Thursday, April 23, 2020

6. PROSEDUR 6 – MEMULAKAN ADJUDIKASI




Assalamualaikum,

Entri kali ini, saya akan menerangkan prosedur yang seterusnya iaitu prosedur untuk memulakan adjudikasi. Kaedah memulakan prosiding adjudikasi tertakluk di dalam seksyen 8 akta CIPA. Di bawah seksyen ini, ia menyatakan bahawa pihak yang menuntut boleh memulakan prosiding adjudikasi dengan menyampaikankan Notis Adjudikasi yang mengandungi sifat dan keperihalan pertikaian dan remedi yang diminta beserta dengan apa-apa dokumen sokongan kepada responden.
Penyampaian Notis Adjudikasi yang lengkap dan mengikut cara betul adalah penting kerana ia memberikan Responden makluman bahawa pihak yang tidak dibayar bercadang untuk memulakan prosiding adjudikasi.
Apabila menyerahkan Notis Adjudikasi ke atas Responden, penuntut mestilah memastikan bahawa tempoh untuk menyampaikan Respon Pembayaran telah tamat iaitu telah melepasi tempoh 10 hari bekerja. Penuntut mestilah telah menyatakan sifat dan keperihalan pertikaian dengan jelas di dalam Notis Adjudikasi yang dikemukakan. Sifat dan keperihalan pertikaian yang dinyatakan di sini ialah mengenai jumlah tuntutan, sebab tuntutan dibuat, latar belakang kontrak, terma dalam kontrak tuntutan dibuat dan lain-lain. Penuntut mestilah dapat mengesahkan bahawa telah wujud pertikaian di dalam tuntutan tersebut samada disebabkan oleh Responden menafikan sebahagian atau keseluruhan Tuntutan Bayaran di dalam Respon Bayaran ataupun langsung tidak menyampaikan Respon Bayaran.
Di dalam Notis Adjudikasi juga, penuntut menyenaraikan remedi yang ingin dituntut termasuklah kos yang ingin dituntut, faedah di atas kelewatan bayaran, kos-kos yang di bayar kepada AIAC dan adjudikator, kos melantik konsultan tuntutan bayaran dan lain-lain kos yang dibenarkan oleh adjudikator.
Penuntut juga mempunyai pilihan untuk mencadangkan nama adjudikator yang akan menghakimi prosiding tuntutan adjudikasi ini walaupun ianya tidak wajib. Jika kedua-dua pihak tidak bersetuju, maka adjudikator akan dilantik melalui prosedur lain yang akan saya terangkan pada entri akan datang.
Penyampaian Notis Adjudikasi adalah langkah yang penting di dalam proses adjudikasi kerana ia menandakan permulaan had masa  yang telah ditetapkan di bawah CIPAA di mana kedua-dua pihak dan adjudikator diwajibkan mematuhinya. Oleh sebab yang demikian, penuntut mestilah merekodkan bukti penyampaian Notis Adjudikasi kepada Responden. Notis Adjudikasi mesti disampaikan mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh akta CIPA yang tertakluk di bawah klausa 38. Kegagalan penuntut untuk menghantar Notis Adjudikasi mengikut klausa 38(a) – (d)  kepada Responden akan menyebabkan ianya tidak sah dan prosiding adjudikasi dibatalkan.
Penyampaian Notis Adjudikasi secara sah adalah MANDATORI. Ini adalah kerana, prosedur pendaftaran kes dengan AIAC dan prosedur untuk melantik Adjudikator akan mula berjalan dari tarikh penyampaian Notis Adjudikasi. Maka sila pastikan anda menggunakan kaedah yang telah ditetapkan di bawah klausa 38 akta CIPA seperti yang telah diterangkan di dalam entri yang sebelum ini. Sekian, wassalam.
Noridah Omar
Shah Alam

No comments:

Post a Comment