Tuesday, April 7, 2020

PROSES ADJUDIKASI



Assalamualaikum,

Bersua lagi kita. Untuk entri kali ini saya akan menerangkan proses-proses yang terlibat di dalam Adjudikasi. Sebelum saya bercerita dengan lebih lanjut mengenai proses-proses adjudikasi, izinkan saya memberikan definisi adjudikasi. Saya pasti masih ramai lagi yang kurang jelas dengan maksud adjudikasi kerana ia bukanlah merupakan perkataan yang sering kita gunakan dalam kehidupan seharian melainkan jika kita mempunyai latar belakang pekerjaan sebagai hakim atau peguam atau yang seangkatan dengannya. Menurut kamus dewan edisi keempat (saya menggunakan khidmat pakcik google ya) adjudikasi bermaksud proses undang-undang dalam menyelesaikan sesuatu pertelingkahan; teradjudikasi; hak-hak yang telah diiktiraf dalam prosiding kehakiman dan pentadbiran. Jikalau menurut encik wikipedia pula “Adjudication is the legal process by which an arbiter or judge reviews evidence and argumentation, including legal reasoning set forth by opposing parties or litigants to come to a decision which determines rights and obligations between the parties involved.” Kesimpulannya, adjudikasi merupakan satu proses undang-undang  untuk menyelesaikan pertelingkahan / pertikaian di mana arbiter atau hakim akan meneliti kesemua bukti dan argumentasi sebelum memberikan keputusan untuk menentukan hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terlibat.

Terdapat 3 fasa di dalam proses adjudikasi  iaitu:
1.       PRA ADJUDIKASI
                                 i.            Tuntutan Bayaran
                               ii.            Respon Bayaran

2.       ADJUDIKASI
                                 i.            Notis Adjudikasi
                               ii.            Melantik Adjudikator
                              iii.            Tuntutan Adjudikasi
                             iv.            Respon Adjudikasi
                               v.            Jawapan Adjudikasi

3.       MELAKSANAKAN KEPUTUSAN ADJUDIKASI
a)      Pihak yang menang
                                                         i.            Memberhentikan / melewatkan kerja
                                                       ii.            Minta bayaran dari prinsipal
                                                      iii.            Mohon perintah mahkamah
                                                     iv.            Melaksanakan kesemua di atas serentak

b)      Pihak yang kalah
                                                         i.            Ke mahkamah untuk
v  Batalkan keputusan
v  Gantung keputusan

Baiklah, seterusnya saya akan menerangkan kepada anda bagaimana proses Adjudikasi dijalankan. Proses adjudikasi terbahagi kepada 3 fasa seperti yang dinyatakan di atas. Fasa Pra adjudikasi bermula dengan pihak yang menuntut bayaran mengemukakan tuntutan bayaran ke atas pihak yang tidak membayar secara bertulis. Pihak yang tidak membayar boleh samada untuk mengemukakan respon bayaran ke atas tuntutan bayaran yang diberikan kepadanya atau tidak.
Fasa adjudikasi bermula dengan pemberian notis adjudikasi kepada pihak yang tidak membayar seterusnya melantik adjudikator untuk menilai prosedur adjudikasi yang dijalankan. Setelah adjudikator dilantik, beliau akan mengarahkan pihak yang tidak dibayar untuk memfailkan tuntutan adjudikasi yang lengkap dengan semua dokumen sokongan kepada pihak yang tidak membayar. Pihak yang tidak membayar akan menjawab balas tuntutan adjudikasi dengan memfailkan respon adjudikasi berserta dokumen sokongan. Prosedur terakhir di dalam fasa adjudikasi ialah pihak yang tidak dibayar memfailkan jawapan adjudikasi terhadap respon adjudikasi yang diterima olehnya.
Fasa 3 merupakan fasa perlaksanaan keputusan adjudikasi yang telah diputuskan oleh adjudikator yang telah dilantik. Adjudikator akan memberikan keputusannya selepas 45 hari bekerja. Pihak yang menang boleh memberhentikan / melewatkan kerja, meminta bayaran dari prinsipal, memohon perintah mahkamah atau melaksanakan ke semua yang dinyatakan secara serentak. Bagi pihak yang telah diputuskan kalah, beliau boleh pergi ke mahkamah untuk membatalkan keputusan atau menggantung keputusan adjudikasi.
Penerangan mengenai prosedur adjudikasi dalam setiap fasa akan diterangkan dengan lebih jelas lagi melalui entri akan datang. Saya amat berharap anda dapat memahami penerangan yang diberikan sebelum saya menerangkan fasa-fasa tersebut dengan jelas pada entri akan datang. Sehingga bertemu lagi, wassalam.

Noridah Omar,
Shah Alam



KONTRAK ''BE SPOKE''


Assalammualaikum semua pembaca.

Pada entri kali ini saya sambung menjelaskan berkenaan kontrak “Be spoke”.

Kontrak “Be Spoke” disediakan dan disesuaikan mengikut kehendak majikan dan tidak difahami sepenuhnya oleh kontraktor dan diketahui berisiko tinggi.

Ianya adalah kontrak yang menidakkan konsep kebebasan berkontrak (“ freedom of contract”). Bagi kontrak ini pihak kontraktor terpaksa menerima apa jua syarat yang ditetapkan tanpa boleh tawar menawar. Dengan kata lain, sama ada kontrator “take it” or “leave it” kontrak tersebut.

Selain itu, kontrak Bespoke ini tertakluk kepada peraturan pentafsiran “ contra proferentum”

Apa tu “Contra Proferentum”?

“ Contra Proferentum” ini adalah satu doktrin yang menjadi peraturan bilamana terdapat kesamaran di dalam terma kontrak maka pentafsiran akan dibuat bertentangan dengan kepentingan pihak yang membuat terma tersebut.

Seterusnya, penggunaan kontrak Bespoke adalah penggunaan kontrak yang terhad kepada satu majikan/ projek.

Penggunaan kontrak Bespoke membawa kepada banyak pertikaian dan selalunya jika terma kontrak tidak jelas atau kabur, maka mahkamah tidak menyebelahi majikan.


Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
8.04.2020




KONTRAK FORMAT SERAGAM



Assalamualaikum semua pembaca.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini terdapat pelbagai kontrak pembinaan.  Antara kontrak pembinaan yang sering digunakan dalam industri pembinaan adalah kontrak format seragam.

Apakah yang dimaksudkan dengan kontrak format seragam?

Kontrak format seragam adalah satu kontrak yang telah disediakan terlebih dahulu oleh majikan dan selalunya kontrak ini akan digunakan acapkali dalam transaksi di masa hadapan.

Harus diingatkan bahawa kontrak format seragam ini disediakan oleh Majikan. Jadi ianya bukan satu kontrak yang terikat dengan kebebasan berkontrak. Ianya satu kontrak yang menidakkan konsep kebebasan berkontrak (“ freedom of contract”).

Ibarat macam pakaian seragam yang disediakan oleh Majikan. Sama ada kita suka atau tak, kita tetap kena pakai selagi kita berkerja dengan majikan tersebut.

Begitu juga dengan kontrak format seragam ini. Meskipun kontraktor suka atau tak suka, kontraktor tetap tertakluk kepada kontrak format seragam tersebut.

Pihak kontraktor terpaksa menerima apa jua syarat yang ditetapkan tanpa boleh tawar menawar. Dengan kata lain, sama ada kontrator “take it” or “leave it” kontrak tersebut. No choice!

Selain itu, kontrak format seragam ini tertakluk kepada peraturan pentafsiran “ contra proferentum”

Apakah itu “Contra Proferentum”?

“ Contra Proferentum” ini adalah satu doktrin yang menjadi peraturan bilamana terdapat kesamaran di dalam terma kontrak maka pentafsiran akan dibuat bertentangan dengan kepentingan pihak yang membuat terma tersebut.

Begini maksudnya:-

Kontrak ini adalah kontrak format seragam. Jadi akan ada terma-terma yang dalam itu yang kadang-kadang samar atau kontraktor tidak jelas. Jadi bila ada situasi sebegini berlaku, doktrin “contra proferentum” ini terpakai. Jadi apabila pentafsiran terhadap terma yang samar itu dibuat ianya akan bertentangan dengan kepentingan pihak yang buat terma tersebut(Majikan).

Seterusnya, kontrak format seragam ini penggunaannya lebih meluas oleh itu ianya lebih difahami dan kurang dipertikaikan. Walau bagaimanapun,ianya bergantung kepada jenis borang seragam, jika sekiranya terma tidak jelas atau kabur, mahkamah mungkin mentafsirkannya secara nuetral ataupun memihak kepada kontraktor.


Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
7.04.2020



Friday, April 3, 2020

KONTRAK PEMBINAAN

Assalammualaikum semua pembaca.

“ A construction contract is an entire contract for the sale of goods and works and labor for a lumps sum price payable by installment as the good are delivered and the work is done”

Kita sering mendengar berkenaan dengan kontrak pembinaan atau dalam bahasa inggeris “Construction Contract”.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Kontrak Pembinaan?
Kali ini kita akan mengupas berkenaan kontrak pembinaan.

Kontrak Pembinaan adalah satu kontrak dimana satu pihak (kontraktor) bersetuju dengan satu balasan tertentu untuk melaksanakan kerja pembinaan untuk pihak yang satu lagi (Majikan).

Terdapat pelbagai kontrak pembinaan diantaranya :-
1- Borang Kontrak Format Seragam 
2- Borang Kontrak Format Seragam yang telah diubahsuai
3- Borang Kontrak “Be Spoke”

Terdapat juga borang kontrak pembinaan yang lain iaitu:
1. Subkontraktor kontrak   
2. “Back to Back” kontrak.

Pada entri yang akan datang, saya akan menerangkan setiap jenis kontrak dalam kontrak pembinaan.


Oleh,
Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
3.04.2020



Thursday, April 2, 2020

PERUBAHAN (KLAUSA 24)


Assalamualaikum. Kembali lagi kita kepada entri kupasan untuk pemahaman Kontrak PWD 203 rev 1/2010. Beberapa topik yang lepas, kita telah kupas tentang tajuk “Arahan Pegawai Penguasa” dan ada Klausa yang menyatakan tentang “Arahan perubahan”. Jadi pada entri ini, kita akan bincangkan mengenai perubahan di dalam kontrak.

Di dalam Kontrak PWD 203 REV 1/2010, perubahan di dalam kontrak ada dinyatakan di Klausa 24 dan merupakan antara klausa yang terpenting di dalam kontrak. Klausa ini secara tersurat menyatakan kuasa P.P untuk mengeluarkan arahan berhubung perubahan samada tambahan atau pengurangan dan ingat! Hanya P.P atau wakilnya yang sah sahaja yang boleh mengeluarkannya dan bukannya majikan kecuali majikan ingin bertanggungjawab.

Di dalam Buku Construction Law in Malaysia, tulisan Prof Sundra Rajoo dan Ir Harban Singh KS, perubahan ialah:

“Synonymus with the terms “change” , “extra” and “extra work”, a “variation” is generally defined to mean any change to the works as specifid originally in the contract documents” (V Powell-Smith, An Engineering Contract Dictionary, p 562. Construction Law in Malaysia p 305)

Di bawah Klausa 24 ini, terdapat 3 point yang penting.

KLAUSA 24.1

 Yang pertama iaitu Klausa 24.1. P.P boleh mengeluarkan arahan yang berkehendakkan perubahan didalam bentuk “arahan perubahan”. Tidak ada arahan yang dikeluarkan oleh P.P boleh membatalkan kontrak ini. Selepas menerima arahan perubahan, kontraktor mestilah dengan segera mematuhi arahan perubahan yang dikeluarkan oleh P.P.

Ingin saya ingatkan sekali lagi, P.P adalah orang yang berhak dan bertanggungjawab untuk mengeluarkan arahan “Perubahan Kerja”. Arahan ini mestilah secara bertulis. Kontraktor mesti melaksanakan arahan kerja perubahan seperti yang diperintahkan  kecuali jika arahan itu mengubah kontrak.

P.P mestilah tidak mengeluarkan arahan diluar bidangkuasa yang ditetapkan oleh kontrak keatasnya supaya tidak membatalkan kontrak. Perintah P.P mestilah tidak dianggap oleh kontraktor sebagai membatalkan kontrak ini dan menuntut pembayaran secara “quantum meruit” (sebanyak mana yang dia berhak)

Kerajaan tidak diwajibkan untuk menerima atau bersetuju dengan sebutharga kontraktor jika sekirannya kontraktor mengemukakan sebutharga sebelum memulakan kerja perubahan tersebut (tetapi kontraktor dinasihatkan untuk mengemukakan sebutharga jika sekiranya perubahan itu tidak termasuk dalam skop kerja asal)

Jika sekiranya kontraktor gagal melaksanakan perintah tersebut maka P.P berhak untuk melantik pihak ketiga untuk melaksanakan kerja tersebut (klausa 5.3). Kosnya termasuk “on cost charges” akan ditolak dari mana-mana wang yang masih boleh dibayar kepada kontraktor. P.P tidak boleh mengeluarkan arahan perubahan selepas sijil siap kerja praktikal  (CPC) dikeluarkan.

KLAUSA 24.2

Terma “perubahan” bermaksud suatu pertukaran di dalam dokumen kontrak yang memerlukan “pemindaan” atau “pengubahsuaian” reka bentuk, kualiti ataupun kuantiti kerja seperti yang dinyatakan atau dirujuk kepadanya dan memberi kesan kepada jumlah harga kontrak termasuk:

a)      Penambahan ,peninggalan ataupun penggantian mana-mana kerja
b)      Pengubahan tentang jenis ataupun piawaian apa-apa bahan atau barang-barang yang hendak digunakan di dalam kerja itu
c)       Pengalihan dari tapak bina itu apa-apa kerja yang telah dilaksanakan, bahan dan barang-barang yang telah dibawa keatasnya oleh kontraktor bagi maksud kerja itu selain dari kerja, bahan dan barang yang tidak mematuhi kontrak ini

Klausa ini tidak memberi kuasa kepada P.P untuk membuat perubahan yang disifatkan sebagai “cardinal change” . “Cardinal Change” ialah perubahan kerja yang terlalu besar dan perubahan kuantiti yang terlalu besar sekiranya melibatkan kerja yang telah sedia tersenarai di dalam senarai kuantiti.

Klausa ini hanya memberi kuasa kepada P.P untuk membuat penolakan atau peninggalan terhadap mana-mana kerja yang menjadi sebahagian dari skop kerja asal secara tulen. Jika sekiranya P.P membuat penolakan (peninggalan) dan kemudiannya memberikan kerja tersebut kepada pihak ketiga, maka kerajaan telah memungkiri kontrak.  

Sekiranya perintah itu melibatkan “cardinal change” maka kontraktor tidak perlu untuk mematuhi perintah P.P dan kerajaan tidak berhak untuk memanggil pihak ketiga untuk melaksanakannya dan menolak kos daripada kontraktor

“can be in form of financial changes or a combination of the two and can encompass either a single change or a number of otherwise permissible changes. Cardinal change is invalid in law, there is no duty of compliance on the contractor – Construction Law in Malaysia p 311”

Jika sekiranya kontraktor menurut perintah P.P maka kontraktor berhak untuk menuntut bayaran secara “QUANTUM MERUIT” 

KLAUSA 24.3 

Sebarang perubahan di bawah kontrak ini mestilah tidak melepaskan kewajipannya di bawah klausa 22.1(c) (kalau kontraktor dikehendaki mereka bentuk sebahagian dari kerja)



Sekian,
Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo & Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 REV 1/2010 (Tulisan Hj Ismail Bin Omar)



SKOP KONTRAK (KLAUSA 6)


Hai bertemu lagi kita untuk tajuk Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN (1/2010). Untuk entri kali ini, kita akan kupas tentang Skop Kontrak. Secara umumnya, Klausa ini menceritakan tentang Kewajipan-kewajipan Kontraktor .

Secara dasarnya, kewajipan kontraktor adalah untuk menyiapkan kerja seperti di dalam lukisan dan spesifikasi dan lain-lain dokumen. Tanggungjawab ini mestilah dilaksanakan dengan menggunakan bahan yang dinyatakan didalam dokumen kontrak sahaja. Kewajipan kontraktor juga merangkumi kerja kerja lain yang perlu dilakukan ( bergantung kepada apa yang terjadi) untuk membolehkan kerja disiapkan .

Di bawah Klausa ini terdapat 3 point penting yang ingin saya ‘highlight’ kan.

KLAUSA  6.1

Yang pertama, di bawah Klausa 6.1, Kontraktor hendaklah membina dan menyiapkan kerja-kerja dengan menggunakan bahan, barang dan tenaga kerja menurut kualiti dan piawaian yang dinyatakan dalam kontrak.

Sebagai seorang kontraktor, adalah wajib untuk memenuhi kontrak sepenuhnya berdasarkan dokumen kontrak (lukisan, spesifikasi, senarai kuantiti etc). Kontraktor juga tidak boleh menambah atau mengurangkan tanpa persetujuan atau arahan P.P. Jadi, apa apa kerja yang ingin dilaksanakan, perlulah tunggu arahan daripada P.P (check semula entri Arahan Pegawai Penguasa). Janganlah buat sesuatu yang tidak ada arahannya. Kerana majikan/kerajaan tidak perlu membayar kerja yang tidak mengikut arahan. Malah mungkin kontraktor tersebut yang perlu bayar kepada majikan/kerajaan jika terjadi apa-apa.

Selain itu, Kontraktor juga berkewajipan menggunakan bahan, barang dan tenaga kerja seperti yang dinyatakan di dalam dokumen kontrak sahaja. Merujuk kepada Klausa ini, sekiranya P.P memaksa kontraktor membekal bahan yang lebih tinggi kualitinya berbanding dengan yang dinyatakan di dalam dokumen kontrak maka beliau patut mengetahui bahawa peranan untuk memastikan apa yang terbaik mengikut industri adalah terletak ditangan “pereka bentuk” yang menyediakan spesifikasi & piawaian dan bukannya kontraktor. Kontrak tidak bertanggungjawab terhadap kesesuaian barang dan bahan yang digunakan. Kontrak juga tidak bertanggungjawab terhadap kesesuaian dan keselamatan reka bentuk

KLAUSA  6.2

Yang kedua, di bawah Klausa 6.2, Kontraktor juga bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penting yang berakibat/terhasil dari pembinaan dan penyiapan kerja kerja di tapak bina seperti pengalihan/pelencongan pembetung najis, paip air, kabel elektrik, paip gas dan kabel telefon dan pemasangan sambungan kekal. Semua kerja-kerja ini akan ditanggung oleh kerajaan. Kerajaan akan membayar balik kos yang terlibat kepada kontraktor dengan cara menambahkan kos tersebut kedalam harga kontrak tertakluk kos yang belum lagi dimasukkan ke dalam harga kontrak melalui “provisional sum” atau sebaliknya.

Menjadi tanggungjawab kontraktor untuk menyiapkan kerja melibatkan juga kewajipan untuk melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan kerja tersebut (ancillary / kerja sampingan) yang mesti dilakukan supaya kerja itu dapat disempurnakan.

Kerja sampingan ini sebahagiannya dimasukkan di dalam senarai kuantiti manakala yang lain tidak dimasukkan kerana terlalu detail. Walaubagaimanapun ianya masih menjadi tanggungjawab kontraktor.Segala kos yang ditanggung oleh kontraktor boleh dituntut kepada kerajaan. Tetapi kos untuk sambungan sementara untuk kegunaan kontraktor perlu ditanggung sendiri oleh kontraktor.

Selalu menjadi masalah ialah, ada sebilangan badan Kerajaan yang tidak membuat bayaran kepada Kontraktor untuk kerja kerja ini. Jadi, para Kontraktor sekalian janganlah risau kerana, sekarang kita sudah mempunyai CIPAA. Pihak Kontraktor boleh membuat tuntutan bayaran kepada majikan untuk bayaran bayaran yang tidak dilunaskan lagi. (akan dishare di entri yang lain) Apa yang penting, semua dokumen-dokume penting seperti surat menyurat ada untuk dijadikan bahan bukti.

KLAUSA  6.3 

Yang terakhir ialah di bawah Klausa 6.3. Kontraktor hendaklah juga melaksanakan kerja kerja membaiki kecacatan yang mungkin di kesan semasa “defect liability period” (DLP)
Pada bila-bila masa dalam tempoh tanggungan kecacatan, P.P hendaklah mengemukakan arahan bertulis kepada kontraktor untuk membaiki kecacatan akibat dari bahan dan ketukangan kerja kontraktor sahaja. Kontraktor mestilah melaksanakan arahan P.P dengan seberapa segera ataupun mengikut masa yang ditentukan oleh P.P tersebut.

Sekiranya kontraktor gagal melaksanakan arahan tersebut, P.P berhak untuk membaiki kecacatan tersebut mengikut kaedah yang difikirkan sesuai oleh beliau dan kosnya akan ditanggung oleh kontraktor

Dalam tempoh 14 hari selepas “defect liability period” P.P hendaklah mengemukakan “schedule of defect” kepada kontraktor supaya kecacatan dapat dibaiki dalam tempoh yang munasabah tetapi tidak lebih dari tiga bulan selepas menerima schedule itu. Selepas 14 hari dari tarikh tamat tempoh membaiki kecacatan, P.P tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan untuk membaiki kecacatan yang baru. Sekiranya terdapat kecacatan (diminution) yang tak mungkin atau tidak praktikal untuk dibaiki menurut pendapat P.P, maka beliau akan menilai harga “kecacatan” tersebut dan menuntut daripada kontraktor

P.P hendaklah mengeluarkan sijil siap membaiki kecacatan apabila beliau berpuas hati kecacatan telah diperbaiki. Tarikh sijil tersebut adalah tarikh sebenar kontraktor siap membaiki kecacatan.
Okay itu sahaja yang ingin saya kongsikan untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa di entri yang akan datang.

Itu sahaja untuk entri kali ini, semoga kita berjumpa pada entri yang akan dating.



Sekian, Penulis: Zafirah Binti Mohd Nor
Rujukan: Construction Law in Malaysia (Tulisan Prof Sundra Rajoo dan Ir Harban Singh)
                Nota Pemahaman Kontrak PWD 203 PIN 1/2010 (Tulisan Hj Ismail bin Omar)



SIAPA YANG LAYAK MEMBUAT TUNTUTAN