Tuesday, April 7, 2020

2. PROSEDUR 2 – TUNTUTAN BAYARAN


Assalamualaikum,

Pihak yang tidak dibayar mempunyai hak membuat tuntutan
Pihak yang tidak membayar
 

                                                                                                                                                

SYARAT-SYARAT TUNTUTAN - MEMBUAT  TUNTUTAN SECARA BERTULIS
 



Entri kali ini akan menerangkan berkenaan tuntutan bayaran. Tuntutan bayaran merupakan prosedur yang pertama di dalam proses adjudikasi seperti yang tertakluk di bawah seksyen 5 akta CIPA .  Ini bermaksud, sebelum anda ingin memulakan proses adjudikasi, anda mestilah membuat tuntutan bayaran kepada pihak yang tidak membayar.

Pihak yang tidak dibayar boleh menyampaikan suatu tuntutan pembayaran kepada pihak yang tidak membayar bagi bayaran menurut suatu kontrak pembinaan. Ini bermaksud, tuntutan pembayaran yang dibuat hanya tertakluk kepada suatu kontrak pembinaan sahaja. Jika kontraktor mempunyai beberapa tuntutan bayaran untuk kontrak pembinaan yang berlainan maka beliau perlulah membuat beberapa tuntutan bayaran yang berasingan.  
Anda pasti ingin mengetahui apa itu bayaran dan bayaran apa yang boleh dituntut di bawah akta CIPAA, betul tak? Seksyen 4 akta CIPAA mentakrifkan bayaran bermaksud "pembayaran untuk kerja yang dilakukan atau perkhidmatan yang diberikan di bawah terma nyata kontrak kontrak ". Ini bermaksud bahawa, tuntutan bayaran yang dibuat hanyalah untuk pembayaran ke atas kerja kontrak yang telah siap dilakukan atau perkhidmatan yang telah diberikan sahaja di bawah terma nyata kontrak pembinaan. Kontraktor tidak boleh membuat tuntutan selain daripada perkara-perkara ini. Pembayaran yang boleh dituntut adalah bayaran kemajuan kerja dan bayaran akhir. Bayaran kemajuan kerja boleh dituntut tidak kira samada ianya dibuat secara secara bulanan, bayaran berperingkat atau bayaran pendahuluan. Bagi tuntutan bayaran akhir pula ianya meliputi item-item bayaran seperti perubahan kerja variasi, pengurangan harga kerja, jumlah kos utama, preliminari, pelarasan kos, wang pengekalan (retention sum) dan sebagainya selagi ianya telah diperuntukkan dengan jelas di bawah kontrak pembinaan yang dipertikaikan.
Apakah dia perkara-perkara yang terkandung di dalam tuntutan bayaran? Bagaimana tuntutan bayaran dibuat? Seperti yang telah diterangkan pada entri yang lepas, tuntutan bayaran yang dibuat mestilah secara BERTULIS.  Tuntutan yang dibuat secara bertulis mestilah mengandungi perkara-perkara berikut:

a)      (MANDATORI) Mesti menyatakan amaun dituntut dan tarikh sepatutnya amaun itu dibayar
-          Penuntut mestilah menyatakan jumlah amaun yang ingin dituntut dah tarikh akhir amaunt tersebut dibayar

b)      Sebab tuntutan dibuat dan terma kontrak yang berkaitan
-          Penuntut mesti menyatakan mengapakah tuntutan tersebut dibuat (tidak menerima bayaran selepas tamat tarikh akhir, tolakan LAD, Wang pengekalan) dan menyatakan tuntutan yang dibuat berdasarkan klausa yang relevan di dalam kontrak, jika tiada maka peruntukan ingkar CIPAA akan diguna pakai

c)       Butir-butir kerja/ perkhidmatan yang telah dilaksanakan yang bersangkutan dengan bayaran yang dituntut
-          Nyatakan no rujukan kontrak, tarikh kontrak dibuat atau butiran lain yang membuktikan kewujudan kontrak pembinaan

d)      Kenyataan bahawa tuntutan itu dibuat di bawah akta ini
-          Menyatakan tuntutan bayaran yang dibuat di bawah seksyen 5 CIPAA


Seperti yang telah dijelaskan, penuntut mestilah menyatakan dengan jelas perkara-perkara di atas di dalam notis tuntutan bayaran. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan notis tuntutan tidak sah dan ditolak.

