Saturday, March 28, 2020

CIPAA 2012


KUALA LUMPUR, 15 April – Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 April 2014, telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya, untuk menguatkuasakan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan atau Construction Industry Payment and Adjudication Act (CIPAA) 2012.  CIPAA 2012 ini akan mula berkuatkuasa pada 15 April 2014 selari  dengan perasmian Mahkamah Tinggi Pembinaan Kuala Lumpur dan Shah Alam pada 14 April 2014.

Akta ini akan terpakai kepada semua kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di  Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

Dengan berkuatkuasanya CIPAA, maka lengkaplah tiga remedi (The Trinity of Remedies) bagi  menyelesaikan pertikaian bayaran dalam rantaian industri pembinaan.

Namun begitu beberapa kategori kontrak pembinaan adalah dikecualikan dari pelaksanaan CIPAA 2012 ini antaranya kontrak dalam kategori keselamatan dan kategori kerja kecemasan.  Namun demikian pengecualian bagi kategori kontrak ini adalah berbentuk sementara iaitu sehingga 31 Disember 2015 agar ianya tidak menjejaskan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-10.

Promosi CIPAA 2012 telah dijalankan secara berfasa oleh KKR dan agensi seliaannya di mana sebanyak 20 roadshow dan taklimat khusus kepada mereka yang terlibat dalam industri pembinaan telah diadakan. Selain itu, Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA) sebagai badan adjudikasi CIPAA 2012 juga telah menjalankan lebih dari  30 roadshow  kepada peguam, mahasiswa perundangan, dan mereka yang terlibat dalam rantaian perundangan.

KELEBIHAN MENGHADIRI SEMINAR CIPAA ANJURAN MINDA WIBAWA RESOURCES

           
            Salam sejahtera kepada semua pembaca. Tuan-tuan puan-puan yang saya hormati kepada yang pernah menghadiri Seminar CIPAA anjuran Minda Wibawa Resources saya ucapkan tahniah dan kepada yang belum pernah anda sangat dialu-alukan untuk menghadiri seminar kami.

              Selain mendapat mata CCD CIDB yang diperlukan untuk pembaharuan lesen CIDB para peserta juga mendapat satu ilmu yang sangat bermanfaat bagi pemain industri pembinaan iaitu Ilmu mengenai Pengurusan & Tuntutan Bayaran Projek (CIPAA).

             Ramai kontraktor di luar sana yang masih tidak tahu apa itu akta CIPAA. Apabila di tanya mereka hanya ternganga. Apa? CIPAA? walhal akta CIPAA sangat penting di dalam membantu kontraktor yang menghadapi masalah tuntutan bayaran projek. Maka adalah sangat beruntung mereka yang menghadiri seminar CIPAA ini lebih-lebih lagi anjuran Minda Wibawa Resources yang telah berkecimpung sejak awal-awal pelaksanaan Akta CIPAA ini.

           Di dalam seminar peserta akan diperkenalkan dengan akta CIPAA ini. Apakah kelebihan proses adjudikasi CIPAA berbanding proses pengadilan biasa mahkamah dan proses arbitrasi. Bagaimana akta CIPAA boleh membantu kontraktor yang menghadapi masalah bayaran ? Apakah remedi kepada pemenang dan tanggungan yang kalah.?

          Para peserta juga akan diajar langkah demi langkah bagaimana membuat tuntutan bayaran melalui proses adjudikasi CIPAA. Para peserta akan diajar cara baca kontrak dengan betul kerana ramai kontraktor yang cuai dalam bab kontrak , tidak baca kontrak betul-betul sehingga mereka mengalami masalah tuntutan bayaran projek. Seminar kami lebih kepada santai-santai dan bersifat dua hala yakni para peserta bebas untuk bertanya soalan dan kalau tiada soalan maka penceramah pula akan bertanya soalan ?

           Selain membuat seminar Minda Wibawa Resources turut menjadi Claim Advisor membantu para kontraktor yang menghadapi masalah bayaran. Lebih 95 kes tuntutan telah dibuat setakat awal tahun 2020 dengan kadar peratusan kemenangan yang tinggi.

          Tuan-tuan dan puan-puan marilah kita bersama-sama memahami akta CIPAA ini kerana ini adalah suatu perjuangan kita bersama menuntut keadilan saudara-saudara kita di luar sana yang dianiaya . Bayaran projek dibayar lambat! Dibayar kurang! Dan lebih menyedihkan lagi langsung tidak bayar .Tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu berhimpun beramai-ramai di dataran merdeka tetapi hanya perlu datang beramai-ramai di seminar CIPAA anjuran Minda Wibawa Resources untuk sama-sama kita menuntut keadilan di bawah akta CIPAA.

Terima kasih.
Saufian
Eksekutif Pemasaran
Minda Wibawa Resources                                                                          25/3/2020

KONTRAK







Assalamualaikum kepada semua pembaca,

Saya percaya ramai di antara kita dalam menjalani kehidupan seharian sering terlibat dengan kontrak. Sama ada kontrak melanggan astro, penapis air mahupun talian telefon namun apabila menandatangani sesuatu perjanjian atau kontrak tidak semua daripada kita betul-betul baca dan faham perjanjian atau kontrak yang kita tandatangani itu.

Saya pasti ramai antara kita yang sering mendengar perkataan ‘kontrak’ itu sendiri. Walau bagaimanapun, saya pasti tidak semua daripada kita tahu dan betul-betul memahami apakah sebenarnya ‘kontrak’.

Oleh itu, hari ini saya akan mengupas berkenaan tajuk kontrak.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kontrak bermaksud:-

“Perjanjian mengenai perdagangan (syarat bekerja dll)”

Seterusnya menurut Macmillan English Dictionary, kontrak (contract) didefinisikan sebagai:-

“A written legal agreement between two people or businesses that says what each must do for the other or give to the other”

Manakala menurut Oxford, Dictionary of Law, kontrak (contract) bermaksud:-

“ A legally binding agreement”.

Menurut Sundra Rajoo dan Harbans Singh KS dalam buku Construction Law in Malaysia, kontrak didefinisikan sebagai:-

“A set of promises”

Berdasarkan definisi di atas, kesimpulan yang boleh dibuat secara dasarnya, kontrak adalah satu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Perjanjian ini mestilah boleh dikuatkuasakan bagi memastikan kepentingan setiap pihak terpelihara sekiranya berlaku pertikaian pada masa depan.

Perjanjian itu hendaklah perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Contoh mudah untuk membezakan sama ada perjanjian itu adalah kontrak atau tidak adalah seperti situasi di bawah ini:-

Situasi A:  Suami A berjanji akan membawa A bercuti ke London apabila beliau dapat bonus hujung tahun.

Apabila tiba hujung tahun, Suami A tidak dapat bonus, dan beliau tidak dapat membawa A ke London.

Situasi B: Kawan B meminta untuk meminjam wang sebanyak RM4000 daripada B. Kawan B berjanji akan membayarnya dalam tempoh 3 bulan. Sebelum menyerahkan wang tersebut, B telah meminta kawannya untuk menandatangani perjanjian di mana terma-terma dalam perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh kedua-duannya.


Berdasarkan situasi A dan B di atas, situasi manakah terdapat kontrak antara mereka?

Situasi A tidak terdapat unsur kontark dalam perjanjian tersebut. Hal ini kerana perjanjian tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Manakala dalam situasi B, perjanjian yang dibuat oleh B dan kawannya adalah kontrak yang mana sekiranya kawan B ingkar membuat pembayaran balik B boleh mengambil tindakan undang-undang terdapat kawannya itu.



Oleh,


Zaiyanazareth Binti Zaini
Peguamcara & Peguambela
Tetuan Zaiyanazareth & Associates
Shah Alam, Selangor
27.03.2020



Thursday, March 26, 2020

SKOP PERTIKAIAN YANG BOLEH DI BAWA KE CIPAA 2012


Assalamualaikum,

Ini merupakan entri saya yang pertama berkenaan CIPAA 2012 di dalam blog ini. Inshaa Allah saya akan cuba untuk menerangkan dengan sebaik mungkin berkenaan tajuk ini supaya anda semua dapat memahami serba sedikit perkara-perkara berkaitan dengan CIPAA 2012 ini. Jika anda masih kurang jelas dan kurang memahami penulisan saya ini, saya amat mengesyorkan anda untuk memberikan sebarang komentar dan cadangan agar saya dapat memperbaiki penulisan saya untuk entri-entri akan datang. 

Pasti anda pernah mendengar apa yang dimaksudkan dengan CIPAA 2012 (Construction Industry Payment and Adjudication Act) atau dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan. Jika belum, anda boleh membacanya di dalam blog yang sama di mana penulisan mengenainya akan ditulis oleh rakan sekerja saya ataupun terus membaca entri-entri saya kerana saya akan menyentuhnya serba sedikit.

Dalam industri pembinaan, kebiasaannya, sebelum memulakan sesuatu kerja pasti akan di dahulukan dengan menandatangani kontrak iaitu perjanjian di antara kedua-dua pihak yang berkontrak. Ada pelbagai jenis kontrak pembinaan di Malaysia bergantung kepada siapa pemilik projek. Penjelasan lanjut mengenai kontrak juga boleh anda baca di dalam blog ini.

Entri saya ini akan menerangkan berkenaan kontrak jenis yang bagaiman yang boleh dituntut melalui CIPAA. Tidak semua kontrak boleh dibawa kepada CIPAA. Akta CIPAA terpakai kepada semua kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di  Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. CIPAA diwujudkan untuk menangani pertikaian di bawah kontrak sahaja dan berfungsi untuk menyelesaikan pertikaian yang melibatkan pembayaran untuk kerja yang telah siap atau perkhidmatan yang diberikan dibawah terma kontrak pembinaan yang nyata .

Klien perlulah membuat bayaran kepada kontraktor/ konsultan/ subkontraktor/ pembekal bahan yang telah dilantik jika mereka telah melaksanakan kerja-kerja yang diberikan dengan sempurna. Jika klien tidak membuat bayaran seperti yang terkandung di dalam terma kontrak pembinaan yang telah dipersetujui, klien dianggap telah melanggar kontrak dan wujud pertikaian diantara klien dan kontraktor. Kontraktor kemudian boleh membawa pertikaian mengenai bayaran ini kepada CIPAA.

Saya percaya, terdapat ramai daripada kontraktor sama ada yang telah menyiapkan kerja-kerja kontrak atau sedang melaksanakan kerja-kerja kontrak tidak menerima bayaran seperti yang telah dijanjikan di dalam dokumen kontrak. Betul atau tidak? Jika anda mempunyai masalah pembayaran seperti tidak menerima bayaran ataupun menerima bayaran kurang daripada seperti dinyatakan dalam sijil pembayaran, jangan tunggu lama-lama seperti menunggu buah yang tidak gugur.

Sudah tentu anda memerlukan wang tersebut untuk membayar upah pekerja, bahan binaan, sewaan mesin dan sebagainya yang mana ia akan memberikan kesan yang amat besar kepada kemajuan kerja kontrak anda seterusnya kepada tarikh siapnya projek. Mungkin telah banyak surat peringatan untuk mengeluarkan bayaran yang anda hantar tetapi tidak mendapat maklumbalas positif daripada kontraktor atasan. Anda mungkin boleh mencuba untuk membuat tuntutan melalui CIPAA pula, siapa tahu dengan cara ini anda mungkin dapat semula wang anda.

Saya berhenti setakat ini dulu. Kita jumpa lagi di entri akan datang dengan tajuk-tajuk lain yang saya harap dapat membantu anda untuk memahami sebanyak mungkin berkenaan CIPAA ini. Saya harap anda dapat memahami penulisan ini dan saya amat hargai komen dan cadangan anda untuk sama-sama memperbaiki tulisan ini. Sehingga bertemu lagi. Wassalam.



Noridah Omar

Shah Alam.


ISU-ISU UTAMA TUNTUTAN CIPAA


APA YANG BOLEH ANDA TUNTUT MELALUI PROSEDUR CIPAA??

Assalamualaikum,

Hari ini saya akan menulis tentang isu-isu utama tuntutan melalui CIPAA. Diharapkan ianya dapat membantu mana-mana kontraktor atau sub-kontrak yang mengalami masalah ini dan dapat memberikan segaris jalur harapan buat mereka untuk menangani masalah ini. Umumnya, masalah kelewatan bayaran sering berlaku di dalam industri pembinaan bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara maju yang lain. Kebanyakan masalah yang sering dialami oleh kebanyakan kontraktor, subkontrak, sub-sub kontraktor ialah menerima bayaran kurang daripada yang telah dipersetujui seperti di dalam sijil bayaran, lambat menerima bayaran dari tarikh akhir yang ditetapkan malah yang lebih teruk lagi ialah tidak menerima sebarang bayaran lang selepas mereka melaksanakan kerja.

Jika masalah ini berlarutan, ia pasti akan memberi kesan kepada kadar kemajuan kerja di mana ia akan menyebabkan kelewatan dalam menyiapkan projek malah ada juga kontraktor yang terpaksa memberhentikan kerja kerana tidak mempunyai aliran modal atau modal pusingan untuk menjalankan projek. Ini adalah kerana kebanyakan kontraktor terutamanya sub-kontraktor tidak mampu untuk menanggung kos-kos kontrak yang besar yang melibatkan kos bahan mentah, kos upah pekerja dan kos-kos lain yang terlibat di dalam penyiapan projek.

Oleh sebab itu akta CIPAA 2012 diwujudkan untuk memudahkan pembayaran yang tetap dan tepat pada masanya dan juga untuk menyediakan peruntukan bagi suatu mekanisma bagi menyelesaikan pertikaian yang cepat melalui prosedur adjudikasi. Ia juga mengadakan peruntukan bagi remedi untuk mendapatkan bayaran dalam indurtri pembinaan dan mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan berkesampingan olehnya.

CIPAA terpakai untuk tuntutan bayaran interim dan juga tuntutan bayaran muktamad.  Bayaran interim dan muktamad yang boleh dituntut termasuklah bayaran untuk Arahan Perubahan Kerja, kos-kos kontrak yang ditanggung semasa dalam tempoh lanjutan masa, kos “loss & expense” dan “set off”

Kontraktor boleh menuntut bayaran interim jika tidak menerima bayaran selepas tamat tarikh bayaran yang sepatutnya diterima seperti yang tertakluk di dalam terma dokumen kontrak. Lebih awal sesorang kontraktor itu membuat tuntutan bayaran melalui CIPAA lebih bagus kerana ini membolehkan kontraktor tersebut menerima bayaran secara tetap untuk meneruskan projek dan memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Jadi, jika anda seorang kontraktor, sub-kontraktor ataupun sub-sub-kontraktor dan anda mengalami masalah tidak menerima bayaran samada bayaran interim atau bayaran muktamad, maka janganlah anda bertangguh untuk menuntut bayaran melalui CIPAA. Anda berhak menuntut bayaran bagi kerja-kerja yang anda lakukan. Ingat, CASH IS KING!! Bagaimana anda mahu meneruskan kerja atau membuat kontrak yang baru jika anda tidak mempunyai wang yang mencukupi. 

Wang bukan segalanya tapi segalanya di atas muka bumi ini memerlukan wang. Kecuali udara dan angan-angan. Hehehe. Sampai di sini dulu. Moga bertemu di entri akan datang. Komen dan cadangan atau soalan anda amat saya hargai ya! Wassalam.

Noridah Omar
Shah Alam

GARIS PANDUAN UNTUK PROSEDUR CIPAA


Assalamualaikum,

Jika entri yang sebelum ini, saya telah menerangkan berkenaan perkara-perkara yang anda boleh tuntut melalui prosedur CIPAA maka untuk entri kali ini saya akan menerangkan pula garis panduan yang perlu anda ikuti untuk melaksanakan prosedur tuntutan ke atas kontrak melalui CIPAA sekaligus memastikan tuntutan yang dibuat berjaya. Jangan buat kerja yang sia-sia ya!
Garis panduan yang akan dibincangkan di dalam blog ini adalah berdasarkan terma-terma yang biasa digunakan di dalam borang kontrak standard iaitu borang kontrak PWD 203 dan borang kontrak PAM 2006. Borang kontrak PWD 203 merupakan borang kontrak standard yang digunapakai untuk kontrak kerajaan atau sektor awam manakala borang kontrak PAM 2006 merupakan borang kontrak standard  yang digunapakai untuk kontrak sektor swasta.  Setiap kontrak mempunyai tatacaranya yang tersendiri yang perlu difahami dan dipatuhi oleh pihak yang berkontrak. Perlu diingatkan bahawa, kegagalan seseorang kontraktor mematuhi prosedur di bawah kontrak merupakan punca kegagalan untuk membuat tuntutan.

Umumnya, kebanyakan kontraktor atau sub-kontraktor memang tidak membaca dokumen kontrak menyebabkan mereka tidak memahami apa isi kandungan kontrak. Bukan semua tau. Ini bukan saya saja-saja kata ya tapi pengalaman berjumpa dengan ramai kontraktor/sub-kontraktor mereka memang mengatakan begitu. Kata mereka dokumen kontrak tebal dan agak sukar sukar difahami kerana bahasa yang diguna pakai aras tinggi. Betul ke? Bagi pendapat saya yang masih hijau dengan industri pembinaan dan dokumen kontrak memang tidak menafikan perkara tersebut. Tapi sewajarnya sebagai kontraktor/sub-kontraktor memang memerlukan anda untuk membaca dan memahami dokumen kontak, ya tau tidak?
Dokumen kontrak secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai dokumen yang mengandungi perkara-perkara perjanjian pihak-pihak berkontrak di mana ia menetapkan dan menghuraikan hak dan kewajipan pihak-pihak dalam kontrak. Oleh sebab yang demikian para kontraktor mestilah membaca kontrak dengan teliti kerana setiap perkara yang tertulis di dalamnya dibuat dengan sebab dan tujuan tertentu. Siapa tahu, anda mungkin akan menggunakan terma-terma yang terkandung di dalam dokumen kontrak untuk membantu anda mendapatkan semula hak dan remedi anda yang tidak dipenuhi atau diabaikan oleh majikan atau kontraktor utama. Setakat ini dahulu untuk entri kali ini. Bertemu lagi kita di entri akan datang untuk penulisan seterusnya. Wassalam.

Noridah Omar,
Shah Alam.


MAKSUD TERMA-TERMA YANG DIGUNAPAKAI DI DALAM PROSEDUR CIPAA


Assalamualaikum,
Dalam entri kali ini, saya akan menerangkan maksud terma-terma yang digunapakai di dalam prosedur adjudikasi. Di harap dengan mengetahui maksud terma-terma di dalam prosedur adjudikasi ini dapat membantu kontraktor untuk memahami serba sedikit berkenaan proses CIPAA.


ü  BAYARAN – ialah bayaran bagi kerja yang telah dilaksanakan oleh kontraktor atau perkhidmatan yang telah diberikan oleh konsultan projek  seperti yang telah dinyatakan di bawah terma kontrak pembinaan.
                               
ü  TIADA BAYARAN – bermaksud kontraktor tidak menerima bayaran setelah tamat tempoh bayaran pada tarikh luput (due date) seperti yang dinyatakan di dalam suatu kontrak pembinaan interim, muktamad, V.O
                               
ü  PIHAK YANG TIDAK DIBAYAR – merupakan pihak yang menuntut bayaran sejumlah wang yang tidak dibayar sepenuhnya atau sebahagiannya kepadanya dibawah suatu kontrak pembinaan                              
ü  PIHAK YANG TIDAK MEMBAYAR -  merupakan pihak yang dituntut bayaran oleh pihak yang tidak dibayar di bawah suatu kontrak pembinaan

ü  PIHAK YANG MENUNTUT – merupakan pihak yang terkilan dalam kontrak pembinaan yang memulakan prosiding Adjudikasi

ü  RESPONDEN - ialah orang yang menerima notis adjudikasi dan tuntutan adjudikasi daripada pihak yang menuntut

ü  PRINSIPAL –suatu pihak yang telah berkontrak dengan dan bertanggungan untuk membuat bayaran kepada pihak yang satu lagi yang selepas itu pihak yang satu lagi itu berkontrak dengan dan bertanggungan untuk membuat bayaran kepada orang yang selanjutnya dalam suatu rangkaian kontrak pembinaan        


Sekian dahulu dari saya untuk kali ini. Semoga kita bertemu lagi di entri akan datang untuk topik-topik yang lain. Teruskan menyokong tulisan saya dengan memberikan komen dan cadangan bernas anda.Wassalam.  


Noridah Omar
Shah Alam