Wednesday, April 29, 2020

20. PROSEDUR 10 – JAWAPAN ADJUDIKASI



Assalamualaikum,
Entri kali ini, saya akan menerangkan berkenaan Jawapan Adjudikasi sepertimana yang telah ditetapkan di bawah seksyen 11 akta CIPA. Balasan Adjudikasi merupakan peluang yang diberikan kepada Penuntut untuk menjawab segala hujah dan pembelaan yan dikemukakan oleh Responden di dalam Respon Bayaran. Seperti di dalam Respon Adjudikasi, sebarang tuntutan baru tidak boleh dibangkitkan pada peringkat ini oleh penuntut.
Seksyen 11 akta CIPA ini, membenarkan pihak yang menuntut untuk memfailkan Jawapan Adjudikasi kepada Responden dalam tempoh 5 hari bekerja selepas menerima Respon Adjudikasi daripada Responden . Penyampaian Jawapan Adjudikasi boleh dilakukan dengan cara yang telah ditentukan di bawah seksyen 38(a) hingga 38(d) akta CIPAA. Sesalinan Respon Adjudikasi mestilah diberikan kepada adjudikator. Syarat-syarat untuk memfailkan jawapan adjudikasi adalah seperti berikut: -
Ø  Secara bertulis dan di atas perkara yang dibangkitkan di dalam Respons Adjudikasi sahaja

                                 i.            Jawapan kepada Respons
                               ii.            Dokumen sokongan

Nota: Jika sekiranya penuntut memberi jawapan maka tarikh bermula proses adjudikasi adalah selepas tarikh penerimaan jawapan. Jika beliau tidak mahu memberikan jawapan maka proses adjudikasi bermula dari tarikh penerimaan respon bayaran. Adjudikator mesti membuat keputusan dalam 45 hari bekerja.

Sekian dulu untuk entri kali ini. Semoga kita diizinkan untuk bertemu pada entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam.







19. PROSEDUR 9 – RESPONS ADJUDIKASI




Assalamualaikum,
Entri hari ini adalah tentang Respon Adjudikasi. Respon Adjudikasi ini adalah tertakluk di bawah seksyen 10 akta CIPA.
Respon Adjudikasi merupakan jawapan terhadap Tuntutan Adjudikasi yang disediakan oleh pihak yang dituntut / Responden dan mesti disertakan dengan dokumen-dokumen yang diperlukan yang berkaitan dengan projek dan tuntutan yang dibuat oleh penuntut.
Setelah menerima Tuntutan Adjudikasi daripada pihak yang menuntut, Responden mestilah memberikan Respon Adjudikasi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas beliau menerima Tuntutan Adjudikasi. Respon Adjudikasi yang dihantar bolehlah disertakan sekali bersama dengan apa-apa dokumen sokongan yang diperlukan sebagai pembuktikan Respon Adjudikasi yang dibuat. Di dalam Respon Adjudikasi, Responden mengemukakan pembelaan atau pertahan yang diambil oleh mereka terhadap tuntutan yang dibuat oleh Penuntut dan membuat tuntutan ke atas tuntutan balas atau set-off yang telah mereka kemukakan sebelum ini di dalam Respon Bayaran. Perlu diingatkan bahawa, tiada tuntutan balas yang baru yang boleh ditimbulkan di dalam fasa ini.
Tidak ada format yang khusus yang ditetapkan untuk Respon Adjudikasi. Apa yang penting dan terbaik adalah Responden perlulah mengenalpasti fakta yang telah dikemukakan oleh Penuntut di dalam Tuntutan Adjudikasi dan bolehla menggunakan asas undang-undang untuk menyokong pembelaan yang dibuat. Penyampaian Respon Adjudikasi boleh dilakukan dengan menggunakan salah satu cara seperti yang telah ditetapkan di dalam seksyen 38(a) sehingga 38(d) akta CIPA seperti yang telah saya terangkan pada entri terdahulu.
Adjudikator mestilah menerima sesalinan Respon Adjudikasi daripada responden. Syarat-syarat untuk memfailkan respon adjudikasi adalah seperti berikut: -
Ø  Secara bertulis dan menjawab atas perkara yang dipertikaikan sahaja

                                 i.            Jawapan kepada perkara yang dipertkaikan
                               ii.            Dokumen sokongan

Nota: Jika tiada respon dalam tempoh 10 hari dari tarikh tuntutan disampaikan maka adjudikator mempunyai kuasa untuk meneruskan proses adjudikasi dengan cara menimbangkan dokumen yang dikemukakan oleh penuntut sahaja. Adjudikator mempunya masa 45 hari bekerja untuk membuat keputusan selepas tarikh respon tamat

Sekian dulu untuk entri kali ini. Semoga kita bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam
                                      



RETENTION MONEY



Assalamualaikum  semua. Untuk entri hari ini, saya akan menerangkan apa itu “Retention Money”  di dalam dunia  pembinaan.

APA ITU WANG TAHANAH DI DALAM KONTRAK PEMBINAAN?
Secara umumnya, “Retention Money”  ialah Wang tahanan.  Wang Tahanan di dalam kontrak adalah satu amaun  yang dipegang oleh majikan untuk tujuan “ Set off” jika  sekiranya kontraktor gagal untuk meneruskan kerja atau gagal membaiki kecacatan.  Samada semasa  kontrak masih berjalan ataupun semasa tempoh tanggungan kecacatan  (Defect Liability Period).

APAKAH TUJUAN WANG TAHANAN?
Wang Tahanan adalah merupakan suatu cara perlindungan untuk majikan terhadap kemungkinan kontraktor melakukan perlanggaran (breach) kontrak. Ia juga untuk memastikan kontraktor menjalankan tanggungjawab mereka sehingga kerja siap sepenuhnya. 

Borang Kontrak Seragam JKR tidak memasukkan terma Wang Tahanan tetapi lain-lain kontrak (Kontrak swasta) di Malaysia ada memasukkan terma Wang Tahanan di dalam kontrak mereka.  Majoriti kontrak  di  antara  kontraktor utama dan sub-kontraktor memasukkan  terma Wang Tahanan. 

Majikan mestilah memaklumkan atau memberi notis kepada kontraktor  untuk membaiki kecacatan sebelum majikan boleh membaikinya sendiri atau melantik pihak lain untuk membaiki kecacatan dan “Set off” daripada Wang Tahanan.

Wang Tahanan juga sepatutnya disimpan  sebagai “Wang Amanah” (Fiduciary) oleh majikan dan tidak boleh digunakan untuk tujuan berniaga kerana wang itu bukan hak mereka tetapi adalah hak sub-kontraktor.

Majikan hanya boleh menolak Wang Tahanan sekiranya terdapat pelanggaran (breach) tanggungjawab oleh kontraktor dan itupun perlu  dilakukan mengikut prosedur undang-undang. Berdasarkan kes-kes yang diadili  di mahkamah Malaysia, maka adalah lebih selamat jika sekiranya kontraktor meminta supaya majikan meletakkan Wang Tahanan ini di dalam satu akaun yang berasingan dari akaun majikan di awal projek.




Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 REV 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)






KELAMBATAN DAN LANJUTAN MASA (KLAUSA 43)



Hai Assalamualaikum wbt. Baiklah untuk entri kali ini, kita akan membincangkan tentang Kelambatan (Delay) dan Lanjutan Masa (EOT). Di dalam kontrak PWD, ianya di bawah KLAUSA 43 dan hanya mempunyai satu sub-klausa sahaja. Mari kita teliti bersama-sama!
 Klausa ini juga digunakan oleh kedua-dua pihak untuk mendapatkan remedi jika salah satu pihak memungkiri tanggungjawab mereka untuk melaksanakan kerja di dalam tempoh yang ditetapkan menurut syarat-syarat kontrak.
KLAUSA YANG MEMBOLEHKAN KERAJAAN DAN KONTRAKTOR UNTUK SALING MENUNTUT GANTIRUGI

KLAUSA 43.1
Apabila telah cukup jelas bahawa penyiapan kerja akan terlambat dari tempoh yang ditetapkan, maka kontraktor dengan segera perlu memberi notis secara bertulis kepada Pegawai Penguasa (P.P). Notis tersebut hendaklah mengemukakan sebab dan maklumat berkaitan kelambatan beserta dokumen-dokumen sokongan untuk membolehkan P.P menilai dan membuat keputusan. Sekiranya P.P berpendapat bahawa penyiapan kerja akan terlambat ataupun sudahpun terlambat melepasi tarikh penyiapan seperti dinyatakan di dalam apendix 1 ataupun melepasi mana-mana tarikh lanjutan masa (EOT) yang telah ditetapkan dahulu di bawah Klausa ini disebabkan oleh satu atau lebih dari peristiwa-peristiwa berikut:-