Saya pasti, mungkin ramai di antara kontraktor ragu-ragu untuk menyediakan notis tuntutan anda sendiri kerana kekurangan ilmu pengetahuan mengenai CIPAA. Kontraktor mempunyai pilihan untuk melantik Perunding Tuntutan bagi pihak mereka untuk menyediakan notis tuntutan bayaran dan bagi mewakili mereka di dalam tuntutan di bawah CIPAA. Sekian dulu untuk kali ini. Semoga bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam.


Noridah Omar
Shah Alam.

1. PROSEDUR 1 – PENYERAHAN NOTIS




Assalamualaikum,

Pihak yang tidak dibayar/Penuntut

Pihak yang tidak membayar/Responden

KAEDAH MENGEMUKAKAN NOTIS: MESTI MEMBERI NOTIS TUNTUTAN / RESPON JAWAPAN SECARA BERTULIS
 









Entri yang sebelum ini, saya telah menulis berkenaan Adjudikasi dan juga prosedur-prosedur yang terlibat di dalam adjudikasi. Di harap penulisan saya dapat membantu anda semua memahami serba sedikit berkenaan proses adjudikasi.

Untuk entri kali ini dan seterusnya, saya akan menerangkan dengan lebih lanjut lagi prosedur-prosedur adjudikasi supaya anda semua lebih faham lagi. Penulisan saya pada hari ini berkenaan bagaimanakah caranya untuk anda menyampaikan atau menyerahkan notis tuntutan yang telah anda buat. Mungkin anda rasa boleh saja hendak menyerahkan notis ini dengan apa cara sekalipun asalkan ianya sampai ke tangan pihak yang anda ingin tuntut. Mungkin anda boleh menggunakan email, pos, fax atau anda hantar terus ke syarikat yang anda ingin tuntut. Cara anda boleh jadi betul, asalkan ianya sampai ke tangan pihak yang sepatutnya tetapi boleh juga jadi tidak betul jika ianya disampaikan dengan cara yang tidak tertakluk kepada akta CIPA. Jika cara penyerahan notis anda tidak mengikut akta CIPA, ia akan menyebabkan notis tuntutan anda tidak sah dan ditolak.

Penuntut atau pihak yang tidak membayar mestilah mengemukakan notis tuntutan / respon bayaran SECARA BERTULIS.  Apa maksudnya? Maksudnya anda mestilah menulis ataupun menaip notis tuntutan tersebut dan menghantar notis yang telah dicetak kepada pihak yang tidak membayar. Cara lain seperti melalui lisan tidak akan diambil kira.

Bagaimana pula caranya untuk menghantar notis tersebut? Sila ambil perhatian mengenai perkara ini kerana jika tersilap, tuntutan anda mungkin akan dicabar dan menyebabkan anda kehilangan hak untuk berjaya di dalam tuntutan yang dibuat. Menurut seksyen 38 akta CIPAA, Notis Tuntutan / Respon Bayaran boleh difailkan oleh penuntut kepada responden / responden kepada penuntut melalui beberapa cara seperti yang termaktub di dalam seksyen 38 CIPAA iaitu:

a)             Penuntut dikehendaki untuk menyerahkan sendiri notis atau dokumen tuntutan kepada responden
b)             Dengan meninggalkan notis atau dokumen di tempat perniagaan biasa responden semasa waktu urusan perniagaan responden
c)              Dengan menyerahkan notis atau dokumen ke tempat perniagaan biasa atau tempat perniagaan yang terakhir yang diketahui melalui pos berdaftar
d)             Melalui apa-apa cara lain sebagaimana yang dipersetujui secara bertulis oleh pihak yang bertikai

Terdapat 4 kaedah yang disediakan di bawah seksyen 38 akta CIPAA seperti di atas. Maka oleh sebab itu, anda bolehlah memilih kaedah yang anda rasakan paling efisien dengan anda. Mengikut pengalaman saya, jika pihak yang tidak membayar berada di dalam radius yang anda boleh hantar dalam tempoh waktu bekerja, maka adalah lebih baik jika anda menggunakan kaedah seksyen 38 (a) dan 38 (b). Menghantar sendiri lebih bagus kerana anda dapat memastikan mereka menerima notis tuntutan anda. Jangan lupa untuk meminta tandatangan dan cop rasmi syarikat sebagai pengesahan mereka telah menerima notis tuntutan anda. Ini adalah sangat penting sebagai bukti mereka telah menerima notis tersebut dan ianya akan dilampirkan di dalam prosedur seterusnya kelak.

