Assalamualaikum,
Pihak yang tidak dibayar/Penuntut
|
Pihak yang tidak
membayar/Responden
|
KAEDAH MENGEMUKAKAN NOTIS: MESTI
MEMBERI NOTIS TUNTUTAN / RESPON JAWAPAN SECARA BERTULIS
|
Entri yang sebelum ini, saya
telah menulis berkenaan Adjudikasi dan juga prosedur-prosedur yang terlibat di
dalam adjudikasi. Di harap penulisan saya dapat membantu anda semua memahami
serba sedikit berkenaan proses adjudikasi.
Untuk entri kali ini dan seterusnya,
saya akan menerangkan dengan lebih lanjut lagi prosedur-prosedur adjudikasi
supaya anda semua lebih faham lagi. Penulisan saya pada hari ini berkenaan
bagaimanakah caranya untuk anda menyampaikan atau menyerahkan notis tuntutan
yang telah anda buat. Mungkin anda rasa boleh saja hendak menyerahkan notis ini
dengan apa cara sekalipun asalkan ianya sampai ke tangan pihak yang anda ingin
tuntut. Mungkin anda boleh menggunakan email, pos, fax atau anda hantar terus
ke syarikat yang anda ingin tuntut. Cara anda boleh jadi betul, asalkan ianya
sampai ke tangan pihak yang sepatutnya tetapi boleh juga jadi tidak betul jika
ianya disampaikan dengan cara yang tidak tertakluk kepada akta CIPA. Jika cara
penyerahan notis anda tidak mengikut akta CIPA, ia akan menyebabkan notis
tuntutan anda tidak sah dan ditolak.
Penuntut atau pihak yang tidak
membayar mestilah mengemukakan notis tuntutan / respon bayaran SECARA
BERTULIS. Apa maksudnya? Maksudnya
anda mestilah menulis ataupun menaip notis tuntutan tersebut dan menghantar
notis yang telah dicetak kepada pihak yang tidak membayar. Cara lain seperti
melalui lisan tidak akan diambil kira.
Bagaimana pula caranya untuk menghantar notis
tersebut? Sila ambil perhatian mengenai perkara ini kerana jika tersilap,
tuntutan anda mungkin akan dicabar dan menyebabkan anda kehilangan hak untuk
berjaya di dalam tuntutan yang dibuat. Menurut seksyen 38 akta CIPAA, Notis
Tuntutan / Respon Bayaran boleh difailkan oleh penuntut kepada responden /
responden kepada penuntut melalui beberapa cara seperti yang termaktub di dalam
seksyen 38 CIPAA iaitu:
a)
Penuntut dikehendaki untuk
menyerahkan sendiri notis atau dokumen tuntutan kepada responden
b)
Dengan meninggalkan notis atau
dokumen di tempat perniagaan biasa responden semasa waktu urusan perniagaan
responden
c)
Dengan menyerahkan notis atau
dokumen ke tempat perniagaan biasa atau tempat perniagaan yang terakhir yang
diketahui melalui pos berdaftar
d)
Melalui apa-apa cara lain
sebagaimana yang dipersetujui secara bertulis oleh pihak yang bertikai
Terdapat 4 kaedah yang disediakan
di bawah seksyen 38 akta CIPAA seperti di atas. Maka oleh sebab itu, anda
bolehlah memilih kaedah yang anda rasakan paling efisien dengan anda. Mengikut
pengalaman saya, jika pihak yang tidak membayar berada di dalam radius yang
anda boleh hantar dalam tempoh waktu bekerja, maka adalah lebih baik jika anda
menggunakan kaedah seksyen 38 (a) dan 38 (b). Menghantar sendiri lebih bagus
kerana anda dapat memastikan mereka menerima notis tuntutan anda. Jangan lupa
untuk meminta tandatangan dan cop rasmi syarikat sebagai pengesahan mereka
telah menerima notis tuntutan anda. Ini adalah sangat penting sebagai bukti
mereka telah menerima notis tersebut dan ianya akan dilampirkan di dalam
prosedur seterusnya kelak.
Bagi kaedah seksyen 38 (c),
biasanya ianya digunakan jika pihak yang tidak membayar berada jauh dari lokasi
anda dan anda mengalami kesempitan masa untuk menghantar melalui serahan
tangan. Dengan sebab yang demikian anda bolehlah menyerahkan notis tersebut
dengan mengirimkannya melalui pos berdaftar. Anda kemudiannya boleh meminta kad
pengesahan penerimaan pos daftar daripada pejabat pos untuk dilampirkan di
dalam prosedur seterusnya sebagai bukti anda telah menyerahkan notis tuntutan
tersebut kepada pihak yang tidak membayar.
Seksyen 38(d) pula akan
terpakai sekiranya terdapat persetujuan bertulis daripada kedua-dua pihak yang
bertikai tentang bagaimana kaedah penyerahan akan dilakukan. Jika satu pihak
mencadangkan kaedah penyerahan selain daripada kaedah-kaedah yang dinyatakan di
atas sebagai contoh melalui e-mail, poslaju, kurier ataupun faksimili, dan
pihak yang lain bersetuju dengan cadangan tersebut, maka kaedah yang telah
dipersetujui bolehlah digunakan untuk penyerahan notis. Perlu diingatkan, anda
perlulah menyimpan bukti bahawa anda telah menyerahkan notis tersebut dan pihak
yang tidak membayar telah menerima notis tuntutan anda.
Sekian untuk entri kali ini. Saya
akan terangkan prosedur seterusnya pada entri akan datang. Saya harap anda
boleh memahami penulisan saya pada entri kali ini kerana ini merupakan perkara
paling asas di dalam prosedur adjudikasi. Wassalam.
Noridah Omar
Shah Alam.
No comments:
Post a Comment