a)      Force majuere (Peristiwa yang di luar kawalan kedua-dua pihak seperti peperangan atau bencana alam)
b)      Cuaca buruk yang luar biasa
c)       Pemberhentian kerja di bawah klausa 50
d)      Arahan diberi Pegawai Penguasa akibat dari pertikaian dengan jiran berdekatan bukan disebabkan oleh kecuaian kontraktor.
e)      Arahan Pegawai Penguasa di bawah klausa 5 bukan disebabkan oleh kecuaian atau kemungkiran kontraktor
f)       Kegagalan kontraktor menerima arahan berhubung lantikan NSC, lukisan, aras ETC dari Pegawai Penguasa disebabkan oleh kelalaian Pegawai Penguasa
g)      Kelambatan menyerah tapak
h)      Kelambatan dari pihak lain yang dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan kerja yang tidak menjadi sebahagian dari kontrak
i)        Kegagalan kontraktor oleh sebab perkara yang diluar kawalan kontraktoor yang tidak munasabah untuk dijangkakan pada tarikh tukar tender
j)        Kelambatan oleh kerja NSC disebabkan oleh klausa a) – i)

Maka P.P jika beliau berpendapat bahawa lanjutan masa hendaklah diberikan dengan seberapa segera  bilamana beliau boleh menjangkakan tempoh kelambatan melebihi dari tarikh penyiapan mengemukakan sijil perakuan kelambatan dan lanjutan masa dengan memberikan lanjutan masa yang wajar untuk menyiapkan kerja.

Tertakluk kepada semua kelambatan adalah bukan disebabkan oleh perbuatan, kelalaian dan kemungkiran kontrak oleh NSC, NSS atau kontraktor atau mana-mana agen atay orang suruhan NSC, NSS atau kontraktor.

Tertakluk sentiasa bahawa kontraktor telah mengambil langkah-langkah yang berpatutan untuk mengelakkan atau mengurangkan kelambatan dan semuanya yang wajar dan diperlukan mengikut kepuasan P.P

Tertakluk lagi bahawa kontraktor tidak layak untuk lanjutan masa jika sekiranya arahan P.P adalah diperlukan untuk bertujuan untuk membaiki mana-mana kegagalan atau kemungkiran kontrak oleh kontraktor.

Kesimpulannya,
·         Kelambatan yang dimaksudan di dalam klausa ini adalah merujuk kepada kelambatan yang dibenarkan sahaja yang mana kontraktor layak untuk dipertimbangkan dengan lanjutan masa.
·         Klausa ini memberi ruang untuk “modify” kewajipan kontaktor dari menyiapkan kerja pada tarikh penyiapan mengikut kontrak kepada satu tarikh baru seperti yang diluluskan oleh pegawai penguasa.
·         Kontraktor perlu memberi notis bilamana telah menjadi nyata bahawa kemajuan kerja telah terlambat.
·         Notis kontraktor mestilah secara bertulis menyatakan sebab kelambatan beserta maklumat-maklumat yang berkaitan serta dokumen-dokumen sokongan yang mencukupi supaya pegawai penguasa boleh membuat keputusan tentang “eligibility” lanjutan masa dan juga membuat perkiraan berapa tempoh lanjutan yang perlu diberikan.
·         Kegagalan kontraktor mengemukakan notis beserta sebab dan dokumen sokongan adalah satu kemungkiran kontrak tetapi tidak membatalkan haknya untuk mendapatkan lanjutan masa.
·         Pegawai penguasa mestilah bersikap adil & tidak memihak di dalam membuat penilaian dan pengiraan lanjutan masa yang sesuai.
·         Jika sekiranya beliau tidak mendapat maklumat yang mencukupi dari kontraktor maka beliau boleh menggunakan alasan kemungkiran kontraktor di dalam keputusannya.
·         Jika sekiranya wujud alasan yang munasabah tetapi pegawai penguasa gagal memberikan lanjutan masa akan menyebabkan masa penyiapan menjadi “at large” di mana penyiapan mengikut tempoh yang munasabah. 


Itu sahaja untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa di entri yang akan datang.




Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                 Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 REV 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)



QUANTUM MERUIT & SET OFF




Assalamualaikum semua pembaca yang dikasihi,

Hari ini saya akan menerangkan maksud “Quantum meruit” dan “Set Off” iaitu salah satu istilah undang-undang yang sering digunakan dalam prosiding adjudikasi.

“Quantum Meriut”

“Quantum Meriut” berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud “sebanyak mana yang dia berhak” (as much as he deserve). 

Prinsip ini adalah berdasarkan kepada prinsip keadilan.

Bagi tuntutan secara quantum meriut, majikan dan kontraktor perlu berbincang untuk membayar kepada kontraktor terhadap kerja-kerja yang dilakukan di bawah tuntutan “quantum meriut” berdasarkan satu harga yang adil dan wajar (fair & reasonable).

Situasi di mana tuntutan “ quantum meriut” kebiasaannya berlaku disebabkan antara lainnya kerja yang telah dilaksanakan tanpa kontrak tetapi terdapat perjanjian untuk membayar oleh majikan di mana telah mendapat faedah daripada kerja tersebut tetapi harganya belum ditentukan.

Situasi lain adalah di mana sekiranya arahan perubahan yang dikeluarkan oleh pegawai penguasa bersifat terlalu berbeza, ganjil dan tidak dijangkakan berbanding dengan kerja di dalam kontrak. Daalm situasi ini tuntutan perlulah dibuat secara quantum meriut.

Antara situasi lain di mana tuntutan dibuat secara quantum meriut adalah apabila sekiranya method kerja yang hendak dilaksanakan di dalam kontrak telah bertukar dari apa yang dijanjikan semasa proses tender.

Walaubagaimana adalah perlu diingatkan bahawa kerja-kerja “ variation order” yang biasa tidak boleh dituntut di bawah “ quantum meriut” tetapi ianya adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan kontrak. 


“SET OFF”

Saya pasti sekiranya anda adalah kontraktor pasti anda sering mendengar perkataan “set off” sepanjang tempoh anda melakukan kerja-kerja kontrak. Perkataan “ set off” selalunya akan kedengaran apabila isu pembayaran timbul.

“Set off” kebiasaannya digunakan oleh majikan di dalam “ cross and counter claim” terhadap kontraktor berhubung dengan kelambatan dan juga kecacatan kerja.

Bagi kontrak JKR PWD 203, kontrak tersebut mempunyai peruntukan untuk “ set off” bayaran kepada kontraktor sekiranya pihak kerajaan menanggung kos untuk membaiki kecacatan jika sekiranya kontaktor gagal berbuat demikian ataupun kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan disebabkan oleh penamatan kontrak.

Berdasarkan prinsip “natural justice” sebarang tindakan untuk “ set off” niat untuk berbuat demikian mestilah dinyatakan kepada pihak yang satu lagi melalui notis oleh pihak yang menuntut.

Walaubagaimana pun, bagi kontrak JKR PWD 203, kontrak ini tidak membenarkan “set off” untuk projek yang diluar daripada kontrak.


Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
29.04.2020


AUDI ALTERAM PARTUM & COMMODUM EX INJURIA SUA NON HABERE DEBET




Assalammualaikum semua pembaca.

Sepertimana yang diterangkan pada entri yang lepas, kita akan sambung lagi berkenaan istilah undang-undang yang sering digunakan dalam prosiding adjudikasi di bawah CIPAA 2012.

Jika entri yang lalu saya menerangkan istilah “Onus probandi”, kali ini saya akan menerangkan berkenaan “Audi alteram partum” dan “ coomodum ex injuria sua non habere debet”.

“Audi alteram partum”.

“ Audi alteram partum” adalah perkataan Latin yang bermaksud secara literalnya “ mendengar dari pihak yang sana juga”.

“Audi alteram partum” adalah satu peraturan undang-undang yang menyatakan bahawa tidak boleh seseorang itu dihakimi tanpa mendengar hujahnya secara adil dengan memberikan peluang untuknya untuk menjawab tuduhan itu.

Dalam konteks ini, pihak-pihak yang bertelingkah di dalam kontrak dikehendaki memaklumkan tuntutannya dengan memberi notis dalam tempoh yang sesuai supaya tuntutan itu boleh dijawab oleh pihak yang satu lagi.

Walaubagaimanapun, sekiranya masih berlaku pertikaian maka  barulah tuntutan itu dibawa ke tribunal atau arbitrasi atau adjudikasi.


“Commodum ex injuria sua non habere debet”

Commodum ex injuria sua non habere debet adalah perkataan Latin yang bermaksud secara literalnya “tiada siapa yang boleh mendapatkan faedah dari kesalahannya”.

Commodum ex injuria sua non habere debet adalah satu peraturan undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang yang ingin mendapatkan keadilan dia mestilah datang dengan tangan yang bersih.

Dibawah doktrin tangan bersih seseorang yang telah melakukan kemungkiran tidak akan ditolong oleh mahkamah jika sekiranya dia mendakwa orang lain.

Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
27.04.2020