Bagi kaedah seksyen 38 (c), biasanya ianya digunakan jika pihak yang tidak membayar berada jauh dari lokasi anda dan anda mengalami kesempitan masa untuk menghantar melalui serahan tangan. Dengan sebab yang demikian anda bolehlah menyerahkan notis tersebut dengan mengirimkannya melalui pos berdaftar. Anda kemudiannya boleh meminta kad pengesahan penerimaan pos daftar daripada pejabat pos untuk dilampirkan di dalam prosedur seterusnya sebagai bukti anda telah menyerahkan notis tuntutan tersebut kepada pihak yang tidak membayar.

Seksyen 38(d) pula akan terpakai sekiranya terdapat persetujuan bertulis daripada kedua-dua pihak yang bertikai tentang bagaimana kaedah penyerahan akan dilakukan. Jika satu pihak mencadangkan kaedah penyerahan selain daripada kaedah-kaedah yang dinyatakan di atas sebagai contoh melalui e-mail, poslaju, kurier ataupun faksimili, dan pihak yang lain bersetuju dengan cadangan tersebut, maka kaedah yang telah dipersetujui bolehlah digunakan untuk penyerahan notis. Perlu diingatkan, anda perlulah menyimpan bukti bahawa anda telah menyerahkan notis tersebut dan pihak yang tidak membayar telah menerima notis tuntutan anda.

Sekian untuk entri kali ini. Saya akan terangkan prosedur seterusnya pada entri akan datang. Saya harap anda boleh memahami penulisan saya pada entri kali ini kerana ini merupakan perkara paling asas di dalam prosedur adjudikasi. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam.

PROSEDUR ADJUDIKASI



Assalamualaikum,

PIHAK YANG TIDAK DIBAYAR MEMBUAT TUNTUTAN BAYARAN

PIHAK YANG TIDAK MEMBAYAR MEMBERIKAN RESPON BAYARAN

10 HARI BEKERJA

LIMITATION ACT
 







PIHAK YANG TERKILAN (MENUNTUT) MEMULAKAN ADJUDIKASI
                                                                                                                  


MEMILIH DAN MELANTIK ADJUDIKATOR

10 HARI BEKERJA
 

                                                                                                                                  

ADJUDIKATOR MEMBINCANGKAN PERLANTIKAN DAN FI SERTA PENERIMAAN

10 HARI BEKERJA
 


                                                                                                                                   

PIHAK YANG MENUNTUT MEMBUAT TUNTUTAN ADJUDIKASI

10 HARI BEKERJA
 


                                                                                                                                                                           

RESPONDEN MEMBUAT RESPON ADJUDIKASI

10 HARI BEKERJA

10 HARI BEKERJA
 




PIHAK YANG MENUNTUT MEMBUAT JAWAPAN ADJUDIKASI
                                                                                                                          

ADJUDIKATOR MENJALANKAN PROSES ADJUDIKASI

5 HARI BEKERJA
 



45 HARI BEKERJA
                                                                                                                      


ADJUDIKATOR MEMBUAT KEPUTUSAN
 

                                                                                                                    

Jika pada entri sebelum ini saya telah menerangkan mengenai proses-proses yang terlibat di dalam adjudikasi jadi hari ini penulis akan menulis pula berkenaan prosedur adjudikasi. Bagi yang tidak tahu atau kurang faham apa maksud prosedur, saya akan jelaskan sedikit . Mengikut kamus DBP, prosedur merupakan cara yang lazim untuk membuat sesuatu urusan, aturan atau cara kerja untuk melakukan sesuatu atau tatacara. Maka, oleh sebab yang demikian, untuk memastikan tuntutan yang dibuat berjaya, kontraktor mestilah mengikut prosedur-prosedur adjudikasi yang telah ditetapkan dengan betul. Silalah ikut langkah-langkah seperti rajah di atas mengikut turutan yang telah ditetapkan jika anda tidak mahu tuntutan anda ditolak atau dicabar.
Seperti yang telah diberitahu dalam entri yang lepas, mekanisma penyelesaian pertikaian di bawah Akta CIPA lebih cepat daripada litigasi atau arbitrasi. Rajah di atas menunjukkan prosedur adjudikasi dan tempoh masa yang ditetapkan oleh AIAC untuk memfailkan setiap proses. Keseluruhan proses adjudikasi bermula dari fasa pra adjudikasi sehinggalah fasa adjudikator membuat keputusan adjudikasi mengambil masa lebih kurang 5 bulan. Saya akan menerangkan secara ringkas mengenai setiap prosedur yang terlibat dalam membuat tuntutan pada entri kali ini. Ini adalah supaya anda semua mempunyai idea secara asas setiap prosedur yang dijalankan sebelum saya menerangkan setiap prosedur dengan lebih teliti dan jelas.
Sebelum prosiding adjudikasi dijalankan, pihak yang tidak dibayar mesti terlebih dahulu menghantar Tuntutan Bayaran. Tuntutan bayaran boleh dikeluarkan untuk pembayaran interim yang tidak dibayar, pembayaran akhir dan wang tahanan (retention sum), selagimana jumlah ini dinyatakan akan dibayar di bawah syarat-syarat kontrak pembinaan. Ia juga boleh dikeluarkan sebelum pengesahan tuntutan itu. Tuntutan untuk "pembayaran" sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta CIPAA, adalah terhad kepada "pembayaran untuk kerja yang dilakukan atau perkhidmatan yang diberikan di bawah terma kontrak kontrak" sahaja.

Respon Bayaran disampaikan dalam tempoh 10 hari bekerja dari penerimaan tuntutan bayaran. Dalam Respon bayaran, pihak yang tidak membayar mungkin mengaku atau mempertikaikan tuntutan pembayaran. Sekiranya pihak yang tidak membayar gagal membalas tuntutan pembayaran, keseluruhan tuntutan pembayaran dianggap telah dipertikaikan.

Selepas itu, pihak yang tidak dibayar boleh memulakan prosiding adjudikasi dengan menghantar notis adjudikasi kepada pihak yang tidak membayar dan menghantar sesalinan kepada AIAC.  Langkah seterusnya ialah pihak yang tidak dibayar mendaftarkan kes tersebut dengan AIAC. Pendaftaran kes dengan AIAC adalah mandatori untuk semua kes di bawah CIPAA. Seperti yang kita sedia maklum, AIAC merupakan sebuah badan yang dilantik untuk mentadbir dan menguruskan kes-kes adjudikasi dan arbitrasi di Malaysia.

Adjudikator akan dilantik dalam tempoh 10 hari selepas penyampaian notis adjudikasi, jika mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak yang bertikai ataupun dengan meminta Direktor AIAC untuk melantik  adjudikator jika tidak mendapat persetujuan dari salah satu pihak yang bertikai.  Adjudikator akan menghantar surat untuk membincangkan syarat-syarat perlantikannya dan fi adjudikator seperti yang telah ditetapkan dalam peraturan-peraturan CIPAA. Kedua-dua pihak perlulah menjawab surat rundingan tersebut secara bertulis jika bersetuju dengan semua syarat yang telah dikemukakan oleh adjudikator. Selepas menerima maklumbalas mengenai rundingan syarat-syarat perlantikan dan fi adjudikator daripada  pihak-pihak yang bertikai, Adjudikator perlulah menghantar Notis Penerimaan Perlantikan sebagai Adjudikator kepada pihak-pihak yang bertikai. Beliau akan menyatakan pengisytiharan untuk menerima perlantikan tersebut dengan fi yang telah dipersetujui dan arahan kepada pihak yang bertikai untuk mengemukakan Tuntutan Adjudikasi, Respon Adjudikasi dan Jawapan Adjudikasi dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.  

Pihak yang menuntut kemudiannya akan menghantar tuntutan adjudikasi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas penerimaan pelantikan adjudikator. Tuntutan adjudikasi pada dasarnya merupakan penguatan tuntutan pembayaran, di mana perihal pertikaian pembayaran dibentangkan secara lebih terperinci dan disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan yang terlibat dengan pertikaian tersebut. Responden mempunyai tempoh 10 hari bekerja untuk menyampaikan Respon Adjudikasi di mana Responden perlu menjawab kesemua tuntutan yang dinyatakan dalam tuntutan adjudikasi. Pihak yang menuntut kemudiannya mempunyai tempoh 5 hari bekerja untuk menyampaikan Jawapan Adjudikasi berdasarkan Respon Adjudikasi yang diterima olehnya. Adjudikator mempunyai 45 hari bekerja untuk menyampaikan keputusan adjudikasi kepada pihak-pihak yang bertikai . Perbicaraan lisan dan panggilan saksi tidak diperlukan dan tertakluk kepada permintaan pihak-pihak yang bertikai dan kebijaksanaan adjudikator.

Penerangan mengenai setiap prosedur adjudikasi akan diterangkan satu persatu dengan lebih jelas lagi pada entri yang akan datang. Diharap anda semua dapat memahami secara asas prosedur tuntutan yang dibuat pada entri kali ini. Sekian, wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam.