Showing posts with label NORIDAH OMAR. Show all posts
Showing posts with label NORIDAH OMAR. Show all posts

Saturday, May 9, 2020

22. PROSEDUR 12 – KEPUTUSAN ADJUDIKATOR



Assalamualaikum,
Entri hari ini adalah berkenaan dengan Keputusan Adjudikator. Setelah kedua-dua pihak selesai menyerahkan kesemua dokumen adjudikasi dan mengemukakan kesemua bukti bukti yang boleh menyokong mereka di dalam tuntutan yang dibuat, pasti tempoh 45 hari menunggu untuk mendapatkan keputusan  daripada adjudikator adalah saat-saat yang sangat ditunggu. Pasti berdebar-debar samada tuntutan yang dibuat berpihak kepada kita atau sebaliknya.
 Menurut seksyen 12 (2) akta CIPA, dalam tempoh 45 hari bekerja, Adjudikator mestilah memberikan keputusan terhadap pertikaian yang berlaku di antara kedua-dua pihak. Keputusan yang dikeluarkan mestilah secara bertulis dan mesti menyatakan sebab-sebab keputusan dibuat: -

1.       Amaun teradjudikasi kepada pihak yang menang
2.       Menentukan masa dan cara amaun teradjudikasi mesti dibayar
3.       Kadar faedah ke atas kos teradjudikasi
4.       Fi adjudikasi dan kos prosiding ke atas yang kalah
Adjudikator bertanggungjawab memberikan alasan yang dapat menjelaskan bahawa beliau telah membuat keputusan ke atas kesemua isu-isu penting yang mesti diputuskan yang telah dipertikaikan oleh kedua-dua pihak dengan betul dan tepat. Ini adalah penting agar kedua-dua pihak dapat memahami di dalam konteks prosedur adjudikasi, apakah yang adjudikator telah putuskan dan mengapa ia membuat keputusan sebegitu.
Selain daripada syarat bahawa keputusan mesti dibuat secara bertulis, seksyen 12(5) akta CIPA juga memerlukan adjudikator untuk menentukan amaun yang teradjudikasi, dan masa dan cara jumlah yang perlu dibayar kepada pihak yang menang. Jumlah yang teradjudikasi merujuk kepada jumpah pembayaran yang harus dibayar oleh pihak yang kalah kepada pihak yang menang setelah mengambil kira kerugian atau tuntutan balas yang memihak kepada pihak yang tidak membayar (jika ada).
Sekian dahulu buat kali ini. Diharap anda semua dapat memahami entri saya pada hari ini dan entri yang sebelum ini. Saya amat berharap anda dapat mempunyai sedikit idea untuk memahami prosedur CIPAA. Wassalam.

Nota: Adjudikator menjadi ‘Functus Officio’ selepas memberikan keputusan adjudikasi. Beliau hanya boleh membetulkan kesilapan “typo” di dalam keputusan beliau sekiranya diperlukan


Noridah Omar
Shah Alam.




21. PROSEDUR 11 – PERLAKSANAAN PROSEDUR ADJUDIKASI



Assalamualaikum,
Topik yang akan saya terangkan pada hari ini ialah berkenaan perlaksanaan prosedur adjudikasi. Prosedur adjudikasi mestilah dijalankan dengan melaksanakan prinsip keadilan asasi dan mempertimbangkan tuntutan dari kedua-dua pihak. Keputusan Adjudikator mestilah berdasarkan kepada komponen-komponen yang berikut:-
1.       Akta CIPAA 2012
2.       Kontrak pembinaan
3.       Tuntutan Bayaran
4.       Respon Bayaran (Jika ada)
5.       Tuntutan Adjudikasi
6.       Respon Adjudikasi (jika ada)
7.       Keputusan lawatan tapak (jika ada)
8.       Pandangan pakar (jika ada)
9.       Lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan dengan isu yang dipertikaikan sahaja

Menurut seksyen 12(1) akta CIPA, adjudikator boleh melaksanakan prosedur adjudikasi dengan cara yang difikirkan sesuai olehnya di bawah bidang kuasa yang telah diperuntukan kepadanya tertakluk kepada seksyen 25 akta CIPAA.  Di bawah seksyen 15 akta CIPA, adjudikator diberikan beberapa mandat untuk melaksanakan prosedur adjudikasi. Beliau mestilah memastikan bahawa keputusan yang diberikan tidak dicemari dengan penipuan atau rasuah selain menerapkan prinsip keadilan asasi. Adjudikator juga boleh bertindak secara bebas dan mestilah tidak berat sebelah serta tidak bertindak melebihi bidang kuasa yang telah diperuntukan kepadanya.
Dengan kuasa yang diberikan di bawah seksyen 25 akta CIPAA, Adjudikator boleh memanggil satu perbincangan dengan kedua-dua pihak dan menetapkan berapa banyak dokumen yang diperlukan jika difikirkan perlu. Adjudikator juga boleh melantik pakar bebas, memanggil kedua-dua pihak untuk mesyuarat dan perbicaraan, menjalankan pemeriksaan tapak kerja dan mengeluarkan apa-apa arahan yang perlu di dalam proses adjudikasi.
Sekian dahulu untuk entri kali ini. Semoga kita bertemu lagi di dalam entri akan datang. Wassalam.


Nota: Akta keterangan (1950) tidak terpakai bagi prosiding adjudikasi di bawah akta in. (sebab nak cepat buat keputusan, dan tak nak terikat dengan kerenah saksi)


Noridah Omar
Shah Alam




Wednesday, April 29, 2020

20. PROSEDUR 10 – JAWAPAN ADJUDIKASI



Assalamualaikum,
Entri kali ini, saya akan menerangkan berkenaan Jawapan Adjudikasi sepertimana yang telah ditetapkan di bawah seksyen 11 akta CIPA. Balasan Adjudikasi merupakan peluang yang diberikan kepada Penuntut untuk menjawab segala hujah dan pembelaan yan dikemukakan oleh Responden di dalam Respon Bayaran. Seperti di dalam Respon Adjudikasi, sebarang tuntutan baru tidak boleh dibangkitkan pada peringkat ini oleh penuntut.
Seksyen 11 akta CIPA ini, membenarkan pihak yang menuntut untuk memfailkan Jawapan Adjudikasi kepada Responden dalam tempoh 5 hari bekerja selepas menerima Respon Adjudikasi daripada Responden . Penyampaian Jawapan Adjudikasi boleh dilakukan dengan cara yang telah ditentukan di bawah seksyen 38(a) hingga 38(d) akta CIPAA. Sesalinan Respon Adjudikasi mestilah diberikan kepada adjudikator. Syarat-syarat untuk memfailkan jawapan adjudikasi adalah seperti berikut: -
Ø  Secara bertulis dan di atas perkara yang dibangkitkan di dalam Respons Adjudikasi sahaja

                                 i.            Jawapan kepada Respons
                               ii.            Dokumen sokongan

Nota: Jika sekiranya penuntut memberi jawapan maka tarikh bermula proses adjudikasi adalah selepas tarikh penerimaan jawapan. Jika beliau tidak mahu memberikan jawapan maka proses adjudikasi bermula dari tarikh penerimaan respon bayaran. Adjudikator mesti membuat keputusan dalam 45 hari bekerja.

Sekian dulu untuk entri kali ini. Semoga kita diizinkan untuk bertemu pada entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam.







19. PROSEDUR 9 – RESPONS ADJUDIKASI




Assalamualaikum,
Entri hari ini adalah tentang Respon Adjudikasi. Respon Adjudikasi ini adalah tertakluk di bawah seksyen 10 akta CIPA.
Respon Adjudikasi merupakan jawapan terhadap Tuntutan Adjudikasi yang disediakan oleh pihak yang dituntut / Responden dan mesti disertakan dengan dokumen-dokumen yang diperlukan yang berkaitan dengan projek dan tuntutan yang dibuat oleh penuntut.
Setelah menerima Tuntutan Adjudikasi daripada pihak yang menuntut, Responden mestilah memberikan Respon Adjudikasi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas beliau menerima Tuntutan Adjudikasi. Respon Adjudikasi yang dihantar bolehlah disertakan sekali bersama dengan apa-apa dokumen sokongan yang diperlukan sebagai pembuktikan Respon Adjudikasi yang dibuat. Di dalam Respon Adjudikasi, Responden mengemukakan pembelaan atau pertahan yang diambil oleh mereka terhadap tuntutan yang dibuat oleh Penuntut dan membuat tuntutan ke atas tuntutan balas atau set-off yang telah mereka kemukakan sebelum ini di dalam Respon Bayaran. Perlu diingatkan bahawa, tiada tuntutan balas yang baru yang boleh ditimbulkan di dalam fasa ini.
Tidak ada format yang khusus yang ditetapkan untuk Respon Adjudikasi. Apa yang penting dan terbaik adalah Responden perlulah mengenalpasti fakta yang telah dikemukakan oleh Penuntut di dalam Tuntutan Adjudikasi dan bolehla menggunakan asas undang-undang untuk menyokong pembelaan yang dibuat. Penyampaian Respon Adjudikasi boleh dilakukan dengan menggunakan salah satu cara seperti yang telah ditetapkan di dalam seksyen 38(a) sehingga 38(d) akta CIPA seperti yang telah saya terangkan pada entri terdahulu.
Adjudikator mestilah menerima sesalinan Respon Adjudikasi daripada responden. Syarat-syarat untuk memfailkan respon adjudikasi adalah seperti berikut: -
Ø  Secara bertulis dan menjawab atas perkara yang dipertikaikan sahaja

                                 i.            Jawapan kepada perkara yang dipertkaikan
                               ii.            Dokumen sokongan

Nota: Jika tiada respon dalam tempoh 10 hari dari tarikh tuntutan disampaikan maka adjudikator mempunyai kuasa untuk meneruskan proses adjudikasi dengan cara menimbangkan dokumen yang dikemukakan oleh penuntut sahaja. Adjudikator mempunya masa 45 hari bekerja untuk membuat keputusan selepas tarikh respon tamat

Sekian dulu untuk entri kali ini. Semoga kita bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam
                                      



Thursday, April 23, 2020

8. PROSEDUR 8 – TUNTUTAN ADJUDIKASI


Assalamualaikum,
Kali ini saya akan menerangkan berkenaan Tuntutan Adjudikasi. Pihak yang menuntut mestilah menyampaikan Tuntutan Adjudikasi kepada Responden dalam tempoh 10 hari bekerja selepas menerima surat pengesahan perlantikan daripada adjudikator seperti yang terkandung di dalam seksyen 9 akta CIPAA. Seperti yang telah saya beritahu di dalam entri yang lepas, cara untuk menyampaikan Tuntutan Adjudikasi adalah seperti yang tertakluk di bawah seksyen 38 akta CIPAA.

Sebenarnya, tiada format yang khusus untuk menyediakan Tuntutan Adjudikasi tetapi, tuan-tuan bolehlah merujuk kepada seksyen 9 akta ini sebagai garis panduan untuk anda menyediakan Tuntutan Adjudikasi. Tuntutan Adjudikasi merupakan pengembangan tuntutan dan perkara atau isu yang dibangkitkan di dalam Tuntutan Bayaran dan Notis Adjudikasi. Di dalam Tuntutan Adjudikasi, biasanya penuntut akan memberikan keterangan yang lebih lengkap lagi daripada Tuntutan Bayaran atau Notis Adjudikasi. Penuntut juga boleh melampirkan semua dokumen dan surat menyurat yang terlibat, lukisan, gambar dan dokumen-dokumen sokongan yang sesuai sebagai bukti untuk mengukuhkan lagi tuntutan yang dibuat.

Secara umumnya, Tuntutan Adjudikasi bertulis mestilah mengandungi penerangan ringkas mengenai pihak-pihak yang terlibat dengan tuntutan adjudikasi, penerangan ringkas tentang kontrak pembinaan yang mana timbulnya pertikaian tersebut, fakta-fakta berkaitan pertikaian, bukti-bukti yang menyokong tuntutan yang dibuat, remedi yang dituntut, rujukan kepada dokumen dan surat menyurat terdahulu termasuklah notis Tuntutan Bayaran, Respon Bayaran dan Notis Adjudikasi serta dokumen sokongan lain yang merupakan bukti-bukti kukuh kepada tuntutan yang dibuat.

Pihak yang menuntut boleh mempertahankan tuntutan mereka, membuat “cross-claim”, “set-off” ataupun “counter claim” terhadap Respon Bayaran jika mereka menerima dokumen tersebut daripada Responden. Walaupon begitu, penuntut tidak boleh mengemukakan tuntutan baru atau menambah jumlah tuntutan mereka di dalam Tuntutan Adjudikasi yang tidak berkaitan dengan perkara-perkara yang timbul di dalam Tuntutan Bayaran atau Respon Bayaran.

Adjudikator mestilah menerima sesalinan Tuntutan Adjudikasi daripada pihak yang menuntut berserta dokumen sokongan. Penuntut juga mestilah menyampaikan sesalinan Tuntutan Adjudikasi kepada Pengarah AIAC tanpa mengepilkan dokumen sokongan kecuali jika diminta.
Secara ringkasnya, syarat-syarat untuk memfailkan tuntutan adjudikasi adalah seperti berikut: -
Ø  Tuntutan Adjudikasi mestilah secara bertulis dan di atas perkara yang dipertikaikan sahaja

                                                         i.            Sifat & perihal perkara yang dipertikaikan
                                                       ii.            Remedi yang dinyatakan
                                                      iii.            Dokumen sokongan

Sekian, sehingga berjumpa lagi di entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam.

7. PROSEDUR 7 – MELANTIK ADJUDIKATOR




Assalamualaikum,
Bertemu lagi kita di alam maya ini. Diharapkan anda semua sentiasa sihat selalu. Entri kali ini, saya akan menerangkan cara-cara untuk melantik adjudikator. Pasti anda telah mengetahui dalam entri yang sebelum ini, siapakah adjudikator dan apa peranan adjudikator di dalam prosiding adjudikasi. Dalam entri kali ini, anda akan dapat mengetahui bagaimana adjudikator akan dilantik.

Selepas Notis Adjudikasi disampaikan oleh pihak penuntut kepada responden, peringkat seterusnya di dalam prosiding adjudikasi ialah pelantikan Adjudikator. Adjudikator dilantik untuk mengadili pertikaian di antara kedua-dua pihak. Adjudikator boleh dilantik melalui dua cara iaitu: -

1)      Persetujuan kedua-dua pihak – lantikan oleh kedua-dua pihak dalam masa 10 hari dari tarikh notis adjudikasi.
·         Penuntut perlu memaklumkan adjudikator secara bertulis dan menyerahkan kepadanya notis adjudikasi
·         Adjudikator membincangkan fi beliau dengan kedua-dua pihak dan mengemukakan jawapan secara bertulis 10 hari selepas menerima notis perlantikan

2)      Permintaan dari kedua-dua pihak atau salah satu pihak – lantikan oleh AIAC dalam masa 5 hari selepas menerima permintaan.
·         Adjudikator membincangkan fi beliau dengan kedua-dua pihak dan mengemukakan jawapan secara bertulis 10 hari selepas menerima notis perlantikan
·         Pengarah AIAC akan melantik adjudikator


Noridah Omar
Shah Alam


6. PROSEDUR 6 – MEMULAKAN ADJUDIKASI




Assalamualaikum,

Entri kali ini, saya akan menerangkan prosedur yang seterusnya iaitu prosedur untuk memulakan adjudikasi. Kaedah memulakan prosiding adjudikasi tertakluk di dalam seksyen 8 akta CIPA. Di bawah seksyen ini, ia menyatakan bahawa pihak yang menuntut boleh memulakan prosiding adjudikasi dengan menyampaikankan Notis Adjudikasi yang mengandungi sifat dan keperihalan pertikaian dan remedi yang diminta beserta dengan apa-apa dokumen sokongan kepada responden.
Penyampaian Notis Adjudikasi yang lengkap dan mengikut cara betul adalah penting kerana ia memberikan Responden makluman bahawa pihak yang tidak dibayar bercadang untuk memulakan prosiding adjudikasi.
Apabila menyerahkan Notis Adjudikasi ke atas Responden, penuntut mestilah memastikan bahawa tempoh untuk menyampaikan Respon Pembayaran telah tamat iaitu telah melepasi tempoh 10 hari bekerja. Penuntut mestilah telah menyatakan sifat dan keperihalan pertikaian dengan jelas di dalam Notis Adjudikasi yang dikemukakan. Sifat dan keperihalan pertikaian yang dinyatakan di sini ialah mengenai jumlah tuntutan, sebab tuntutan dibuat, latar belakang kontrak, terma dalam kontrak tuntutan dibuat dan lain-lain. Penuntut mestilah dapat mengesahkan bahawa telah wujud pertikaian di dalam tuntutan tersebut samada disebabkan oleh Responden menafikan sebahagian atau keseluruhan Tuntutan Bayaran di dalam Respon Bayaran ataupun langsung tidak menyampaikan Respon Bayaran.
Di dalam Notis Adjudikasi juga, penuntut menyenaraikan remedi yang ingin dituntut termasuklah kos yang ingin dituntut, faedah di atas kelewatan bayaran, kos-kos yang di bayar kepada AIAC dan adjudikator, kos melantik konsultan tuntutan bayaran dan lain-lain kos yang dibenarkan oleh adjudikator.
Penuntut juga mempunyai pilihan untuk mencadangkan nama adjudikator yang akan menghakimi prosiding tuntutan adjudikasi ini walaupun ianya tidak wajib. Jika kedua-dua pihak tidak bersetuju, maka adjudikator akan dilantik melalui prosedur lain yang akan saya terangkan pada entri akan datang.
Penyampaian Notis Adjudikasi adalah langkah yang penting di dalam proses adjudikasi kerana ia menandakan permulaan had masa  yang telah ditetapkan di bawah CIPAA di mana kedua-dua pihak dan adjudikator diwajibkan mematuhinya. Oleh sebab yang demikian, penuntut mestilah merekodkan bukti penyampaian Notis Adjudikasi kepada Responden. Notis Adjudikasi mesti disampaikan mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh akta CIPA yang tertakluk di bawah klausa 38. Kegagalan penuntut untuk menghantar Notis Adjudikasi mengikut klausa 38(a) – (d)  kepada Responden akan menyebabkan ianya tidak sah dan prosiding adjudikasi dibatalkan.
Penyampaian Notis Adjudikasi secara sah adalah MANDATORI. Ini adalah kerana, prosedur pendaftaran kes dengan AIAC dan prosedur untuk melantik Adjudikator akan mula berjalan dari tarikh penyampaian Notis Adjudikasi. Maka sila pastikan anda menggunakan kaedah yang telah ditetapkan di bawah klausa 38 akta CIPA seperti yang telah diterangkan di dalam entri yang sebelum ini. Sekian, wassalam.
Noridah Omar
Shah Alam

Thursday, April 16, 2020

5. PROSEDUR 5 – HAK UNTUK MERUJUK KE ADJUDIKASI


Assalamualaikum,

Alhamdulillah di atas kesempatan yang telah diberikan untuk kita berjumpa lagi. Entri kali ini adalah berkenaan hak untuk merujuk tuntutan pembayaran ke adjudikasi. Entri yang lepas, kita telah mengetahui bagaimana untuk mengetahui bahawa wujudnya pertikaian selepas Tuntutan Pembayaran dikemukakan. Saya amat berharap anda masih lagi mengingati penulisan saya yang sebelum ini. Jika tidak, anda boleh merujuknya semula ya.

Pihak yang tidak dibayar mempunyai hak untuk merujuk pertikaian kepada adjudikasi  sekiranya pihak yang tidak membayar tidak mahu membuat bayaran atau membuat tuntutan balas ataupun pihak yang tidak dibayar tidak mahu membuat bayaran terhadap tuntutan balasnya seperti yang tertakluk di bawah seksyen 7 akta CIPA. Hak untuk merujuk pertikaian kepada adjudikasi  tertakluk kepada kontrak atau surat tawaran yang dikeluarkan selepas dari tarikh CIPAA mula dikuatkuasakan iaitu pada 15 April 2014. Kesemua kontrak yang bertarikh pada atau selepas dari tarikh akta CIPA dikuatkuasakan sahaja yang boleh di bawa kepada adjudikasi. Jika anda masih mempunyai tunggakan bayaran daripada projek yang tarikh kontraknya sebelum akta CIPA dikuatkuasakan, maka anda perlulah menggunakan kaedah arbitrasi atau litigasi.

Pertikaian di bawah Tuntutan Bayaran boleh dirujuk kepada adjudikasi hanya selepas daripada masa untuk mengemukakan Respon Bayaran telah tamat. Jika notis adjudikasi ini dihantar sebelum tarikh matang, maka AIAC akan meminta pihak penuntut untuk menghantar notis adjudikasi yang baru selepas tamat tempoh 10 hari bekerja. Jadi, pastikan anda mengemukakan notis adjudikasi selepas tamat tempoh 10 hari bekerja selepas anda mengemukakan Tuntutan Pembayaran.

Sekian dulu buat kali ini. Semoga bertemu lagi di masa hadapan dengan entri yang baru. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam



4. PROSEDUR 4 – WUJUD PERTIKAIAN




Assalamualaikum,

Untuk entri kali ini, saya akan menulis tentang bagaimana kita hendak mengetahui samada wujud pertikaian atau tidak wujud pertikaian selepas tuntutan bayaran dikemukakan kepada pihak yang tidak membayar. Jika pertikaian telah dipastikan wujud maka penuntut bolehlah meneruskan dengan prosiding adjudikasi yang seterusnya. Di sini saya akan menerangkan situasi-situasi yang menyebabkan pertikaian dikatakan wujud:

1)      Sekiranya pihak yang tidak membayar gagal/tidak mahu membuat bayaran
2)      Sekiranya pihak yang tidak membayar membuat tuntutan balas dan pihak yang tidak dibayar tidak mahu membuat bayaran
3)      Sekiranya pihak yang tidak membayar tidak/enggan memberikan jawapan kepada tuntutan

Jika berlaku salah satu daripada situasi di atas, maka pertikaian di anggap wujud. CIPAA memberikan pihak yang tidak dibayar hak untuk adjudikasi. Selepas Tuntuan Bayaran disampaikan kepada pihak yang tidak membayar dan tempoh masa untuk mengemukakan Respon Bayaran telah tamat, maka proses adjudikasi bolehla dimulakan seperti tertakluk di bawah seksyen 7 akta CIPAA.
Pertikaian dianggap tidak wujud dan selesai jika sekiranya pihak yang tidak membayar membuat pembayaran seperti yang dituntut oleh pihak yang tidak menerima bayaran. Pihak penuntut tidak perlu untuk meneruskan prosiding adjudikasi. Sekian dulu untuk kali ini. Semoga diberikan lagi kesempatan untuk kita bertemu pada entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam




3. PROSEDUR 3 - RESPON BAYARAN



Assalamualaikum,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita untuk di alam maya ini. Entri kali ini, saya akan menerangkan prosedur selanjutnya selepas penuntut menyampaikan Tuntutan Bayaran. Apa yang perlu dilakukan oleh pihak yang tidak membayar selepas menerima notis Tuntutan Bayaran? Adakah ianya perlu dibiarkan sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan ataupun perlu membalas notis tersebut? Saya akan jelaskan persolan tersebut di bawah.

Setelah Tuntutan Bayaran disampaikan kepada pihak yang tidak membayar, pihak yang tidak membayar mempunyai tempoh selama 10 hari bekerja untuk menjawab notis Tuntutan Bayaran tersebut secara bertulis. Jawapan kepada Tuntutan Bayaran yang dipanggil sebagai Respon Bayaran ini tertakluk di bawah seksyen 6 akta CIPA.

Setelah menerima Tuntutan Pembayaran, pihak yang tidak membayar mempunyai beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan di dalam Respon Pembayarannya seperti berikut:-

1)      Mereka mungkin mengakui bahawa mereka memang tidak membayar (berhutang) sepenuhnya amaun yang dituntut oleh pihak yang menuntut dan bercadang untuk membuat bayaran balik amaun yang dituntut tersebut kepada pihak yang tidak dibayar

2)      Mereka mungkin mengakui bahawa mereka hanya tidak membayar sebahagian sahaja amaun yang dituntut oleh pihak yang menuntut dan bercadang untuk membuat bayaran balik sebahagian amaun yang diperakui kepada pihak yang tidak dibayar

3)      Mereka boleh menafikan jumlah yang dituntut oleh pihak yang tidak dibayar dan menyatakan pembelaan kepada tuntutan bayaran tersebut

4)      Mereka mungkin memilih untuk tidak membalas Tuntutan Bayaran dalam tempoh 10 hari bekerja

Pilihan-pilihan yang dibuat oleh pihak yang tidak membayar akan memberikan kesan yang berbeza terhadap tuntutan yang dibuat. Setiap empat pilihan di atas menghasilkan akibat yang berbeza bergantung apa pilihan yang mereka buat iaitu: -

1)      Jika pihak yang tidak membayar mengakui bahawa ia berhutang kepada pihak yang belum dibayar amaun yang dituntut olehnya, maka ia boleh membuat bayaran kepada pihak yang tidak dibayar. Pertikaian tersebut selesai dan prosiding adjudikasi akan ditamatkan.

2)      Jika pihak yang tidak membayar mengakui hanya sebahagian sahaja daripada jumlah yang dituntut, maka ia boleh membuat bayaran yang hanya diperakui olehnya kepada pihak yang tidak dibayar. Dalam kes ini, pertikaian untuk jumlah yang diterima adalah selesai, tetapi untuk pembayaran yabg tidak diperakui, pertikaian tersebut adalah diteruskan dan akan dibawa ke adjudikasi oleh pihak yang tidak dibayar.

3)      Jika pihak yang tidak membayar menafikan jumlah keseluruhan yang dituntut, keseluruhan tuntutan bayaran tersebut dikira dipertikaikan dan pertikaian ini kemudiannya boleh dibawa kepada prosiding adjudikasi.

4)      Sekiranya pihak yang tidak membayar tidak memberi sebarang respon kepada tuntutan bayaran, maka keseluruhan tuntutan pembayaran dipertikaikan dan akan diteruskan dengan prosiding adjudikasi.

Selesai sudah entri saya berkenaan Respon Bayaran. Saya amat berharap anda semua dapat memahami penulisan saya kali ini dan jika anda berhadapan dengan situasi seperti di atas, anda mempunyai pilihan-pilihan yang membolehkan anda untuk bertindak secara bijak. Apa yang penting, anda mestilah mempunyai semua dokumen sokongan untuk menyokong tuntutan anda. Semoga kita bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam

Noridah Omar
Shah Alam





Tuesday, April 7, 2020

2. PROSEDUR 2 – TUNTUTAN BAYARAN


Assalamualaikum,

Pihak yang tidak dibayar mempunyai hak membuat tuntutan
Pihak yang tidak membayar
 

                                                                                                                                                

SYARAT-SYARAT TUNTUTAN - MEMBUAT  TUNTUTAN SECARA BERTULIS
 



Entri kali ini akan menerangkan berkenaan tuntutan bayaran. Tuntutan bayaran merupakan prosedur yang pertama di dalam proses adjudikasi seperti yang tertakluk di bawah seksyen 5 akta CIPA .  Ini bermaksud, sebelum anda ingin memulakan proses adjudikasi, anda mestilah membuat tuntutan bayaran kepada pihak yang tidak membayar.

Pihak yang tidak dibayar boleh menyampaikan suatu tuntutan pembayaran kepada pihak yang tidak membayar bagi bayaran menurut suatu kontrak pembinaan. Ini bermaksud, tuntutan pembayaran yang dibuat hanya tertakluk kepada suatu kontrak pembinaan sahaja. Jika kontraktor mempunyai beberapa tuntutan bayaran untuk kontrak pembinaan yang berlainan maka beliau perlulah membuat beberapa tuntutan bayaran yang berasingan.  
Anda pasti ingin mengetahui apa itu bayaran dan bayaran apa yang boleh dituntut di bawah akta CIPAA, betul tak? Seksyen 4 akta CIPAA mentakrifkan bayaran bermaksud "pembayaran untuk kerja yang dilakukan atau perkhidmatan yang diberikan di bawah terma nyata kontrak kontrak ". Ini bermaksud bahawa, tuntutan bayaran yang dibuat hanyalah untuk pembayaran ke atas kerja kontrak yang telah siap dilakukan atau perkhidmatan yang telah diberikan sahaja di bawah terma nyata kontrak pembinaan. Kontraktor tidak boleh membuat tuntutan selain daripada perkara-perkara ini. Pembayaran yang boleh dituntut adalah bayaran kemajuan kerja dan bayaran akhir. Bayaran kemajuan kerja boleh dituntut tidak kira samada ianya dibuat secara secara bulanan, bayaran berperingkat atau bayaran pendahuluan. Bagi tuntutan bayaran akhir pula ianya meliputi item-item bayaran seperti perubahan kerja variasi, pengurangan harga kerja, jumlah kos utama, preliminari, pelarasan kos, wang pengekalan (retention sum) dan sebagainya selagi ianya telah diperuntukkan dengan jelas di bawah kontrak pembinaan yang dipertikaikan.
Apakah dia perkara-perkara yang terkandung di dalam tuntutan bayaran? Bagaimana tuntutan bayaran dibuat? Seperti yang telah diterangkan pada entri yang lepas, tuntutan bayaran yang dibuat mestilah secara BERTULIS.  Tuntutan yang dibuat secara bertulis mestilah mengandungi perkara-perkara berikut:

a)      (MANDATORI) Mesti menyatakan amaun dituntut dan tarikh sepatutnya amaun itu dibayar
-          Penuntut mestilah menyatakan jumlah amaun yang ingin dituntut dah tarikh akhir amaunt tersebut dibayar

b)      Sebab tuntutan dibuat dan terma kontrak yang berkaitan
-          Penuntut mesti menyatakan mengapakah tuntutan tersebut dibuat (tidak menerima bayaran selepas tamat tarikh akhir, tolakan LAD, Wang pengekalan) dan menyatakan tuntutan yang dibuat berdasarkan klausa yang relevan di dalam kontrak, jika tiada maka peruntukan ingkar CIPAA akan diguna pakai

c)       Butir-butir kerja/ perkhidmatan yang telah dilaksanakan yang bersangkutan dengan bayaran yang dituntut
-          Nyatakan no rujukan kontrak, tarikh kontrak dibuat atau butiran lain yang membuktikan kewujudan kontrak pembinaan

d)      Kenyataan bahawa tuntutan itu dibuat di bawah akta ini
-          Menyatakan tuntutan bayaran yang dibuat di bawah seksyen 5 CIPAA


Seperti yang telah dijelaskan, penuntut mestilah menyatakan dengan jelas perkara-perkara di atas di dalam notis tuntutan bayaran. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan notis tuntutan tidak sah dan ditolak.

Saya pasti, mungkin ramai di antara kontraktor ragu-ragu untuk menyediakan notis tuntutan anda sendiri kerana kekurangan ilmu pengetahuan mengenai CIPAA. Kontraktor mempunyai pilihan untuk melantik Perunding Tuntutan bagi pihak mereka untuk menyediakan notis tuntutan bayaran dan bagi mewakili mereka di dalam tuntutan di bawah CIPAA. Sekian dulu untuk kali ini. Semoga bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam.


Noridah Omar
Shah Alam.

1. PROSEDUR 1 – PENYERAHAN NOTIS




Assalamualaikum,

Pihak yang tidak dibayar/Penuntut

Pihak yang tidak membayar/Responden

KAEDAH MENGEMUKAKAN NOTIS: MESTI MEMBERI NOTIS TUNTUTAN / RESPON JAWAPAN SECARA BERTULIS
 









Entri yang sebelum ini, saya telah menulis berkenaan Adjudikasi dan juga prosedur-prosedur yang terlibat di dalam adjudikasi. Di harap penulisan saya dapat membantu anda semua memahami serba sedikit berkenaan proses adjudikasi.

Untuk entri kali ini dan seterusnya, saya akan menerangkan dengan lebih lanjut lagi prosedur-prosedur adjudikasi supaya anda semua lebih faham lagi. Penulisan saya pada hari ini berkenaan bagaimanakah caranya untuk anda menyampaikan atau menyerahkan notis tuntutan yang telah anda buat. Mungkin anda rasa boleh saja hendak menyerahkan notis ini dengan apa cara sekalipun asalkan ianya sampai ke tangan pihak yang anda ingin tuntut. Mungkin anda boleh menggunakan email, pos, fax atau anda hantar terus ke syarikat yang anda ingin tuntut. Cara anda boleh jadi betul, asalkan ianya sampai ke tangan pihak yang sepatutnya tetapi boleh juga jadi tidak betul jika ianya disampaikan dengan cara yang tidak tertakluk kepada akta CIPA. Jika cara penyerahan notis anda tidak mengikut akta CIPA, ia akan menyebabkan notis tuntutan anda tidak sah dan ditolak.

Penuntut atau pihak yang tidak membayar mestilah mengemukakan notis tuntutan / respon bayaran SECARA BERTULIS.  Apa maksudnya? Maksudnya anda mestilah menulis ataupun menaip notis tuntutan tersebut dan menghantar notis yang telah dicetak kepada pihak yang tidak membayar. Cara lain seperti melalui lisan tidak akan diambil kira.

Bagaimana pula caranya untuk menghantar notis tersebut? Sila ambil perhatian mengenai perkara ini kerana jika tersilap, tuntutan anda mungkin akan dicabar dan menyebabkan anda kehilangan hak untuk berjaya di dalam tuntutan yang dibuat. Menurut seksyen 38 akta CIPAA, Notis Tuntutan / Respon Bayaran boleh difailkan oleh penuntut kepada responden / responden kepada penuntut melalui beberapa cara seperti yang termaktub di dalam seksyen 38 CIPAA iaitu:

a)             Penuntut dikehendaki untuk menyerahkan sendiri notis atau dokumen tuntutan kepada responden
b)             Dengan meninggalkan notis atau dokumen di tempat perniagaan biasa responden semasa waktu urusan perniagaan responden
c)              Dengan menyerahkan notis atau dokumen ke tempat perniagaan biasa atau tempat perniagaan yang terakhir yang diketahui melalui pos berdaftar
d)             Melalui apa-apa cara lain sebagaimana yang dipersetujui secara bertulis oleh pihak yang bertikai

Terdapat 4 kaedah yang disediakan di bawah seksyen 38 akta CIPAA seperti di atas. Maka oleh sebab itu, anda bolehlah memilih kaedah yang anda rasakan paling efisien dengan anda. Mengikut pengalaman saya, jika pihak yang tidak membayar berada di dalam radius yang anda boleh hantar dalam tempoh waktu bekerja, maka adalah lebih baik jika anda menggunakan kaedah seksyen 38 (a) dan 38 (b). Menghantar sendiri lebih bagus kerana anda dapat memastikan mereka menerima notis tuntutan anda. Jangan lupa untuk meminta tandatangan dan cop rasmi syarikat sebagai pengesahan mereka telah menerima notis tuntutan anda. Ini adalah sangat penting sebagai bukti mereka telah menerima notis tersebut dan ianya akan dilampirkan di dalam prosedur seterusnya kelak.

Bagi kaedah seksyen 38 (c), biasanya ianya digunakan jika pihak yang tidak membayar berada jauh dari lokasi anda dan anda mengalami kesempitan masa untuk menghantar melalui serahan tangan. Dengan sebab yang demikian anda bolehlah menyerahkan notis tersebut dengan mengirimkannya melalui pos berdaftar. Anda kemudiannya boleh meminta kad pengesahan penerimaan pos daftar daripada pejabat pos untuk dilampirkan di dalam prosedur seterusnya sebagai bukti anda telah menyerahkan notis tuntutan tersebut kepada pihak yang tidak membayar.

Seksyen 38(d) pula akan terpakai sekiranya terdapat persetujuan bertulis daripada kedua-dua pihak yang bertikai tentang bagaimana kaedah penyerahan akan dilakukan. Jika satu pihak mencadangkan kaedah penyerahan selain daripada kaedah-kaedah yang dinyatakan di atas sebagai contoh melalui e-mail, poslaju, kurier ataupun faksimili, dan pihak yang lain bersetuju dengan cadangan tersebut, maka kaedah yang telah dipersetujui bolehlah digunakan untuk penyerahan notis. Perlu diingatkan, anda perlulah menyimpan bukti bahawa anda telah menyerahkan notis tersebut dan pihak yang tidak membayar telah menerima notis tuntutan anda.

Sekian untuk entri kali ini. Saya akan terangkan prosedur seterusnya pada entri akan datang. Saya harap anda boleh memahami penulisan saya pada entri kali ini kerana ini merupakan perkara paling asas di dalam prosedur adjudikasi. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam.