan yang dapat menjelaskan bahawa beliau telah membuat keputusan ke atas kesemua isu-isu penting yang mesti diputuskan yang telah dipertikaikan oleh kedua-dua pihak dengan betul dan tepat. Ini adalah penting agar kedua-dua pihak dapat memahami di dalam konteks prosedur adjudikasi, apakah yang adjudikator telah putuskan dan mengapa ia membuat keputusan sebegitu.
Selain daripada syarat bahawa keputusan mesti dibuat secara bertulis, seksyen 12(5) akta CIPA juga memerlukan adjudikator untuk menentukan amaun yang teradjudikasi, dan masa dan cara jumlah yang perlu dibayar kepada pihak yang menang. Jumlah yang teradjudikasi merujuk kepada jumpah pembayaran yang harus dibayar oleh pihak yang kalah kepada pihak yang menang setelah mengambil kira kerugian atau tuntutan balas yang memihak kepada pihak yang tidak membayar (jika ada).
Sekian dahulu buat kali ini. Diharap anda semua dapat memahami entri saya pada hari ini dan entri yang sebelum ini. Saya amat berharap anda dapat mempunyai sedikit idea untuk memahami prosedur CIPAA. Wassalam.

Nota: Adjudikator menjadi ‘Functus Officio’ selepas memberikan keputusan adjudikasi. Beliau hanya boleh membetulkan kesilapan “typo” di dalam keputusan beliau sekiranya diperlukan


Noridah Omar
Shah Alam.




21. PROSEDUR 11 – PERLAKSANAAN PROSEDUR ADJUDIKASI



Assalamualaikum,
Topik yang akan saya terangkan pada hari ini ialah berkenaan perlaksanaan prosedur adjudikasi. Prosedur adjudikasi mestilah dijalankan dengan melaksanakan prinsip keadilan asasi dan mempertimbangkan tuntutan dari kedua-dua pihak. Keputusan Adjudikator mestilah berdasarkan kepada komponen-komponen yang berikut:-
1.       Akta CIPAA 2012
2.       Kontrak pembinaan
3.       Tuntutan Bayaran
4.       Respon Bayaran (Jika ada)
5.       Tuntutan Adjudikasi
6.       Respon Adjudikasi (jika ada)
7.       Keputusan lawatan tapak (jika ada)
8.       Pandangan pakar (jika ada)
9.       Lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan dengan isu yang dipertikaikan sahaja

Menurut seksyen 12(1) akta CIPA, adjudikator boleh melaksanakan prosedur adjudikasi dengan cara yang difikirkan sesuai olehnya di bawah bidang kuasa yang telah diperuntukan kepadanya tertakluk kepada seksyen 25 akta CIPAA.  Di bawah seksyen 15 akta CIPA, adjudikator diberikan beberapa mandat untuk melaksanakan prosedur adjudikasi. Beliau mestilah memastikan bahawa keputusan yang diberikan tidak dicemari dengan penipuan atau rasuah selain menerapkan prinsip keadilan asasi. Adjudikator juga boleh bertindak secara bebas dan mestilah tidak berat sebelah serta tidak bertindak melebihi bidang kuasa yang telah diperuntukan kepadanya.
Dengan kuasa yang diberikan di bawah seksyen 25 akta CIPAA, Adjudikator boleh memanggil satu perbincangan dengan kedua-dua pihak dan menetapkan berapa banyak dokumen yang diperlukan jika difikirkan perlu. Adjudikator juga boleh melantik pakar bebas, memanggil kedua-dua pihak untuk mesyuarat dan perbicaraan, menjalankan pemeriksaan tapak kerja dan mengeluarkan apa-apa arahan yang perlu di dalam proses adjudikasi.
Sekian dahulu untuk entri kali ini. Semoga kita bertemu lagi di dalam entri akan datang. Wassalam.


Nota: Akta keterangan (1950) tidak terpakai bagi prosiding adjudikasi di bawah akta in. (sebab nak cepat buat keputusan, dan tak nak terikat dengan kerenah saksi)


Noridah Omar
Shah Alam